Tuesday, January 8, 2013

Bakal merindui..T_T (2)

"Dulu, masa mula-mula sampai di sini, dah set mind akan habis medic masa umur 24 tahun, tak sangka sekarang kita dah dekat sangat dengan umur 24 tahun tu," ujar Aimi. "Yelah, sebabnya, masa fly sini, umur baru berbelas-belas tahun, cepatnya masa," Aimi menambah. Perbualan kami di tengah-tengah 'Surgery lecture' , sambil-sambil menunggu doktor 'set up' video pembedahan membuang pheochromocytoma.

Tempoh hari juga, mengikut ustazah dan makcik, menziarahi makcik yang baru bermastautin di Kaherah. Antara perkara yang diborakkan, tentang penyesuaian diri di sini. Cuacanya, bahasanya, orang-orangnya, kebersihannya, rumahnya. Biasalah, adat mendatang negara orang, lama masa yang diperlukan untuk menerima keadaan sekeliling. 

Masih teringat, dulu-dulu, duduk di Masakin Fustat. Kamilah batch pertama tinggal di sana. Sebelum ini, tidak pernah ada orang lain tinggal di sana. Kami adalah batch kedua teramai yang JPA hantar di Mesir. Masa itu, susah, duit sewa rumah tinggi. Kemudiannya, sangat jauh dari universiti. Lebih kurang sejam dari rumah. Perlu naik 2 'transport' untuk ke universiti. Ada 2 kawasan perumahan, fasa 1 dan fasa 2. Hanya ada 3 buah rumah sahaja di Fasa 2, dan salah satunya adalah rumahku. Baki yang lain ditempatkan di fasa 1. Hanya 5-10 minit memisahkan jarak antara keduanya. Pada awalnya, kami semua dihantar ke universiti dengan menyewa sebuah bas. Maka bergilirlah antara ikhwah dan akhawat. Minggu ini, pakcik bas akan ambil ikhwah dulu, akhawat kemudian. Minggu depan akhawat pula yang mula-mula, barulah ambil ikhwah pula kemudiannya. Kemudian, dek kerana tak cukup duit, maka kami berpakat untuk tidak lagi menyewa bas. Masing-masing ke universiti sendiri-sendiri.

Rata-rata, kelas kami bermula seawal jam 8 pagi sampailah 4 petang. Sungguh lama masa yang diambil. Lebih kurang 8 jam sehari di universiti. Yelah, rumah jauh, tak boleh nak tidur kejap, atau nak pergi 'toilet', atau nak makan dulu di rumah. Biasanya, akan menumpang kasih kakak-kakak senior tahun dua ketika itu. Beit Kasr El-Mawaddah, rumah kak Insyirah, kak Biha, kak Atim, kak Yana (siapa lagi seorang, tak ingat, maaf....)  Kak Cuna, Kak Dayah. Jazakunnallahu khairan kathira. Kini, kakak-kakak ini sedang berjuang dalam peperiksaan akhir mereka, sebelum bergelar doktor. Kakak senior SMAPL, kak Paan yang jadi shaah sister untuk rumah kami, tolong temankan beli barang-barang plastik, cool sangat tolong cakapkan dalam bahasa arab, tolong cakapkan untuk kurangkan harga. Melihat kakak-kakak ini, hebatnya mereka! Terutamanya untuk berbahasa arab tu. 

Bagiku, sebulan untuk aku menerima situasi yang baru ini. Sedih sebulan. Sedih melihat orang-orangnya, yang agak kasar, sedih melihat sampah-sarap di sana sini, sedih sebab kelas jauh, sedih sebab pertama kali rasa musim sejuk (tak tahan sejuk). Dikala, kesedihan-kesedihan ini muncul, maka adanya satu benda yang bernama tarbiyah muncul di antaranya. Memberikan kita kekuatan dan semangat untuk terus kuat di bumi orang. Dalam keadaan untuk mengubati kesedihan-kesedihan yang ada, dan menerima kesibukan kuliah perubatan, boleh pula cuba-cuba DF kawan-kawan, bawa usrah mereka, ajak mereka sekali dalam tarbiyah. HOHO. Sumber kekuatan yang diperoleh hanyalah dari yang Maha Berkuasa. Subhanallah. 

Bila perwatakan di sekolah adalah seorang yang tidak bercampur dengan orang, maka di sinilah aku mulai mengenal apa erti berkawan. Maka, adalah hati-hati yang terluka, disebabkan diri ini tak pandai mengambil hati dan bergaul. Maaf ya, ahli beit, Heno, Dayah, Huda, Maryam dan Nunu. Tetapi, kerana tarbiyah itu menjadi daya penolak, maka kita belajar juga untuk bergaul dengan manusia, mengenal hati budi orang sekeliling. 

Di tahun pertama, walaupun tidaklah banyak, tetapi tarbiyah telah mendidikku untuk menjadi manusia yang lebih baik, ada hadaf dan ghayah hidup. Teruskan berjalan tanpa henti di bumi asing ini. Orang-orang Arab yang aku jumpa, kadang-kadang ada bertanya, di Malaysia tiada kuliah perubatankah? Tapi, jawapan yang  mudah adalah 'ashan minhah min hukumah'. Sungguh, kalaulah datang ke Mesir hanya mahu belajar ilmu perubatan sahaja, baik balik Malaysia, tak perlu datang jauh-jauh untuk belajar di sini. Maryam pernah memberikan semangat, kalau boleh, lepas kita habis tahun pertama ini, kita balik Malaysia, kita menjadi orang yang baru. Mak ayah rasa lain, kita bukan lagi anaknya yang malas, kita bukan lagi anaknya yang suka menjawab, kita adalah orang yang baru. Kerana sebuah tarbiyah yang mengajar diri. Itu baru Maryam kata, selepas tahun pertama, kalau selepas tahun enam ini...??? Sepatutnya, perlu menjadi lebih baik, lebih solehah, lebih banyak lagi perubahan yang berlaku. 


Tarbiyah, satu entiti yang sangat mahal harganya. Dan itu yang aku jumpa di sini. Di samping belajar perubatan yang kukira susah ini. Menjadi daya penolak untuk berjalan, malah berlari dan terus berlari. Kerana kehidupanku, tidak akan terhenti selepas habis tahun enam ini. Dan selepas ini tangga-tangga akan dinaiki. Semakin banyak yang akan dilalui. Terus membina hadaf-hadaf yang membantu untuk mencapai ghayah. 

Jalan-jalan yang aku lalui tiap-tiap hari mungkin pernah dilalui Nabi Yusof A.S. Mungkin pernah dilalui Nabi Musa A.S. Orang-orang hebat di zaman silam, hasil tarbiyah Allah di bumi barakah ini. Dan barakah ini sentiasa menyinari hinggalah kini, walaupun di mata kasarnya hanyalah longgokan sampah, dan debu pasir yang menyakitkan. Tetapi di sebaliknya, ada ayat-ayat Allah yang mengesankan hati. Siapa sahaja yang tulus ikhlas, melaksanakan apa sahaja, untuk meraih redhaNya. 

Allah, mudahkanlah, semuanya. Jangan pernah tinggalkan aku untuk hadapi segala yang Engkau telah tetapkan untukku. Kerana hidayahMu sentiasa menjadi penunjuk arahku.