Saturday, December 17, 2011

Ekspresi hadis satu....

Setelah membentangkan hadis satu kepada adik-adik menyebabkan aku termangu-mangu sendirian berfikir. Dalam hadis satu dalam kitab Imam Nawawi ada mengatakan bahawa kita dalam apa jua tindakan kita perlu dimulakan dengan niat. Niat sangat penting supaya adat yang selalu dilakukan berubah menjadi ibadah. Adat seperti makan, mandi, gosok gigi, memasak, gosok baju dan lain-lain, kalau kita mahukannya ia menjadi ibadah maka kita perlu niatkannya kerana Allah S.W.T. Di samping itu juga, dalam keadaan kita sekarang, kita perlu hijrahkan niat kita untuk niatkan apa-apa yang kita lakukan ini untuk sebarkan dakwah Allah S.W.T, untuk sebarkan islam kepada semua manusia. Makanya, dalam setiap perbuatan kita, pakai baju sebab nak keluar pergi sebarkan dakwah, minum air banyak-banyak sebab nanti sihat lepas tu boleh pergi dakwah, semuanya adalah kerana dakwah. Kadang, untuk meniatkan setiap perkara kerana Allah pun kadang teringat kadang tidak, apatah lagi untuk menjadikan seluruh kehidupan kita adalah untuk dakwah. Tetapi, betapa perlunya untuk memastikan kehidupan kita semuanya berputar pada paksi kerana dakwah kepada Allah itu sendiri. Kerana bila mana kita niatkan kerana dakwah maka kita ada matlamat untuk setiap kehidupan kita. Bimbang kalau-kalau di akhirat kelak, akaun pahala kita tidak terisi penuh, banyak ruang kosong atau mungkin tidak berbaki langsung. Ya Allah....bayangkan kalau tidak akaun pahala kita kosong. Padahal rasanya dah berpenat lelah dah di dunia, tetapi adakah ianya untuk menyampaikan islam itu sendiri? Takutkan, kalau kita dah bermati-matian, penat ke sana, penat ke sini, tapi masa menuai pahala, kita tiada sebenarnya tiada apa-apa. Sebab itu, kehidupan kita tidak boleh main-main, gelak banyak-banyak matikan hati (suka sangat gelak),  bila hati mati, susah nak ingat benda baik, sebab itu jugalah lupa nak niat kerana dakwah kepada Allah. Kena pastikan setiap 24 jam tiada jahiliyyah yang melekat, hanya yang berkaitan islam sahaja yang dibuat.

Dan yang paling penting, sebab aku telah memberi pada adik-adik, takkan aku yang telah bercakap dan menyampaikan tak lakukan sama, tak amalkan sama, membiarkan adik-adik menjadi semakin baik sedangkan aku masih di takuk lama. Tadabbur ayat (61:2-3)

Satu lagi yang menarik perhatianku adalah apabila melihat qudwah yang aku sangat suka (suka sangat-sangat), iaitu Saidina Umar Al-Khattab, beliau yang meriwayatkan hadis ini. Bagaimana seorang yang bengis dan ganas kepada orang Muslimin, menjadi orang yang bengis dan ganas kepada orang musyrikin, bagaimana Saidina Umar dapat berubah sekelip mata, '180 degree', berubah 'totally'. Sejahil-jahil kita takdelah kita nak membunuh kanak-kanak, sepertimana Saidina Umar menanam anak perempuannya ke dalam tanah hidup-hidup, sejahil-jahil kita takdelah kita nak membenci Rasulullah, sepertimana Saidina Umar membenci hingga hendak membunuh kekasih Allah itu. Memberi pengajaran padaku, kalau Saidina Umar boleh berubah, masakan aku tidak boleh berubah, aku kena berubah, aku perlu pastikan aku akan berubah, insyaAllah!

Tidak boleh begitu, aku pun perlu berubah juga, menjadi yang lebih baik, aku mesti berubah!

Monday, December 12, 2011

Masa semakin suntuk...

Masa semakin pantas berlalu. Meninggalkan kita, manusia, tertinggal jauh di belakang. Tak sempat untuk mengejar masa yang tak 'menyempat-nyempat' pergi berlalu begitu sahaja. Masa tidak akan rugi kerana dia menunaikan tanggungjawab dia yang sebenar, iaitu sentiasa berjalan dan berjalan. Hanya, kita iaitu manusia, yang perlu mengejar masa yang pantas berlari. Setiap masa, setiap ketika ada sahaja urusan manusia. Banyak perkara yang perlu diselesaikan. Tetapi malangnya masa tidak menunggu kita dalam menyelesaikan urusan manusia. Hanya orang yang sedar keberadaan dia di dunia ini kerana apa, hanya mereka yang faham tujuan dia diciptakan Tuhan di muka bumi ini tahu, hanya manusia yang Tuhan kata beriman dan beramal soleh sahaja yang ingat bahawa mereka sendiri perlu mengejar masa.

Aku merasakan bahawa hidup ini terlalu suntuk. Kehidupan ku kini, bila di tahun 5 perubatan, semakin sukar. Mula sekolah di hospital pada pukul 7 pagi hingga 2 petang. Kemudian, setelah pukul 2 petang, baru urusan-urusan yang lain pula, seperti usrah, meeting, kelas tafsir, kelas arab, baca buku perubatan, baca buku lain-lain, hafal quran, lengkapkan mutabaah amal seharian, dengar recording, telefon adik-adik, update blog. Ya Allah....kadang-kadang aku rasakan dadaku sempit, tak sempat bernafas untuk kali yang kedua, tercungap-cungap, 'hyperventilation washing all the CO2'. Sungguh banyak kerja, dan masa pula semakin suntuk. Dan ajal pula menunggu-nunggu setiap hari. Sungguh mencabar untuk menjadi individu muslim yang hebat. Dan ini semua adalah keadaan sebelum aku bekerja, sebelum aku berkeluarga.

Tapi aku tahu, aku perlu memecut laju. Setiap ruang dan masa, tidak boleh dibazirkan. Aku dah tak boleh buang masa, kena kurangkan 'habit-habit' yang kurang berfaedah. Cepatkan pembinaan diri. Adik-adik dah besar, tak boleh main-main lagi. Semakin cepat bina diri, semakin cepat sampai ke ustaziyatul alam. Perlu cepat-cepat.

Friday, December 2, 2011

Mencetak manusia...

Kita akan berusaha sedaya-upaya kita untuk menyebarkan islam kepada semua orang. Semua orang di dunia ini perlu mendengar kalimah tauhid ini. Semua orang di dunia perlu tahu islam yang kita bawa. Walaupun sempadan geografi memisahkan negara-negara kini. Bagaimana pada zaman dahulu,  nabi dan para sahabat, para tabiin, dan tabi' tabiin, muslimin menghantar para utusan untuk menawarkan islam kepada pemerintah negara-negara, jika tidak diterima maka dikehendaki membayar jizyah, jika tidak diterima maka akan diperangi habis-habisan, bukan kerana ingin menjajah negara, bukan kerana ingin menguasai negara, bukan kerana tamakkan harta dan kekayaan, tapi kerana bimbang penduduk negara tersebut tidak mendengar tentang islam. 

'Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah dan agama hanya bagi Allah semata. Jika mereka berhenti, maka tidak ada lagi permusuhan, kecuali terhadap orang-orang zalim.' (2:193)

Fitnah di sini, adalah apa-apa yang menghalang dakwah itu disampaikan, apa-apa sahaja. Dan bila mana dakwah itu dihalang, maka akan berbuat apa sahaja supaya semua orang mendengar islam yang kita bawa. 

Dakwah kita bukan hanya sekadar dakwah, tetapi ada 'follow-up', ada pendidikan, ada tarbiyyah yang akan mengikuti dakwah yang dibuat, bila mana kita telah mendakwahkan manusia, kemudian bila dia menerima dakwah kita, barulah kita mentarbiyyah mereka. Kita bukan hanya sekadar dakwah, dan dakwah, bukan hanya sekadar menebarkan jalan sahaja, tetapi bila mana ada manusia yang menyukai dakwah kita maka bermulalah proses mentarbiyyah mereka, bermulalah proses membentuk mereka. Membentuk apa? mentarbiyyah apa? untuk membentuk individu muslim, untuk membentuk qaedah sulbah, yang mana akan cukup 10 muwasafat tarbiyyah, dan akan menaiki satu demi satu tangga sebelum sampai ke ustaziyatul alam. 

Pernah sekali, ketika Saidina Umar dan sahabat-sahabat sedang duduk di dalam sebuah bilik, Saidina Umar bertanya, "Bermimpilah!".

Salah seorang sahabat berkata, "Aku impikan bilik ini dipenuhi dengan harta yang banyak, jadi aku boleh sedekahkannya ke jalan Allah."

Kemudian Saidina Umar berkata lagi, "Bermimpilah!"

Kemudian, seorang lagi sahabat berkata, "Aku impikan bilik ini dipenuhi dengan emas dan permata, jadi aku boleh sedekahkannya ke jalan Allah."

Saidina Umar berkata lagi, "Bermimpilah!"

Sahabat berkata, "Wahai Amirul Mukminin, kami tak tahu apa yang ingin diimpikan lagi. Engkau mahukan bilik ini dipenuhi dengan apa?"

Saidina Umar menjawab, "Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan ‘rijal-rijal’ seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah, supaya aku boleh hantar mereka ke jalan Allah”

Bagaimana Saidina Umar mengimpikan bahawa bilik itu dipenuhi dengan rijal-rijal yang mantap amalnya dan sumbangannya untu islam, mereka yang memenuhi hadis logam. Kerana rijal-rijal itu adalah orang yang penting untuk dakwah, pemuda yang akan memikul beban dakwah di bahu mereka. 

Sebagaimana Hasan Al-Banna apabila ditanya mengapa dia tidak menghasilkan tulisan-tulisan atau makalah, buat tatapan ahli Ikhwanul Muslimin, maka jawapannya aku tidak mencetak kitab, tetapi aku mencetak manusia.

Mencetak manusia bukanlah proses sehari dua, makan masa bertahun lamanya, butuhkan kesabaran, kemahuan, dan strategi.Moga Allah memberkati usaha kita selama mencetak manusia-manusia ini.