Sunday, March 9, 2014

MencintaiMu melalui kalamMu

     Menyedari, bahawa Al-Quran merupakan juzuk terpenting dalam kehidupan kita sebagai hamba. Mana mungkin berjalan di dunia tanpa ada Al-Quran. Analoginya membeli mesin basuh. Pastilah akan ada manualnya. Bagaimana mahu operasinya, butang mana yang perlu ditekan, dan sebagainya. Tanpa manual, maka tidak akan bertahan lamalah mesin basuh tersebut. Butang-butang yang tidak sepatutnya ditekan, salur paip untuk mengalirkan air ke luar dipasang di tempat yang salah, memasukkan baju-baju sehingga melebihi had yang ditetapkan, sehinggalah ianya rosak. Begitulah manusia, memerlukan Al-Quran dalam setiap sisi hidup. Bukan hanya sekadar, apabila resah, terus mencapai Al-Quran dan kemudian menjadi tenang. Bukan tujuannya terkunci setakat itu, malah di dalamnya terkumpul pengajian yang kita perlu ambil sebagai ibrah, yang akan mentarbiyah diri manusia.

Tarbiyah dari kecil 

     Masih teringat sejak dari kecil, mengapa abah bersungguh benar mengajarkan kita alif, ba, dan ta. Bermula dengan kitab nipis Iqra' kemudian berpindah kepada Muqaddam, kemudian berpindah kepada Al-Quran. Sampai dipiat telinga kerana salah membaca berulang kali, sampai diketuk tangan. Kesungguhan beliau, membuktikan bahawa Al-Quran ini seolah-olahnya seperti kawan kita, hidup mati bersamanya. Kalau tidak mengapa sehingga demikian mereka mengajarnya. Adakalanya diberikan pula ganjaran kerana kita berjaya menghabiskan bacaan. Tidak salah aku kitab Iqra' itu mempunyai 6 jilid kesemuanya. Dan aku tidak habiskan kesemuanya, kerana setelah kitab Iqra' yang ketiga, dan kemudian aku lompat kelima, kemudian aku terus membaca Muqaddam. Muqaddam, kita lebih tebal sedikit dari kitab Iqra' yang mengandungi Juz Amma, iaitu juz 30 daripada Al-Quran. Aku tidak ingat secara tepat, tapi aku yakini sebelum aku melangkah ke darjah satu, aku sudah dapat membaca Al-Quran, mungkin ada sahaja sedikit sebanyak kesalahan namun ianya berkat kesabaran abah yang mengajar tidak putus asa. 

    Sehinggakan Makcik Ma, jiran kami dulu, memuji bacaan kami ketika kami berdua (aku dan adik lelakiku) berada di bawah jagaan mereka. Dia bertanyakan siapa yang mengajarkan. Abah yang mengajar kami. Alhamdulillah. Sehingga sekarang, pahala abah berterusan kerana mengajar kami membaca Al-Quran. Dari sekecil, sependek huruf, alif, ba dan ta. Sehinggalah dapat membaca Al-Quran yang tebal, mengandungi beribu huruf. Allah. 

    Jika kita mengimbas kembali zaman kegemilangan Abbasiyah, bermula dari tahun 750 M hingga 1258 M. Sejak dari kecil lagi, kanak-kanak bukan hanya setakat belajar membaca Al-Quran malah sudah mula menghafaz Al-Quran. Bahkan hadis juga. Betapa hebatnya mereka di zaman Abbasiyah dahulu. Corak pentarbiyahan mereka sebegitu menyebabkan munculnya Ibnu Sina, Az-Zahrawi, Al-Kindi, bahkan Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik dan Imam Hanafi semuanya adalah buah hasil pendidikan di zaman itu.Apabila seawal umur 5-6 tahun sudah menghafaz perkara asas iaitu Al-Quran dan Hadis, apabila sudah meningkat ke sekolah menengah tidak ada masalah bagi mereka untuk menimba ilmu tafsir dan fiqh islam. Dan apabila meningkat dewasa, mereka sudah boleh memilih bidang pengkhususan yang mereka minati. Sungguh hebat bukan? Berbanding dengan zaman kini, seawal usia 6 tahun baru hendak mengenal alif, ba, dan ta. Apabila menginjak ke sekolah rendah, masih bertatih untuk membaca Al-Quran dengan lancar. 

Peringkat
Dahulu
Kini
RendahDiajarkan asas-asas Islam. Penekanan diberikan kepada pembentukan aqidah yang jelas. Mula menghafaz Al-Quran dan Hadis. Pembentukan kefahaman terhadap Islam.Sedikit tentang asas-asas Islam. Agama Islam sebagai salah satu subjek daripada pelbagai subjek yang lain. Lebih banyak terdidik dengan media dan mula dibaratkan.
MenengahLanjutan pelajaran tafsir, hadis dan fikih Islam. Islam sebagai asas dalam kehidupan.Sedikit tentang Islam. Lebih penumpuan kepada ilmu semasa.
TinggiAda yang menjadi ulama’ tafsir, hadis, fikir dan sirah. Ada yang mengkaji pelbagai bidang ilmu lain seperti kedoktoran dan menjadi pakar dalam bidang tersebut tetapi asas mereka masih Al-Quran dan Sunah.Umumnya tiada pengajian Islam dan lebih fokus kepada ilmu-ilmu tertentu yang tiada kaitan dengan ketuhanan. Kebanyakan yang mengambil aliran agama pula adalah kerana tidak berjaya mendapat tempat dalam aliran sains tulen.

Mula belajar memahami makna 

    Apabila sudah meningkat remaja, terutamanya ketika di sekolah menengah mula berjinak untuk memahami kandungan Al-Quran. Ketika itu pun, al-quran yang bersaiz kecil yang mengandungi terjemahan masih baru diperkenalkan kepada masyarakat. Ia masih belum popular dalam kalangan kami pelajar sekolah menengah ketika itu. Kemudian aku keluar dari sekolah menengah, baru aku menjumpainya. Dan sungguh teruja apabila mengetahui makna setiap ayat Al-Quran yang dibaca, kerana selama ini, hanya melazimi untuk membaca Al-Quran dan bercita-cita untuk mengkhatamkan dalam masa yang tertentu, tapi kurang mengingini untuk membaca maksudnya. Mungkin itulah yang berlaku kepada musyrikin Makkah dahulu. Mereka yang sememangnya berbahasa arab, sungguh mudah untuk mereka memahami ayat Allah ini. Malah, mereka seolah-olah terpukau kerana tidak pernah mendengar kata-kata yang lebih indah dari Al-Quran. Bahkan Rasulullah SAW tidak terlepas dari turut terpalit tuduhan-tuduhan palsu ahli sihir, cerita-cerita dongeng dan sebagainya. Sedangkan Al-Quran itu aslinya dari Allah SWT, Rasulullah SAW hanya penyeru kepada sekalian manusia. 

Kegembiraan bersama Al-Quran

    Tibalah masanya aku menginjak ke pengajian yang lebih tinggi. Di sekelilingku, sudah ramai orang yang menggunakan Al-Quran kecil tersebut. Kakak-kakak yang baik, ramah dan prihatin mewarnai hidupku dan mengajarkan tentang Al-Quran yang sebenar. Dan ketika itu juga, satu aktiviti yang menyeronokkan apabila menampal kertas lutsinar yang berwarna-warni, setiap kali mempelajari ayat-ayat yang baru. Penuh, semakin ceria Al-Quran milikku. Kemudian dibuat pula pengkhususan, warna biru untuk peristiwa sirah, warna kuning untuk doa-doa, warna pink untuk penemuan-penemuan sains dan sebagainya.  Menyertai usrah sebelum bermusafir ke negara kedua Mesir, masyaAllah ketika itu terbeliak mata, hati seperti di langit, terawang-awang, kerana teruja mentadabbur ayat-ayat Al-Quran. Ya, aku belajar istilah tadabbur. Yang membawa maksud merenung, memerhati dan memikirkan ayat-ayat Allah, juga di akhirnya kita mengaitkannya dengan kondisi diri kita. Uniknya, seolah-olah Allah tahu keadaan hati kita ketika itu. Apabila sedang bersedih, kemudian terus mencapai Al-Quran, tiba-tiba sahaja muncul ayat yang memujuk supaya jangan bersedih. Apabila sedang gembira, muncullah ayat mengajak untuk bersyukur. Seperti kanak-kanak yang tidak bersalah, begitulah aku ketika diperkenalkan dengan usrah yang sebenar. Di situlah aku betul-betul ditarbiyah bagaimana untuk menggunakan Al-Quran sepenuhnya. Di situlah aku memahami apa yang dikatakan Al-Quran sebagai panduan hidup. Ia menjadi panduan hidup apabila kita memahami setiap ayatNya dan cuba beramal dengan sebaiknya. Pentarbiyahan dari ayat Al-Quran itu sendiri kemudiannya membentuk individu muslim, generasi muslim yang cintakan Al-Quran dan menghidupkan kehidupan dengan Al-Quran. 

   Giliran aku pula mentarbiyah manusia supaya menggunakan Al-Quran dengan sebenarnya. 

Daripada Osman Bin Affan R.A telah berkata, Rasulullah SAW bersabda : "Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain" (Hadis riwayat Bukhari) 

   Sepertimana kakak-kakak baik mentarbiyahku, begitu juga aku mentarbiyah manusia lain. Apabila diri kita sendiri merasakan Al-Quran merupakan jisim terpenting kehidupan, kita juga mahukan orang lain merasakan kepentingan yang sama, merasakan kenikmatan yang sama. Adalah tidak adil, hanya kita sahaja yang merasakan keindahannya, tetapi yang lain masih buta atau samar-samar dengan keindahannya. 

Daripada Umar Al-Khattab R.A. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran" (Hadis Riwayat Muslim) 

   Pelbagai jenis tarbiyah yang kita perlu rasai dan hadami ke arah pembentukan individu muslim yang sejahtera. Salah satunya tarbiyah dzatiyah yang di dalamnya kita ditamrin untuk melazimi tilawah Al-Quran dan tadabbur dengannya. Dan biasanya, semua ahli usrah juga melakukannya. Sebagai contoh, setiap hari memerlukan kita untuk membaca dan tadabbur sebanyak 5 muka surat. Semakin lama di dalam tarbiyah, apabila semakin bertambah bilangan ahli usrah, apabila semakin bertambah bilangan usrah yang perlu dibawa, apabila semakin banyak masuliyat yang dipertanggungjawabkan, secara automatiknya, semakin banyak perkara yang diuji. Maka tidak cukuplah hanya bekalan 5 muka surat sehari. Mana mungkin, tarbiyah dzatiyah masih di takuk yang lama. Maka ianya perlu ditambah sedikit demi sedikit. Pernah dikongsikan bersama kami, kisah seorang akhi, yang semakin bertambah bilangan ahlinya. Apabila mutabaah amalnya sama seperti sebelumnya, maka pentarbiyahan kepada anak-anak usrahnya kurang stabil. Sehinggalah dia menambahkan bacaan Al-Qurannya. Alhamdulillah, akhirnya pentarbiyahan anak-anak usrahnya kembali stabil.

ODOJ kerana Allah

   Sehinggalah kini, wujudlah pula program-program untuk menerapkan Al-Quran. Dan yang terkini adalah program ODOJ (One Day One Juz). Program ini asalnya bermula dari ikhwah dan akhawat Indonesia, dan kini telah semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Targetnya adalah untuk menggalakkan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan dan istiqamah dengannya di samping menambahkan kefahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran. Caranya adalah dengan menubuhkan kumpulan sebanyak 30 ahli kesemuanya, dan setiap ahli perlu membaca satu hari sebanyak satu juz. Maka setiap hari, akan khatamlah kumpulan itu dan setiap bulan akan khatamlah secara individu. Alhamdulillah, aku juga diberi kesempatan untuk menyertainya ODOJ ini. Walaupun di ketika itu imtihan akhir sedang berlangsung, namun amatlah perlu bagi kita untuk memelihara mutabaah amal sendiri, terutamanya pembacaan Al-Quran itu sendiri. Alhamdulillah, ODOJ yang aku sertai sudah 2 kali berjaya mengkhatamkan Al-Quran dan alhamdulillah kumpulan yang aku kendalikan juga telah 1 kali mengkhatamnya. Tidak percaya bahawa dalam masa sebulan sahaja sudah dapat menghabiskan bacaan Al-Quran dan juga mentadabburnya.

Semakin jatuh cinta 

   Al-Quran ini, bukanlah perhiasan semata-mata di dalam almari kaca di rumah-rumah kita. Bahkan ianya tidak disentuh, jauh sekali untuk dibaca. Sedangkan di dalamnya terkandung ayat-ayat cintaNya kepada kita untuk kita tadabbur dan aplikasikannya. 

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآَنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

"Mengapa mereka tidak mentadabburkan Al-Quran? Jika Al-Quran itu datang dari selain Allah, pasti mereka menemukannya di dalam perselisihan yang banyak" (4:82) 

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآَنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

"Maka apakah mereka tidak mentadabburkan Al-Quran? Ataukah hati mereka terkunci? (47:24)

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَاب

"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka mentadabburkan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran"(38:29)

Ayat-ayat Allah di atas yang mengajarkan makna tadabbur pada kita. Al-Quran yang dibaca bukan hanya sekadar untuk pahala. Memang benar ada kalam dari Rasulullah mengatakan tentang pahala yang diperoleh apabila membaca Al-Quran. Dari Ibnu Masud R.A., Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud, Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf " (Riwayat At-Tirmidzi)

Maka, tadabburlah Al-Quran bermula dari sekarang, supaya mengesankan hati kita. 

Ambillah peluang untuk menyertai kelas-kelas tahsin Al-Quran, supaya bacaan kita benar dari segi makhraj (tempat keluar) dan sebutannya. 

Pelajarilah tafsir Al-Quran, supaya kita lebih memahami maksud ayat yang dibaca. 

Istiqamahlah dalam pembacaan kita setiap hari, agar kehidupan kita sentiasa terisi dengan kecintaan kepada ayat-ayat Al-Quran dan Tuhan Allah Maha Pencipta dan Mematikan. 










Friday, February 28, 2014

Koreksi Imtihan : Fatawakkal 'Ala Allah


Maka, tirai imtihan tahun akhir perubatan pun ditutup pada 22 Januari 2014. Maka bermulalah urusan setelah imtihan. Membelek-belek kembali senarai yang mahu dicapai setelah imtihan. Kalau dahulu, sambil-sambil membaca buku, kepala ligat berfikir apa yang mahu dibuat. Baca sedikit buku, kemudian terus menaip apa yang ingin dibuat, supaya tidak tertinggal. Ada 16 perkara semuanya, yang diakhiri dengan doa pengharapan, semoga dimudahkan segala urusan dan diberikan najah dalam imtihan, supaya dapat membuat semua perkara. Kemudian zauj menambah di nota akhir, mengaminkan segala yang dihajati. Koreksi untuk diri sendiri, apakah sudah merealisasikan apa yang ingin dibuat? Sudah berapa banyak yang sudah dibuat dan berapa banyak yang belum diusahakan? Sudah lama terlepas dari imtihan tetapi masih banyak yang belum dibuat. Sedangkan masa semakin singkat.

Sekali-sekala teringatkan natijah imtihan yang bakal diumumkan, Allah, Allah. Seolah-olah jantung berdegup luar daripada biasa. Hanya mendoakan setiap hari semoga Allah berikan yang terbaik iaitu najah fil imtihan. Teringat-ingat, kata seorang ahli usrah. Beliau menceritakan, semasa peperiksaan SPM dahulu, setiap hari, tidak pernah tinggal solat hajat. Mungkin itu juga yang dilakukannya sepanjang menunggu keputusan imtihan kali ini. MasyaAllah.

Dalam keadaan yang risau dan sulit, maka perlulah meletakkan sepenuhnya tawakkal padaNya. Meyakini bahawa dia yang meletakkan yang terbaik untuk kita. Tanpa perlu banyak soal dan berprasangka.
Tertarik dengan sebuah cerita mengenai tawakkal. Bayangkan ada 2 orang pengembara yang sedang menaiki kapal besar menuju ke sebuah destinasi. Dalam kapal besar itu juga, terdapat ramai pengembara lain yang turut menghala ke destinasi yang sama. Pastilah kesemuanya mempunyai barang-barang kembara masing-masing. Seorang pengembara dengan yakinnya meletakkan semua barang yang dipikulnya sebaik sahaja memasuki kapal besar ini. Sudah pastinya lelah mengangkat barang, diletakkan sahaja barangnya yang telah dipikul sejak sekian lama.

Manakala seorang lagi pengembara, dia masih mahu memikul bebannya. Dalam keadaan penat lelah dia memikulnya, si pengembara yang seorang lagi menasihatinya supaya diletakkan barang-barangnya. Namun dia masih berdegil, mahu juga memikulnya. Sehinggalah dia melihat persitiwa dahsyat yang menimpa sebahagian pengembara. Ada yang mati kerana tertimpa oleh barangan sendiri, ada yang perlu dicampakkan ke laut kerana tidak mahu mendengar kata nakhoda kapal yang sudah berkali-kali memberitahu supaya meletakkan barangnya. Ada juga yang sudah tua dan lemah tidak mampu mengangkat barangnya, mati dalam keadaan yang menyayat hatinya. Peristiwa dahsyat itu mengesankannya, maka dia pun segera meletakkan barangnya di atas lantai kapal tersebut. Setelah itu dia berasa senang dan selesa. Tidak perlu lagi mengangkat barangannya sehinggalah sampai ke destinasi yang dituju.

Pengembara-pengembara itu ibaratnya kita, manusia. Ada yang menyerahkan kepada Allah setelah berusaha, ada yang separa bertawakkal, ada yang tidak mahu bertawakkal langsung. Manakala kapal besar itu adalah tawakkal. Barangan yang dibawa itulah beban hidup. Begitulah perumpamaanya. Sebaik sahaja si pengembara meletakkan barangannya, nah, maka dia semakin ringan dan lelahnya semakin berkurangan. Sudahkah dia berusaha? Ya dia sudah berusaha. Sebelumnya bukankah dia sendiri memikul beban itu sehinggalah dia sampai ke kapal besar tawakkal dan kemudian terus meletakkan bebannya. Firman Allah SWT: Maka disebabkan rahmat Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (3:159) 

Semoga dapat memberikan sebaik-baik tawakkal kepada Allah SWT dalam segala urusan. Baik urusan pelajaran, baik urusan dakwah dan tarbiyah, baik urusan pekerjaan, segala urusannya. Baik duniawi mahupun ukhrawi. Setelah, setelah kita betul-betul berusaha yang terbaik untuknya sehingga sudah tercapai had yang kita mampu, kemudian serahkan segalanya.

Semoga Allah memberikan yang terbaik dalam urusan pelajaran dan imtihannya. Semoga beroleh najah dan cemerlang dalam imtihan.

Semoga Allah memberikan yang terbaik dalam urusan jodohnya. Semoga Allah mengurniakan orang yang terbaik, di masa yang terbaik, dalam keadaan yang terbaik.

Semoga Allah membimbing yang terbaik dalam urusan pekerjaanya.

Semoga Allah membimbing yang terbaik dalam urusan dakwah dan tarbiyahnya. Allah yang memegang hati manusia, maka mintalah dariNya. Semoga Dia melembutkan hati manusia-manusia yang disentuhi.

Monday, January 27, 2014

Koreksi Bait Muslim III

Indahnya hidup bersamaBait muslim itu indah. Ianya sungguh indah. Yang pastinya, ianya teramat indah apabila di permulaannya, Allah yang mendahului segala urusan. Mungkin niatnya bermula seawal sudah memahami jalan dakwah dan bercita-cita untuk menikahi orang yang memahami jalan dakwah. Kemudiannya diteruskan dengan menghantar borang. Kemudiannya, menantikan calon yang cocok buatnya juga, niatnya bagaimana. Apabila sudah ada calon yang cocok, ditemani orang tengah untuk bertaaruf. Kemudian memanjangkan munajat kepada Allah, beristikharah. Dan kemudiannya melakukan keputusan, semuanya kerana Allah. Bukan kerana perasaan diri, bukan kerana menilai dengan mata semata, bukan kerana terdesak orang tua menegur, kamu sudah berusia, bila mahu berteman. Mungkin juga tidak semua orang yang sama prosesnya seperti di atas. Tetapi yang pastinya, bermulanya itu dengan apa? Siapa yang mendahuluinya dalam semua perkara? Iaitu Allah SWT. Apabilanya ia dimulai dengan Allah, cinta kerana Allah, insyaAllah rumahtangganya ada barakah yang turut menemani. Walaupun ada kekurangan, mesti sahaja perasaan rasa cukup itu didatangkan. Maka itulah barakahnya.


Memilih pasangan Memilih juga harusnya yang bagaimana? Lalu kefahaman juga yang akan menilai pemilihan kita. Jika kita meyakini tangga-tangga maratib amal itu, maka seperti itulah yang kita bina untuk diri kita sendiri. Orang yang bersama-samanya kita yakini dapat membina diri, menjadi individu muslim yang baik, menjadikan hidup kita bukan hanya untuk diri-sendiri maka itulah yang dipilihnya. Mungkin sahaja, kita pernah sahaja melalui proses-proses yang telah disebutkan di atas. Ada yang sampai taaruf sahaja. Ada yang sudah hampir mahu menikah. Ada yang sudah suka sama suka tetapi ada masalah keluarga. Ada yang sudah berkali-kali bertaaruf tetapi masih belum mendapat ketenangan hati kepada calonnya. Doa-doa sahaja, sampai masanya sabar yang membutuhkan penantian itu mengajar, moga Allah memberikan orang yang terbaik, di masa dan keadaan yang terbaik. Saat-saat kekecewaan itu, pasti sahaja Allah mahu mengundan ujianNya. Yang pentingnya kita mencuba, meyakinkan diri untuk memilih orang-orang ini yang akan menjadi teman hidup kita.


Perbandingan, jauhkan!Syaitan itu sentiasa memainkan peranannya membisikkan perkara-perkara yang disukainya. Dan apabila bakalan mendirikan bait muslim pula, akan ada perkara-perkara yang lain teruji. Terimalah dia seadanya. Seadanya yang dia ada. Apakah dia itu gemuk, apakah dia itu tidak cantik, apakah dia berduit, apakah dia seorang yang penyabar. Semuanya diterima seadanya. Mohon jauhkan perasaan membandingkan pasangan kita dengan orang lain. Setiap orang rezekinya masing-masing. Pasangan yang kita ada itulah rezeki kita, itulah jodohnya, itulah ketentuannya. Setiap yang diberi Allah itulah yang sesuai baginya untuk memperolehi syurga. Sekiranya dia seorang yang bukanlah berkulit mulus, bukanlah bermata galak, bukanlah hidung mancung bagai seludang, maka kesabaran kita dan penerimaan kita itulah saham kita untuk ke syurga. Jika dia seorang yang hartawan, dermawan, rupawan, maka kondisinya itu akan menjadi tiket-tiket pemudah cara ke syurga. Setiap orang lain-lain rezekinya.


Hadis 4 Imam Nawawi: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
Yang pentingnya, ketaqwaan kepada Allah dan kecenderungannya kepada dakwah dan tarbiyah itulah yang penting. Dialah orang yang berusaha tipa-tiap hari untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Dialah yang berusaha menghabiskan mutabaah amalnya dan menilai darinya. Dialah yang selalu mengajak kita, mengisi hati-hati yang suram supaya disinari cahaya dakwah dan tarbiyah. Dialah yang pertama-tama mengajak kita menjadi bermanfaat untuk diri dan orang di sekitar. Nah, apalagi yang dimahukan?


Bersyukur dengan apa yang diperolehi    Manusia, yang pastinya, tidak pernah merasa cukup. Beri betis pastilah hendakkan paha. Namun janji Allah itu tidak pernah Dia mungkirinya. "Dan ingatlah juga, tatkala Tuhanmu memaklumkan; Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih (14:7)
Kasihanilah mereka yang masih belum berpunya, sedangkan kamu sudah, malah kurang atau tidak bersyukur barangkali. Kasihanilah mereka yang mengalami masalah sehingga penyelesaiannya sesuatu yang menggegarkan arasy Allah iaitu cerai dan sebagainya. Nauzubillah min zalik, minta dijauhkan segala keburukan. Mari-mari datanglah berbanyak kebaikan dalam perhubungan. 


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,Kau berkatilah kami suami isteri,Anak-anak kami,
Kedua ibu bapa kami,
Seluruh ahli keluarga kami,
Muslim dan muslimat seluruhnya,
Jadikanlah kami,
Orang-orang yang sentiasa menjunjung perintahMu dan meinggalkan laranganMu,
Jadikanlah kami orang-orang yang meredhai jalan cinta Rasul dan sekalian orang yang telah mendahului kami,
Ameen Ya Rabbal Alamin.