Friday, February 28, 2014

Koreksi Imtihan : Fatawakkal 'Ala Allah


Maka, tirai imtihan tahun akhir perubatan pun ditutup pada 22 Januari 2014. Maka bermulalah urusan setelah imtihan. Membelek-belek kembali senarai yang mahu dicapai setelah imtihan. Kalau dahulu, sambil-sambil membaca buku, kepala ligat berfikir apa yang mahu dibuat. Baca sedikit buku, kemudian terus menaip apa yang ingin dibuat, supaya tidak tertinggal. Ada 16 perkara semuanya, yang diakhiri dengan doa pengharapan, semoga dimudahkan segala urusan dan diberikan najah dalam imtihan, supaya dapat membuat semua perkara. Kemudian zauj menambah di nota akhir, mengaminkan segala yang dihajati. Koreksi untuk diri sendiri, apakah sudah merealisasikan apa yang ingin dibuat? Sudah berapa banyak yang sudah dibuat dan berapa banyak yang belum diusahakan? Sudah lama terlepas dari imtihan tetapi masih banyak yang belum dibuat. Sedangkan masa semakin singkat.

Sekali-sekala teringatkan natijah imtihan yang bakal diumumkan, Allah, Allah. Seolah-olah jantung berdegup luar daripada biasa. Hanya mendoakan setiap hari semoga Allah berikan yang terbaik iaitu najah fil imtihan. Teringat-ingat, kata seorang ahli usrah. Beliau menceritakan, semasa peperiksaan SPM dahulu, setiap hari, tidak pernah tinggal solat hajat. Mungkin itu juga yang dilakukannya sepanjang menunggu keputusan imtihan kali ini. MasyaAllah.

Dalam keadaan yang risau dan sulit, maka perlulah meletakkan sepenuhnya tawakkal padaNya. Meyakini bahawa dia yang meletakkan yang terbaik untuk kita. Tanpa perlu banyak soal dan berprasangka.
Tertarik dengan sebuah cerita mengenai tawakkal. Bayangkan ada 2 orang pengembara yang sedang menaiki kapal besar menuju ke sebuah destinasi. Dalam kapal besar itu juga, terdapat ramai pengembara lain yang turut menghala ke destinasi yang sama. Pastilah kesemuanya mempunyai barang-barang kembara masing-masing. Seorang pengembara dengan yakinnya meletakkan semua barang yang dipikulnya sebaik sahaja memasuki kapal besar ini. Sudah pastinya lelah mengangkat barang, diletakkan sahaja barangnya yang telah dipikul sejak sekian lama.

Manakala seorang lagi pengembara, dia masih mahu memikul bebannya. Dalam keadaan penat lelah dia memikulnya, si pengembara yang seorang lagi menasihatinya supaya diletakkan barang-barangnya. Namun dia masih berdegil, mahu juga memikulnya. Sehinggalah dia melihat persitiwa dahsyat yang menimpa sebahagian pengembara. Ada yang mati kerana tertimpa oleh barangan sendiri, ada yang perlu dicampakkan ke laut kerana tidak mahu mendengar kata nakhoda kapal yang sudah berkali-kali memberitahu supaya meletakkan barangnya. Ada juga yang sudah tua dan lemah tidak mampu mengangkat barangnya, mati dalam keadaan yang menyayat hatinya. Peristiwa dahsyat itu mengesankannya, maka dia pun segera meletakkan barangnya di atas lantai kapal tersebut. Setelah itu dia berasa senang dan selesa. Tidak perlu lagi mengangkat barangannya sehinggalah sampai ke destinasi yang dituju.

Pengembara-pengembara itu ibaratnya kita, manusia. Ada yang menyerahkan kepada Allah setelah berusaha, ada yang separa bertawakkal, ada yang tidak mahu bertawakkal langsung. Manakala kapal besar itu adalah tawakkal. Barangan yang dibawa itulah beban hidup. Begitulah perumpamaanya. Sebaik sahaja si pengembara meletakkan barangannya, nah, maka dia semakin ringan dan lelahnya semakin berkurangan. Sudahkah dia berusaha? Ya dia sudah berusaha. Sebelumnya bukankah dia sendiri memikul beban itu sehinggalah dia sampai ke kapal besar tawakkal dan kemudian terus meletakkan bebannya. Firman Allah SWT: Maka disebabkan rahmat Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (3:159) 

Semoga dapat memberikan sebaik-baik tawakkal kepada Allah SWT dalam segala urusan. Baik urusan pelajaran, baik urusan dakwah dan tarbiyah, baik urusan pekerjaan, segala urusannya. Baik duniawi mahupun ukhrawi. Setelah, setelah kita betul-betul berusaha yang terbaik untuknya sehingga sudah tercapai had yang kita mampu, kemudian serahkan segalanya.

Semoga Allah memberikan yang terbaik dalam urusan pelajaran dan imtihannya. Semoga beroleh najah dan cemerlang dalam imtihan.

Semoga Allah memberikan yang terbaik dalam urusan jodohnya. Semoga Allah mengurniakan orang yang terbaik, di masa yang terbaik, dalam keadaan yang terbaik.

Semoga Allah membimbing yang terbaik dalam urusan pekerjaanya.

Semoga Allah membimbing yang terbaik dalam urusan dakwah dan tarbiyahnya. Allah yang memegang hati manusia, maka mintalah dariNya. Semoga Dia melembutkan hati manusia-manusia yang disentuhi.