Monday, May 21, 2012

Bakal merindui...T_T (1)

Berhabuk, bersawang, banyak sarang labah-labah, tebal sungguh habuk dan debu yang melekat, selsema, allergy rhinitis, sensitif habuk dan debu. Lama tidak ber'entry', akhir sekali adalah bulan 4, itu pun belas-belas haribulan.

Perjalanan sebagai seorang budak perubatan, semakin sampai ke penghujung. Bakal berkhidmat sebagai dukturah dalam masa setahun setengah sahaja lagi, insyaAllah, biiznillah. Tidak menyangka bahawa masa menunaikan ketaatan pada Tuhannya dengan sangat cemerlang, memang sungguh mencemburui kita, sungguh cepat masa berlalu. Hampir tidak sedar sudah. Makanya, diri mula berfikir-fikir, berkira-kira, risau dan takut, membayangkan bagaimana keadaan kita bila pulang ke negara sendiri nanti? Bagaimanakah aku nanti? Dimanakah aku bakal bekerja nanti? Apa yang akan ku buat? Bagaimana nak buat? Dan juga, yang paling penting sekali, adalah tarbiyah dan amalku nanti, aku dapat menyumbang apa? dan diri aku pula akan terbina bagaimana? Belum masuk lagi isu baitul dakwah dan sebagainya.

Sementelah aku di sini, sebelum pulang, sangat penting memantapkan diri sendiri. Sebelum pulang berjuang di negara sendiri. Teorinya di sini, dan praktikalnya di negara sendiri. Malaysia dan Mesir, ada yang sama dan ada  yang beza antara 2 negara ini.

Mesir, bagi sistem politiknya, semakin ada pembaharuan insyaAllah. Setelah jatuhnya pemerintahan kuku besi Husni Mubarak, Mesir sedikit demi sedikit, sudah dan bakal memperbaiki sesempurna yang mungkin sistem politiknya. Tidak lama lagi akan ada pilihanraya presiden. Tanpa segan silu aku menyokong penuh Dr. Mohamed Morsi, daripada Freedom and Justice Party klik di sini. Mari kita berdoa banyak-banyak supaya pilihanraya peringkat pertama pada hari Rabu 23/5/2012 dan peringkat kedua pada hari Khamis 24/5/2012, berjalan dengan lancar, tiada manusia yang ingin membuat kacau dan huru-hara, menghalang perjalanan majlis dan sebagainya. Serta, doakan supaya Ikhwan Muslimin memenangi pilihanraya ini. Semasa muktamar khotimi (penutup) IM, Dr. Muhammad Abdul Maqsud ada menyatakan kenapa dia memilih, kerana dia membawa Al-Quran bersamanya, kerana dia ada Al-Quran dalam hatinya, itu yang menyebabkan dirinya menyokong Dr. Mohamed Morsy. Pilihanraya ini, berlangsung 2 hari, peringkat pertama, antara semua calon, peringkat kedua pula, antara 2 orang yang mendapat undian tertinggi. Jika peringkat pertama, seorang telah menang dengan 50% undian atau lebih maka, dia sudah menang, tanpa perlu ke peringkat kedua. Seorang ukhti ada bercerita, semasa mendengar ucapan-ucapan orang besar di muktamar khotimi, makcik di sebelah mendoakan, supaya Dr. Mohamed Morsy menang di peringkat pertama, tanpa perlu ke peringkat seterusnya. Begitulah doa dan harapan mereka. Sangat mahukan, agar islam ini tertegak kembali, dan ini dapat dicapai jika mereka memilih calon seperti Dr. Mohamed Morsy. Menarik juga artikel ni, nanti baca ya, tentang memilih pemimpin di sini.

Selalu, makcik, kakak, atau pakcik, tepi jalan, bertanya, di Malaysia, takde kuliah Tibb ke? Sampai nak datang belajar jauh-jauh ke Mesir. Jawapan yang biasa, ashan minhah min hukumah (sebab biasiswa dari kerajaan) =)  Mereka ini sangat ramah, sangat meraikan orang, bukan hanya dengan orang asing seperti kita (sebab pelik, tengok pakaian, percakapan, jadi mereka ramah untuk bertanya), malah dengan orang tempatan juga, nak katanya, memang budaya mereka, atau memang perangai mereka yang sudah sedia ramah. Bila pergi ke kedai, anti munawwarin Misr (awak menyinari Mesir). Kalau di Malaysia, mungkin kita akan bertegur sapa, pada orang yang kita kenal sahaja, mungkin ada sahaja yang ramah, tetapi mungkin tidak seramai seperti di Mesir. Rata-ratanya begitulah.

Di sini, aku selalu melihat, manusia yang rata-rata umur seperti abahku atau atukku, menggalas beg berat, berjalan dari permulaan jalan hingga ke hujung, dari satu jalan ke jalan yang lain, dalam beg berisi, stokin, baju, tali pinggang, hatta, ada yang menjual  mangkuk plastik, dan dulang, menjujung semuanya di kepala, dan ada juga yang menjual karpet-karpet kecil, dilipat, dan dijunjung di kepala. Sedih. Betapa bersungguhnya mereka untuk mencari duit untuk mendapatkan roti dan nasi, bukan untuk dirinya sahaja, malah, anak-anak di rumah yang ramai, kelaparan, menunggu ayah mereka pulang. Di waktu malam pula, di kala manusia berehat, minum-minum di kedai kopi, menonton televisyen masih ada pakcik yang sedang mengilatkan beberapa pasang kasut. Aku tidak tahu berapa upahnya untuk sepasang kasut. Tidak henti-henti bekerja. Paling tidak pun, mereka akan menjual tisu, mesti ada sahaja barang yang dijual untuk dapatkan duit. Semua ini, mengajar aku, bersyukur, bersyukur, dan bersyukur. Kadang, kita ini, suka membazir makanan, beli makanan banyak sangat, kemudian tidak dimakan, bila sudah basi, dibuang tanpa rasa bersalah. Selalu kena ingat ada orang yang lagi susah dari kita. Allah berfirman dalam surah Ar-Rahman, ayat yang selalu diulang-ulang Allah dalam surah ini : 'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan'. Ini belum lagi, pakaian, kasut, hai, sungguh banyak pembaziran.

Setakat ini dulu perkongsianku, nanti aku sambung lagi ya, insyaAllah.