Sunday, April 15, 2012

Al-Hawa vs Al-Wahyu

Tarikan al-hawa menghembus-hembus naluri,
Perasaan diri digoncangkan-goncangkan,
Tidak mahu kalah mempengaruhi an-nas,
Yang hatinya sudah gersang tidak lama dulu,
Dan semakin suram menginjak usia.
Lewat fasik yang mendahului,
Menyerlahkan penyelewengan kemudiannya,
Hilang sudah makhluk bernama manusia,
Alpa membiarkan al-hawa menodai jiwa,
Syahwat beraja,
Nafsu bertakhta.

Menyelamatkan jiwa sukar pengakhirannya,
Bila al-hawa dibiarkan berkuasa,
Sudah tiada nilaianNya,
Qarnu azab jawapannya.

Hai si daie pewaris nabi,
Umar Abdul Aziz inspirasi hati,
Kejahilan dunia menikam sensitiviti,
Andai masih membutakan hati,
Qarnu persamaan meragut diri,
Dikatakan zalim tidak berpendirian,
Lantaran jiwa culas memikul bebanan.

Aduhai daie harapan agama,
Tegakkan barisan angkat bendera,
Laungkan kesemuanya,
Bahawa wujudnya kita,
Bukan alternatif bukan pilihan,
Sebagai keputusan yang muktamad,
Menonjolkan muka tidak lari,
Peduli ummah yang dijihadkan.

Jika hilang semangat daie,
Hilanglah keseimbangan alam ini,
Jalan ini akan terus dipenuhi,
Mereka yang ikhlas,
Mari menaiki gerabak,
Agar dakwah ini bergerak.









Saturday, April 7, 2012

Post STEP 2012


STEP 2012 telah meninggalkan kita lebih kurang 31 jam yang lepas, sudah menjadi sejarah buat kita semua, dan harapnya apa yang disampaikan akan berbekas di hati sampai bila-bila. Itu yang utama. Bukan hanya sekadar datang untuk meramaikan atau memeriahkan majlis. Itulah niat yang sepatutnya diniatkan semasa sebelum program, semasa dan selepas program dijalankan. Kalau tidak hanya sia-sia duit tambang tremco kita, kalau orang dari muhafazah bermujahadah bangun awal pagi, bertolak dari muhafazah masing-masing pukul 4-5-6 pagi, membayar tambang bas yang sememangnya bukan murah. Semua ikhwah dan akhawat ada mujahadah, ada tarbiyyah yang diajari Allah untuk sampai ke destinasi yang telah ditetapkan. Bagiku, satu hari yang penuh dengan pelbagai isi, 'back to back' pembentangan. Aku nampak figura-figura muslimah doktor yang berjaya dalam segala macam perkara. Walaupun sebenarnya sebelum mendapat kejayaan maka ada pengorbanan-pengorbanan yang dilakukan. Bukan semudah yang disangkakan untuk mendapatkan kejayaan. Ikhlas, tadhiyyah, sabar dan tawakkal menjadi pemangkin dalam kehidupan.

Kadang-kadang kita merasakan sekarang ini, kitalah orang yang paling sibuk, kitalah yang paling banyak kerja, kitalah yang paling banyak cabaran berbanding orang lain, rasa dah banyak sangat tadhiyyah yang telah dilakukan. Sedangkan, sebenarnya ada ramai lagi yang lebih sibuk dari kita, ramai lagi yang perlu membuat tadhiyyah yang lebih besar dari kita. Nah, malu sendiri! Masih belajar dan hanya terlibat dalam dakwah sedikit-sedikit, itu pun sudah mahu mengeluh. Aku masih teringat murabbiku ada mencabar kami, 'kamu masih belum rasa lagi ada keluarga, ada kerjaya, dan masa itulah semangat kamu diuji, tadhiyyah kamu diuji, mana semangat yang dilaungkan semasa masih belajar dahulu? Bila sudah ada keluarga dan kerjaya bagaimana masa itu kamu boleh meng'anak tiri'kan dakwah?' Huhu. Risaunya, takut semangat ini tidak cukup untuk tersu thabat sampai ke akhirnya, Nauzubillahi min zalik. Ataupun sebenarnya, tidak boleh hanya bersandarkan kepada semangat. Yang perlu kita sandarkan ialah kecintaan kita kepada Allah dan jalan dakwah ini. Ya, kalau hanya bergantung kepada semangat, semangat akan menghilang, namun, jika kita menyamai kecintaan, ianya lebih kukuh dan mantap.

Begitu kuatnya stamina ibu-ibuku berkongsi pengalaman dan nasihat kepada kita. Mungkin kerana keikhlasan mereka ditambahkan lagi kecintaan mereka kepada Allah dan jalan ini yang membuatkan mereka berterusan-terusan tidak henti untuk berkongsi dan menyampaikan. Kerana islam ini sifatnya terang dan bukan  tersembunyi, kerana islam ini perlu dikongsi dan dihayati bersama-sama. Bukan hanya bila dapat, kita simpan, tidak digunakan dan lama-lama akan luput dari ingatan. Tidak dapat tidak perlu disampaikan walaupun dengan masa yang sangat singkat. Segalanya telah disampaikan. Hanya tinggal kita untuk mengamalkan. Perlu ada mujahadah dalam diri untuk kita amalkan kesemuanya.

Tarbiyyah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah. Tarbiyyah yang mengajarkan kita bahawa kita perlu bermanfaat kepada orang lain. Tarbiyyah mengajarkan kita bagaimana untuk menggunakan potensi yang kita ada ke arah yang lebih baik. Tarbiyyah memberikan perasaan bahawa setiap antara kita ini sangat berguna. Kita bukan orang biasa-biasa. Kita ada sesuatu yang berguna untuk orang lain. Cari, cari dan teruslah mencari.Yakinlah, kita semua ada potensi. Supaya bila ditanya Allah kita ada alasan yang kukuh.

Hidup ini bukan mudah. Perlu sentiasa ada banyak bekalan supaya diri kita tidak mudah rebah dan terperangkap dengan hawa yang melekakan. Antara kita perlu bersaing untuk menjadi hamba pilihan Allah yang hebat di mataNya. Bukan hanya sekadar menjadi hamba yang biasa-biasa. Tidak mahu dapatkan syurga sahaja tetapi mahukan syurga yang paling tinggi nilainya. Moga-moga, perjalanan kita selepas ini akan lebih bermakna. Wallahu'alam.