Wednesday, December 18, 2013

Koreksi imtihan: Cukup-cukup sudah kerisauan


“Pakcik, mohon doanya ya, Kinah ada exam akhir bulan 11 nanti,”pintaku pada pakcikku yang aku temui.

“Makcik, mohon ya doanya, insyaAllah bulan 11 ini ada exam, habis semuanya biiznillah, bulan 2 2014,” kataku pada makcik, meminta doa darinya.

“Ibu, jangan lupa ya doakan Yong,” pesanku pada ibu. “Ya, ibu tak pernah lupa, setiap lepas solat ibu doakan yang terbaik untuk anak-anak ibu semua,” dia, yakin membalas permintaanku.

“Ummi, mohon doakan Sakinah ya,” ku memohon doa dari ibu mertuaku. “InsyaAllah, ummi doakan yang terbaik untuk Sakinah.”

Ku biasakan diri, bermula tahun akhir pengajianku, setiap kali menjumpai manusia, meminta mereka, jangan lupa menitipkan aku dalam doa mereka, bukan hanya untuk pelajaran, malah untuk keseluruhan kehidupan yang baik dunia dan akhirat. Malah, turut berpesan kepada pakcik dan makcik yang ku kenal melalui ‘Facebook’, memohon doa dari mereka yang soleh dan solehah. Malah, ada di antara mereka yang sudi untuk solat hajat untuk memohon kebaikan untuk kami.

Masih teringat, semasa di sekolah dahulu, terutamanya ketika menghadapi imtihan besar seperti PMR dan SPM, sokongan dan dorongan dari kawan, junior, senior dan guru-guru amatlah mengharukan. Sebelum bermula imtihan esoknya, biasanya junior-junior akan datang ke bilik dan melekatkan kata-kata semangat pada ‘locker’ kami ketika kami sudah masuk tidur. Apabila pagi menjelang, bangun pagi sahaja, melihatkan kertas-kertas berwarna warni dilekatkan sudah cukup memberikan keriangan dan ketenangan. Bahawa mereka juga turut bersama-sama mendoakan yang terbaik untuk kita.

Entah mengapa, sungguh, imtihan akhir ini benar-benar menguji. Kerana ini adalah yang terakhir, sebelum melangkah ke ruang pekerjaan. Betulkan teori yang selama ini difahami sefaham-fahamnya? Apakah betul analisa penyakitnya? Apakah pula jalan terbaik rawatannya? Semuanya ini akan diaplikasi pada manusia. Salah memberi ubat, padah akibatnya.

 Mungkin juga kebimbangan ini kerana mengandaikan bahawa pensyarah-pensyarah yang mengajar akan memandang tinggi pada kami, yalah sudah di tahun akhir, semestinya tahu segala serba-serbi. Dan pada hakikatnya, Allah sahaja yang mengetahui pengetahuan terbatas yang dimiliki. Hanyalah doa dan harapan menjadi penguat langkahan.


Jangan sesekali merendahkan doa
Sememangnya, kekuatan doa ini, jangan sesekali menafikan kekuatannya. Kerana Allah berfirman:

“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu, tentang Aku, maka katakanlah bahawa sesungguhnya Aku ini dekat. Aku dapat mengabulkan permohonan orang yang berdoa padaKu jikalau ia telah memohonkan itiu padaKu,” (2:186)
Siapakah kita mahu menidakkan doa, sedangkan Dia sudah mengatakan sedemikian tentang doa. Dia berfirman lagi:

“Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan doamu,” (Ghafir:60)
Nah, apa lagi yang kita mahukan, Allah sudah memberikan jawapannya kepada kegusaran kamu, mengapa lagi risau dan bimbang tidak menentu. Sudah-sudahlah, usaha sudah, tinggal sahaja doa dan tawakal padaNya.

Sekian ramai para sahabat yang berdoa dan dimakbulkan permintaanNya. Sesungguhnya, mereka melalui saat-saat yang lebih sukar dari kita, tetapi Allah Maha Berkuasa, memakbulkan permintaan mereka. Mana mungkin kita yang merasakan kesukaran yang biasa, Allah pasti mampu memakbulkannya. Jangan sampai kita sudah putus asa mencuba berdoa, sehingga suuzhon padaNya.

“Doa itu juga satu usaha,” kata-kata kakakku mengesankanku. “Dia sudah meletakkan keputusan yang terbaik untuk kamu, dan doa dari kamu juga sudah dia tetapkan, berusahalah berdoa yang terbaik.”

Berdoa sebaik-baik perkara
Kisah Uwais Al-Qarni, seorang tabiin yang hebat doanya. Sehinggakan Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat, “Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah mencarinya. Dia akan datang dari arah Yaman dan dia dibesarkan dari arah Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu. Carilah dia. Kalau kamu berjumpa dengannya minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.” Lalu Saidina Umar dan Saidina Ali bertanya, “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi SAW menjawab, “Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa-dosa kalian.”
Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali adalah orang-orang yang dijamin syurga mengapa Rasulullah meminta juga mereka menemui Uwais al-Qarni dan mendoakan mereka? Mereka juga tidaklah merasa bangga dan menolak untuk berjumpa dengan Uwais. Malah mereka tertunggu-tunggu kemunculan Uwais supaya Uwais al-Qarni mendoakan mereka.
Apakah kita merasakan sudah memadai dengan usaha sahaja, sedangkan doa itu juga suatu usaha dan pengharapan kita. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali sudah cukup amalannya dan melayakkan mereka ke syurga, dan ditambah lagi dengan doa dari Uwais al-Qarni, menjadikan diri mereka manusia yang bersih hatinya, terang dari segala noda dan dosa. Dan kita berterusan, merasa bangga dengan pencapaian tanpa doa dan pengharapan pada Allah.
Tamparan juga kepada diri sendiri apabila membaca kisah Uwais dan dua sahabat nabi ini. Kita sering mendoakan tentang keduniaan, sedangkan akhirat jauh ketinggalan. Takut imtihanlah, bimbang tidak bertemanlah (berkahwin), bimbang tidak dapat anaklah, bimbang tidak cukup duitlah. Merasakan seperti keanak-anakan dengan kebimbangan tersebut, sedangkan Nabi SAW, para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin sudah jauh meninggalkan keduniaan dan berusaha merapatkan diri dengan akhirat. Malu kepada mereka, sedangkan impian aku dan mereka adalah sama iaitu syurga. Bukanlah salah untuk berdoa tentang hal dunia, namun akhirat lebih memerlukan jaminannya. Adakah kita menjamin kita bisa mendapatkan syurga dengan hanya berdoa untuk kebimbangan dunia.
Sesungguhnya, amat banyak perkara yang kita perlu usaha dan kemudian berdoa untuknya. Dunia dan akhirat kedua-duanya seimbang dan sekata. Berjaya dalam kerjaya yang bukan untuk dirinya semata, memberi sepenuhnya dalam dakwah dan tarbiyah, berjaya membentuk diri menjadi insan yang memahami tujuan hidup dan ghayah Tuhannya. Tambahkan lagi tiket-tiket untuk ke syurga, bukan hanya satu doa untuk satu perkara, malah berkali-kali juta doa untuk berbillion perkara.
Hindari berteka-teki, apakah Dia (Allah) tidak dengari
Sebuah kisah yang menyentuh hati berkenaan doa:
Seseorang datang mengeluh kepada seorang ustaz lalu bertanya, “Ustaz, dimanakah keadilan Allah? Sudah lama saya memohon kepadaNya hamun tidak pernah dikabulkanNya. Saya solat, puasa, bersedekah, berbuat kebajikan, namun permintaan saya tidak dikabulkanNya. Padahal ada kawan saya yang ibadahnya lintang-pukang, bicaranya menyinggung hati, akhlaknya buruk, namun apa yang dimintanya dikabulkan dengan cepat. Oh, sungguh tidak adil Allah!”
Ustaz itu bertanya, “Bagaimana jika datang kepadamu pemuzik jalanan (yang mengharapkan wang), berpenampilan seram, kotor, bertindik dan nyanyiannya tidak merdu serta memekakkan telinga. Apa yang kau lakukan?”
“Saya akan beri dia wang agar dia cepat-cepat berlalu pergi,” jawabnya.
Ustaz itu bertanya lagi, “Lalu bagaimana jika pemuzik itu bersuara merdu, mendayu-dayu, menyanyi dengan sopan dan penampilannya rapi lagi wangi, apa yang kau lakukan?”
“Saya akan dengarkan dan nikmati hingga akhir lagu lalu memintanya menyanyi lagi, sekali lagi dan tambah lagi,” kata orang itu sambil ketawa.
Ustaz itu menjawab, “Kalau begitu boleh sahaja Allah bersikap begitu pada kita hambaNya. Jika ada manusia yang berakhlak buruk dan dibenciNya, berdoa dan memohon padaNya, Dia akan memalingkan wajahNya dan memerintahkan kepada malaikat, “Cepat berikan apa yang dia minta. Aku muak dengan permintaannya! Berilah apa yang dimintanya.” Tambah ustaz itu lagi, “Tapi jika yang menadahkannya yang soleh dan rajin bersedekah, meminta padaNya, maka Allah memerintahkan kepada malaikat, “Tunggu, tangguhkan dulu apa yang dimintanya, Aku menyukai doa-doanya, Aku menyukai esak tangisnya. Aku tak mahu dia menjauhkan dirinya daripadaKu setelah mendapat apa yang dipintanya. Aku ingin mendengar tangisnya kerana Aku mencintainya.”
"Tiada seorang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu dari tiga hal, iaitu dipercepat terkabulnya baginya di dunia, disimpan (ditabung) untuknya sampai di akhirat, atau diganti dengan mencegahnya dari musibah (bencana) yang serupa." (HR. At-thabrani). 
Kekalutan, sehinggakan suamiku berkata, “InsyaAllah, di hari imtihan, insyaAllah akan terjawablah soalan, kertas tidak akan kosong, biarpun ada yang salah, biarpun ada yang tidak pasti, tapi kertas tidak kosong,” Ya betul suamiku, kertas tidak kosong, Allah yang selalu membantu hambaNya, bersyukur kertas tidak kosong. Kalau mahu Allah boleh lakukan, kertas dipulangkan kosong, tidak terjawab, otak ‘blank’, nauzubillah min zalik. Dia masih sudi membantu, tandanya kertas tidak kosong, ilham mencurah-curah semasa menjawab, walaupun ada yang salah, tetapi masih banyak yang Allah bantu. Sudah-sudahlah, risau, maka teruskanlah berdoa.
Berusahalah kita memperbaiki diri, agar doa kita didengari. Kerana doa orang yang bersih hatinya, pasti Allah akan dengari. Dalam meminta doa dari orang lain, jangan lupa kita sendiri juga berdoa,kerana kita yang memerlukan dan mengharapkan. Huh, kebimbangan imtihan ini hanya sedikit, sedangkan banyak lagi yang kita akan tempuhi, ujian Allah ada tahapannya. Dan bersedialah untuk tahapan seterusnya, moga kita semua berjaya akhirnya, dunia dan akhirat sama sekata. Ameen.