Sunday, June 24, 2012

Pasca kemenangan




Aku tidak ke Tahrir hari ini. Kerana abah tidak beri izin. Tidak mengapalah. Moga jiwa dan hatiku bengkak membesar subur, seperti orang-orang yang meraikan kemenangan ini di Tahrir. Dari jauh, kedengaran bunga api bertalu-talu mengisi ruang udara, memecah kesunyian senja, menutup tirai 24 Jun 2012. Sesekali kedengaran pakcik-pakcik atau remaja, di lorong rumahku, menjerit-jerit Morsi..Morsi. Kereta dan motor yang lalu, membunyikan hon, menyatakan keriangan.

             Semasa ucapan daripada  ketua Suruhanjaya Pilihanraya, internet tidak berapa kencang. Aku dan Fathiyyah menumpang telinga dan mata kepada televisyen di kedai kopi, dibawah rumah, bangunannya setentang dengan bangunan kami,  berdiri di balkoni. Agak panas cuaca ketika itu, keluar-masuk, sambil 'update' cerita di muka buku. Buku ditutup, tidak boleh fokus, tak sabar dengan apa yang akan berlaku selepas ini. Dikejutkan dengan kehadiran adik-adik UK dan seorang kakak qawiy UK. Kami sabar menanti pengumuman. Fathy kata, kalau ucapannya panjang, kadang dia adalah satu 'trick', nak beritahu bahawa kemenangannya mungkin adalah Ahmad Syafiq. Takpelah, kita terus tembak doa lagi. Seorang adik, Najwa namanya, kalaulah Ahmad Syafiq menang, apa akan jadi ya? Aku teringat kata-kata naqibahku, apabila aku bertanyakan hal yang sama kepadanya, mana mungkin Allah akan bagi pemerintah seperti Ahmad Syafiq untuk menang, mana mungkin Allah membiarkan pemerintah yang zalim berkuasa, fikir yang baik-baik sahaja, jangan fikir yang bukan-bukan.

             Bila sudah hampir kepada pengumuman, beliau mengumumkan berapa bilangan undia yang diperoleh, dan alhamdulillah, akhirnya sudah diketahui juga siapa pemenangnya. Kami yang bersolat, sujud syukur, panjang, berdoa, menitiskan air mata. Najwa kata, tak sangka, dia di Mesir pada detik-detik yang bersejarah ini, menjerit kepada kawan-kawannya, kenapa Allah memilih kita untuk berada di sini, di saat-saat ini. Apakah hikmahnya, mereka semua berada di sini ketika ini?
           
             Aku masih teringat, ketika revolusi bermula tahun lepas ketika itu, satu bas adik-adik dari Jordan, menziarahi kami di sini. Ketika itu juga ada akhawat dari Russia turut berjaulah ke sini. Cumanya. adik-adik Jordan sempat balik ke Jordan, selamat menaiki kapal terbang, pulang ke Jordan pada waktu yang tepat, tanpa 'delay'. Yang masih tersekat adalah akhawat Russia. Disebabkan ada perintah berkurung tak silapku dari pukul 6 petang sehinggalah 8 pagi esoknya. Waktu 'flight' mereka kalau tak silap pukul 10 pagi. Terpaksa keluar dari rumah pukul 8 pagi, menanggung risiko, takut juga kalau terlepas. Di masa yang sama, adik-adik kami keluar berjaulah ke UK dan Ireland. Ada yang sudah ke menaiki 'flight' dan ada yang masih tersekat di lapangan terbang. Sungguh mencabar tahun itu. Cuti musim sejuk, tidak seperti cuti. Memang sudah dirancang, akan ada daurah, ada program, ada usrah, sepatutnya semakin rancak tetapi ia menjadi beku, kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Jadi batal semuanya. Duduk di rumah, di Beit Kauthar, berbelas orang, dari Beit badar, dari Beit Anfaal, dari Liya Safura. Meriah rumah. Masih teringat bagaimana di waktu malam, kami letak pisau, di tempat-tempat tersembunyi, bawah sofa, belakang pintu. Tingkap-tingkap semua ditutup. Semua orang berkumpul di Kauthar, kerana Kauthar besar dan tinggi (tingkat 3), lebih tinggi dari Badar dan Anfaal, dan lebih besar dari Liya Safura.Sungguh itu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

            Di hari ini, adalah pengakhiran kepada revolusi, bila naiknya Dr. Muhammad Morsi. Mudah-mudahan, sinar islam kembali menyinari. Bukan sahaja di Mesir, malah  di seluruh dunia. Kita kembalikan kegemilangan khilafah islam yang telah hilang dahulu. Ini baru permulaan. Semoga kita semua mengambil bahagian dalam perjuangan ini.






Saturday, June 23, 2012

Nak tengok video, mulakan dengan niat!

Aku sebenarnya orang yang suka visual. Suka tengok video, suka tengok gambar, suka tengok orang. Tapi aku faham, dalam kita meraikan kesukaan kita, masih ada islam yang sentiasa membatasi. Ada hadnya, ada larangannya. Berborak dengan seorang ukhti yang aku sangat baik dengannya. Aku ceritakan padanya bahawa kita kadang bila ingin melihat suatu video, kita kata, takpelah kita tengok dulu, nanti iman yang ada tu akan menapis, akan ambil yang baik dan buang yang buruk. Tapi bila mana kita aplikasikan benda ini, dia jadi semakin berleluasa, sampaikan, benda yang memang betul-betul tak bagus pun, kita nak tengok juga, dan aplikasikan cara yang sama, kalau memang betul video ni tak bagus tak payahlah kita tengok lagi, sebab dia tak sesuai dengan iman kita. Sahabat aku menyatakan pendapatnya. Dia kata, mungkin kita perlu niatkan dari mula, apa motif kita nak tengok video tu, adakah hanya saje-saje, atau adakah memang betul untuk islahkan diri, atau memang nak sebarkan kepada orang lain supaya dapat manfaatnya sekali.


Mungkin aku perlu ubah sikapku dalam pemilihan menonton video dan sebagainya. Aku takut, bila aku belajar hadis dalam hadis 40  'tinggalkan perkara yang tidak ada kena mengena dengan islam' dan hadis  'tinggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan', menjadikan aku perlu berhati-hati dalam kesukaanku ini. 


Moga Allah pandu, amiin.

Bertahan


Maaf,
Aku bukanlah seorang yang genius,
Mahir menghafal dan sangat kuat ingatan,
Menapakkan diri dalam bidang yang mencabar ini,
Membuatkan aku,
Mencabar diriku untuk melakukannya,
Bukanlah aku suka sangat,
Tapi inilah yang telah dipilih,
Sejak 5 tahun yang lalu.

Kini,
Pengajianku semakin tamat,
Dan akan bergraduasi dalam masa setahun setengah sahaja lagi.

Sejak lima tahun lalu, 
Tersepak dengan batu besar di jalan,
Bernama tarbiyah batu itu,
Ia mengubah hidupku, 
180 darjah.

Kalau dulu aku pergi,
Dimuntahkan oleh kapal terbang ke sini,
Niat hanya memenuhi impian bonda dan ayah,
Menuruti pilihan mereka,
Tetapi kerana sebuah tarbiyah,
Aku menjadi manusia lain,
Berusaha sedaya upaya untuk menghafal,
Berusaha sedaya upaya untuk menuntut ilmu,
Berusaha sedaya upaya menahan panas terik dan sejuk yang melanda,
Bukan kerana gaji yang banyak yang mahu dirasa,
Tetapi tuntutan tarbiyah yang mengajar diri,
Merubah diri menjadi lebih baik,
Niatkan belajar kerana Allah dan ummah.

Moga sentiasa tidak lari,
niatku dan dan niatmu,
Sampai bila-bila,
Amin.