Monday, November 25, 2013

Koreksi imtihan :Kerana kita punyai Allah

Masih tergiang-ngiang di telinga, perkongsian dari seorang ukhti, "Seorang doktor yang bercakap tentang islam, tentulah dirinya lebih dipercayai daripada tukang sapu-sampah tepi jalan bercakap tentang islam". Dan begitulah sedikit-sebanyak, bagaimana niat asal menekuni perubatan bertukar 180 darjah. Dan masa pun berjalan, dari tahun ke tahun, sehinggalah tak sedar, rupanya sudah habis 3 ujian bertulis untuk subjek 'Internal Medicine' untuk imtihan akhir tahun 6.

Betulkan niat adalah perkara yang menguatkan. 6 tahun setengah dihabiskan untuk belajar 'medic' adalah satu perkara yang lama. Semakin meningkat tahapan, maka semakin tinggi pengharapan dan penyangkutan hati dengan Allah. Semakin tinggi ilmu maka semakin tinggilah keimanan pada Maha Pencipta. Mungkin di suatu masa dahulu sebelum menginjak ke pengajian perubatan, pernah merasakan bangga diri, mendabik dada, 'rasa cam bagus', budak harapan sekolah, apabila dapat menyambung pelajaran dalam perubatan, bagiku yang biasa-biasa sahaja, bukanlah mudah untuk sentiasa kehadapan. Maaf aku katakan, tetapi sungguh prestasi aku di sekolah tidak sama seperti sekarang. Mungkin lebih banyak sisi-sisi ujian kematangan dari Allah dan dugaan yang mencabarkan niat sebenar mengapa aku ambil perubatan. Allah, ada perancangan terbaik untukku dan kita semua. Dan bukanlah molek jika hanya melepaskan batuk di tangga, berhenti membina tangga-tangga kejayaan di tengah-tengah, dalam keadaan kemelut susah dan bingung dengan bidang perubatan. Kerana aku, hamba yang lemah, manusia yang ditarbiyah, mengajar erti kekuatan, individu muslim yang cuba melengkapkan 10 sifat-sifat terbaiknya. Cuba dan cuba.

Tidak adil untukku katakan, bidang perubatan sahaja yang paling berat. Siapa-siapa yang ambil bidang-bidang yang lain ringan sahaja, tidak seperti perubatan. Tetapi sungguh, ianya berat kerana belajar tentang makhluk yang paling kompleks yang Allah buat. Tidak akan sama lagi jika tersilap membuat keputusan, akan malanglah pesakit yang kita rawat, jika tersilap mengkaji dan melihat.

Allah itu adalah pada sangkaan hambaNya, dekat pada hambaNya. Allah jualah yang memberi apa yang Dia mahu. Jika bukan kemahuanNya maka dia akan membuangnya jauh dari kita. Allahlah yang selalu menemani setiap suka dan duka. Berdebar untuk imtihan, berdebar semasa jawab soalan, berdebar semasa tunggu keputusan. Allahlah pengubat segalanya. Merasakan bahawa Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya yang berniat yang baik, yang berusaha baik, terus dan terus berusaha. Moga Dia masih sudi untuk meneman sehingga redhaNya menjemput keriangan.

Usaha itu penting, malah doa juga salah satu usaha. Jangan pernah meletakkan tawakkal tanpa usaha, usaha habis, dan kemudian bersandarlah padaNya. Jadilah seperti bunda Maryam yang melahirkan Isa, walaupun letih melahirkan, digoyangkan juga pokok tamar, bergugurlah tamar, sebagai bekalan baginya. Jadilah seperti sahabat nabi, mulanya lupa menambat unta, bila ditegur Nabi SAW, akhirnya dia mulai menambatnya. Jadilah seperti Nuh, walaupun hanya sedikit bilangan yang mengikut, dia masih teguh dan yakin kerja dakwahnya. Jadilah seperti Habib An-Najjar, nyawanya terancam kerana mulai berdakwah, namun dia berusaha melakukan juga. Usaha dan usaha.Biar Dia yang uruskan segala, dan kita terus berusaha berdoa dan berharap padaNya.

Ya Allah, aku tiada yang lain selain dariMu. Aku hanya bersandar padaMu. Bantulah aku dalam setiap inci kehidupan. Sentiasa membawa aku dalam kebaikan. Berikanlah kekuatan. Jangan pernah tinggalkan aku.

Betulkan niat, niat dan niat! Dia yang dekat.Hasbiyallahu la ilaha illa huwa 'alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul 'arsyil kareem.