Friday, October 25, 2013

Koreksi Bait Muslim II







Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, ianya sudah berumur 2 bulan. Dan sudah banyak yang berlaku, sudah banyak perkara yang telah dilalui bersama. Bermula dengan menyesuaikan diri antara satu sama lain, kemudian menyesuaikan dengan ahli keluarga masing-masing terutamanya ibu, abah, umi dan abuya. Kemudian bersama ahli keluarga yang lain, maka berpergian ke sana sini, menziarah pakcik dan makcik. Bila sampai di Mesir, kepala mendesak memikirkan pencarian rumah untuk kami tinggal berdua. Dan alhamdulillah, Allah mudahkan apabila seorang ahli usrah dan zaujnya menyerahkan rumah mereka yang kosong kepada kami, kosong dengan manusia tetapi penuh dengan isinya, cukup untuk kami hidup selesa. Masalah air dan gas di permulaan hidup kami di Beit Raudhah (nama yang sama, kami kekalkan, moga-moga rumah ini menjadi taman syurga Raudhah, buat penghuninya dan juga tetamu yang bakal
mengunjunginya, ameen), rumah di tingkat 9, kemungkinan besar masalah air itu ada. Alhamdulillah,
sangat-sangat merasai Allah selalu mudahkan segala urusan kami.

Ramai rakan yang bertanya, bagaimana kehidupan setelah bernikah. Jawapanku, ianya sama seperti dahulu, kita masih ada tugasan kita, iaitu belajar (sekarang ini sedang bertungkus-lumus untuk menghadapi imtihan akhir tahun 6, tinggal lagi 24 hari), kita masih ada anak-anak usrah yang perlu diuruskan ( walaupun sebenarnya, aktiviti usrah bersama mereka dikurangkan seketika untuk memberi ruang kepada persediaan imtihan, tetapi masih bermu'ayashah bersama mereka), kita masih ada tanggungjawab bersama rakan-rakan usrah dan rakan-rakan di kelas, kita masih seorang anak kepada ibu dan abah. Tetapi yang menjadi cabarannya ialah bertanggungjawab dengan cinta ketiga setelah Allah dan Rasulullah SAW ini. Redhanya itu, amat besar untuk kita harapkan. Kalau sebelum ini, hidup berseorangan, tidak perlu kisah soal makan, ianya tidak bagus untuk diamalkan ketika kita sudah bernikah. Kalau sebelum ini, tidak kisah waktu tidur dan rehat, tetapi bila hidup berdua, tidak pantas ianya tidak dijaga. Kalau sebelum ini, tidak ambil peduli sakit demam sendiri, tetapi kini, yakinlah akan ada pahala-pahala berlimpahan, buat isteri yang menjaga sakit  demam suami. Pelikkan! Namun itulah yang dijanjikan Nabi SAW:

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Jika seorang wanita melaksanakan solat lima waktunya, melaksanakan puasa pada bulannya, menjaga kemaluannya, dan mentaati suaminya, maka ia akan masuk syurga dari pintu mana sahaja ia kehendaki (HR Ibnu Hibban)

Walaupun demikianlah tanggungjawab kita apabila sudah berkeluarga, pastinya, kita-kita yang sudah  terlebih dahulu berkeluarga dengan dakwah dan tarbiyah, maka itulah yang menjadi prioriti kita juga. Jika sebelum ini, belajar nombor satu tetapi dakwah bukan yang kedua, dan mungkin jugalah kita perlu menambah suami atau isteri atau keluarga di tangga pertama kita. Tidak ada satu pun yang terkecuali, tidak ada suatu pun yang akan dianaktirikan. Tidak mahu seperti anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah mati kebuluran. Cabaran bagi kita untuk membentuk muwasafat tarbiyah bukan hanya kepada diri  sendiri dan manusia di luar rumah, bahkan ahli keluarga di dalam rumah, anak-anak dan isteri. Sepertimana kalam seorang pakcik kabir dalam dakwah, "Ana takkan percaya, selagi antum tak berkeluarga, selagi antum tak kerja, ana takkan percaya ketsabatan antum sekarang ini". (Ohoi!terbakar! ini belum ada anak lagi, belum lagi jadi doktor lagi!) Begitulah sifat individu muslim yang kita imani, mengimbangi seluruh tanggungjawab dan tidak akan meninggalkan walau hanya satu perkara.


Bukanlah juga apabila kita bernikah, hanya mengharapkan pasangan kita yang dapat membimbing segala perkara. Jadilah imamku wahai suamiku, jadilah pembimbingku wahai suamiku, jadilah penemanku wahai isteriku! Sejujurnya, apabila kita bernikah, kita masih perlu menolak diri berusaha sendiri merubah diri. Janganlah hanya berharap, suami yang akan membimbing, sedangkan hati sendiri menolak untuk berubah. Apakah nasihat-nasihat dan ajakan baik suami atau isteri akan memberi kesan kepada kita untuk menjadi lebih baik. Tidak, sama sekali tidak! Kita yang mahu mengubah diri, tetapi mengapa mengharapkan orang lain? Suami isteri seperti sepasang stokin, tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Masing-masing bantu diri sendiri dan bantu juga pasangan sendiri. Siapa yang memberi lebih, berkorban lebih, mengajak kepada kebaikan lebih, maka dialah yang akan mendapat ganjaran lebih dari Allah SWT. Itulah fastabiqul khairat dalam berkeluarga. Jangan hanya fikir, aku sudah banyak berkorban, aku yang paling sibuk membuat kerja, aku yang paling itu dan ini, tetapi fikirlah apa lagi yang kita masih belum berkorban, apa lagi yang masih kita belum tunaikan. Suka sekali dengan perwatakan Ummahatul Mukminin Khadijah r.a., semuanya yang diberi  untuk Rasulullah SAW bukanlah diminta baginda. Seorang muayyid rasul yang sungguh setia. 

Pernah bercurhat dengan seorang ukhti yang juga baru berkeluarga, "Saya rasa duduk di RI (Rumah Islam) sangat-sangat membantu saya apabila berkeluarga". Mengangguk, setuju sungguh dengannya. RI ibarat tangga kecil sebelum melangkah ke tangga kedua BM. Di RI, di situlah kita mentarbiyah diri  dan manusia di dalamnya. Bagaimana kita menjaga waktu makan ukhti kita, dengan mengikut jadual dan  masak pada waktu yang sesuai. Bagaimana kita menjaga waktu solat kita, berusaha berwudhu' sebelum waktu solat, atau setelah betul-betul habis azan, dan bersiap, memanggil akhawat lain bersolat. Bagaimana kita melaksanakan syahadah kita, berkongsi tazkirah, membedah buku dan sebagainya. Bagaimana kita menjaga hak ukhti kita, apabila dia sedih, pinjamkan bahu kepadanya untuk dia menangis,  telinga untuk dia bercerita, pinjamkan duit apabila tidak berduit. Bagaimana kita menjaga kebersihan rumah kita, bilik kita, apabila kita mengikut jadual rumah yang disediakan dan membuat tugasan yang telah ditetapkan. Sungguh, pengalaman-pengalaman duduk di RI amat membantu diri untuk lebih cekap menguruskan rumahtangga kita, rumahtangga lebih basah dan berisi.


Moga-moga Allah akan membantu kita untuk membentuk diri sendiri menjadi individu muslim yang cukup semua sifatnya, dan kemudian membentuk orang-orang di sekeliling supaya menjadi seperti kita. Jalan masih jauh, selagi mana kiamat belum datang, masih belum terlewat untuk mengubah diri dan manusia sekeliling, masih banyak lagi kerja-kerja yang belum habis, masih banyak lagi amal-amal yang belum teramal.


Moga-moga bait muslim ini, akan melajukan lagi pembinaan manusia-manusia yang faham islam dan tujuan penciptaan hidupnya.


Moga-moga bait muslim ini dengan kurniaNya, sentiasa melimpahkan sakinah, mawaddah dan rahmatNya.



Moga-moga kita masih lagi di jalan yang sama, jalan susah payah, kerana untuk syurga, perlulah jalan yang payah kepadanya. Tsabbit quluubana ya Rabb!

Wednesday, October 2, 2013

Koreksi Bait Muslim

Terucap syukurku
Aku memilihmu
Tuk menjadi teman
Hidup setia selamanya
Belahan hati ini
Kini telah terisi
Aku dan dirimu
Mengikat janji bahagia
Dan belayarlah kita renda keluarga
Merentas hidup bersama
Aku bahagia
Ku dipertemukan belahan jiwaku
Tuhan persatukan kami untuk selamanya
Hingga bahagia di syurgaMu
Pegang tanganku
Tataplah mataku
Engkau ditakdirkan untukku
Belahan hati ini
Selalukan ku jaga
Meniti sakinah
Penuh kasih sayang
Dan rahmatNya
Kau pembimbingku
Suamiku tercinta
Engkau ditakdirkan untukku
(In-Team)

Di malam majlis sebelum pernikahan esoknya, seorang makcik membisikkan di telingaku, "Nanti, banyak-banyak bersabar ya!". Makcik hadir bersama keluarganya, menyempatkan diri seketika sebelum memenuhi jemputan walimah di Johor. Malam itu mereka terus ke Johor, setelah menghadiri majlisku.

Keesokan harinya, selepas selesai ijab dan qabul, dan kami sudah menjadi penyatuan halal, seorang makcik juga membisikkan perkara yang sama kepadaku dan zauj. Pada mulanya, dia membisikkan kepada zaujku dan kemudiannya kepadaku. "Sakinah, kunci pertama adalah sabar, kamu berdua tak kenal masing-masingkan?", makcik pesan, bersungguh. "InsyaAllah makcik!", kata-katanya menusuk hati.

Di majlis menyambut menantu di Meru, sebelah zaujku, makcik yang sama juga berpesan, tetapi kali ini dia berpesa kepada kami serentak. "Syamil dan Sakinah, kunci yang kedua ialah, menerima apa sahaja yang ada pada pasangan kita, dan sentiasa memerhatikan yang baik-baik darinya, jangan terlalu memikirkan yang buruk-buruk sahaja".

Sebulan lebih bernikah, moga Allah berkati kita sentiasa.

Di suatu malam, zauj mengajakku menetapkan beberapa niat, tujuan kami bernikah, dan kesemuanya ada lima. Yang pertama, kita kahwin kerana Allah, kerana mahu kejar redha Allah SWT. Yang kedua, kita kahwin kerana untuk mendukung antara satu sama lain dalam jalan dakwah dan tarbiyah. Yang ketiga, untuk menyempurnakan sebahagian lagi agama. Yang keempat, mengikuti sunnah Rasulullah SAW dengan bernikah. Yang kelima, untuk zuriat, peneman dan penyambung gagasan dakwah dan tarbiyah. Rupanya, sungguh banyak niat yang perlu dipadukan bersama hati, supaya ghayah kita tidak lari.

Merasakan bahawa sungguh cepat Allah memberi rezeki.Walaupun bagi kita rasakan ianya cepat, tetapi bagi Allah itulah masa dan keadaan yang sesuai untuk kita mengetahuinya dan memberi komitmen padanya.

Adakah betul dengan bernikah, ianya akan melajukan dakwah dan tarbiyah? Mungkin ianya masih terlalu awal untuk diukur dengan hanya sebulan lebih. Mungkin juga kecemerlangan sebulan lebih itu memberikan impak yang berganda di masa hadapan pula. Masing-masing tahu dan perlu muhasabah bersama. Sebab itu penting niat awal untuk hidup berasama perlu sentiasa dipateri.

Betapa ramai ikhwah akhawat yang dikenali, walaupun masih 'single' tetapi sungguh thabat dalam mencurahkan amal dakwahnya. Malu jika dikatakan bait muslim itu mampu mengembangkan dakwah dan tarbiyah, namun tidak dapat dibuktikan oleh kita-kita yang sudah ini.

Kakak pernah menyuarakan, "Kita tak pernah bercinta Kinah, maka semestinya kita rasa seronok di awal bernikah". Nikmatnya pacaran setelah bernikah.
Jangan sampai keseronokan itu menghapuskan seluruh niat bait muslim kita. Sudah-sudah berperasaan demikian, sudah tiba masanya kita bersungguh dalam apa yang diniatkan.

Allah, ahlan, datangkanlah sakinah, mawaddah dan rahmah kepada kami. Sentiasa menunjukkan kami jalan sebenar perjuangan. Amiin.