Friday, June 7, 2013

Kesungguhan memberikan kethabatan

Adakah kamu masih ingat bahawa kita pernah berdebat tentang perkara ini? Tak silapku semasa itu kita masih di tahun 2 perubatan. Kita bercerita tentang imtihan dan kejayaan. Terpacul keluar dari mulutmu, bahawa, walaupun sejauh manapun kita berusaha membaca buku, gigih bersengkang mata melawan rasa ngantuk semata-mata untuk mengulangkaji pelajaran, di akhirnya, kejayaan itu tetap ditentukan Allah. Sama ada orang yang itu terpilih oleh Allah, maka berjayalah dia. Jika dia tidak terpilih oleh Allah, maka akan terjadilah sebaliknya.

Bagiku, aku tidak mengatakan bahawa kamu salah. Aku mengakui, siapalah aku untuk menentukan aku layak atau tidak untuk kejayaan itu. Ianya bergantung, sama ada ianya pemilihan Allah ataupun tidak. Allah yang Maha Kuasa, yang serba tahu, dengan ilmuNya untuk menentukan sama ada hamba A ini layak untuk mendapat kejayaan. Manakala hamba B pula tidak layak untuk memperolehnya. Dan juga, kita melihat bahawa, ada sahaja rakan-rakan kita yang berusaha sedaya-upaya, berjaga siang malam, pagi dan petang, menghafal dan membuat latihan, tetapi apabila keputusan imtihan keluar, seolah-olah seperti tidak 'setimpal' dengan apa yang diusahakan. Yalah, mana tahu, di sisi Allah ianya setimpal. Dan kita juga pernah menyaksikan, yang paling malas membaca buku di dunia, yang dating lambat ke kelas, yang aktivitinya di hujung minggu bermain 'games', tetapi apabila keputusan imtihannya keluar, dia dijulang, keputusannya sangat baik sekali.

Aku pula, ketika kita berdebat, teoriku adalah, usahalah sebaik mungkin, bagaimana caranya, walau susah macam mana pun, walau muntah hijau sekalipun untuk mengulang-ulang buku, yakinlah bahawa Allah melihat usaha, redha Allah pada usaha, dan bukanlah pada keputusan yang diperolehi. Yakinlah bahawa, Allah melihat kamu berusaha bersungguh-sungguh, dan yakinlah Allah akan memberi yang terbaik. Yakinlah bahawa Allah tidak akan mensia-siakan usaha kamu. Berusahalah sehabis daya kamu (Qasara juhdih). Mainkanlah peranan kamu, biar Allah yang uruskan selebihnya. Perdebatan ini tiada kesudahannya, aku rasa kamu betul dan aku tidak merasakan bahawa pendapat aku salah.

Sehinggalah, aku meneroka buku Qawaid Dakwah karangan Dr. Hamam Said, kaedah kelima. Dia ada mengatakn tentang kesungguhan dalam berdakwah. Menggunakan asbab alam dalam berdakwah. Maksudnya, lumrah kehidupan manusia, apabila dia mahu berjaya, dia perlu berusaha, sekeras-kerasnya, qasara juhdihi, kerana nyata dia mudah memperolehi kejayaan yang besar dengan usaha ini. Dan yakinlah bahawa ianya adalah satu faktor untuk memperoleh kejayaan, walaupun sebenarnya Allah yang akan memberikan kejayaan. Akhirnya, aku menjumpai dalil tentang pendapatku, seolah-olah aku menang dalam mempertahankan pendapatku.

Apa yang ditanam itulah yang dituai

Apabila kita akan bersungguh-sungguh dalam pelajaran kita, yang akan menentukan masa depan dunia kita, apatah lagi untuk kejayaan kita di akhirat. Sebagai individu muslim yang meyakini bahawa dakwah itulah jalan yang terbaik untuk mendapatkan redha Allah, maka ia akan lebih bersungguh lagi untuk itu. Apabila meyakini bahawa dakwah adalah jalan panjang yang sukar, tetapi inilah jalan yang dirasakan terbaik untuk mencapai maqam tertinggi di akhirat nanti, maka kita akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk mencapainya. Apabila jalan dakwah dan tarbiyah ini diyakini sebagai satu jalan untuk bertemu dengan Rasulullah SAW dan para sahabat di syurga nanti, maka ia tidak akan merasakan lelah, malah terus dan terus berusaha.

Ya, usaha yang besar, akan memberikan kejayaan yang besar. Malulah, tutuplah mukamu. Apakah kamu mahukan kejayaan yang besar dengan usaha yang sedikit? Lebih sudu dari kuah. Apa yang ditanam maka itulah yang dituai. Berapa banyak yang ditanam dan sebanyak itu jugalah yang dituai. Berdakwah ikut mood akan membawa padah. Maka lambatlah jalan-jalan menuju kejayaan. Mimpi di siang hari, hanya menunggu bulan jatuh ke riba.

Sekuat Nuh a.s.

Pernah mendengar kisah Nabi Nuh a.s., bapa dakwah kita, berusia 1000 tahun usianya, dan berdakwah selama 950 tahun? Sungguh istimewanya dia sehinggakan Allah memahat namanya dalam salah satu surat cintanya. Surat Nuh, atau Surah Nuh. Dan di dalamnya, Allah mencatatkan pengaduan-pengaduan kekasihnya Nuh a.s., tentang betapa bersungguhnya baginda dalam berdakwah.

'Dia (Nuh) berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) mereka, justeru mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya aku setiap kali menyeru mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jarinya ke telinganya dan menutupkan bajunya (ke wajahnya) dan mereka tetap (mengingkari) dan sangat menyombongkan diri. Lalu sesungguhnya aku menyeru mereka dengan cara terang-terangan. Kemudian aku menyeru mereka secara terbuka dan dengan diam-diam. Maka aku berkata (kepada mereka), "Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun". (5-10:71)

Inilah pengaduan Nuh kepada TuhanNya. Beginilah qudwah dakwah yang baginda tunjukkan. Dialah qudwah dalam dakwah yang sepatutnya kita contohi.Jika kita mahu menjadi daie, seperti inilah kerja yang kita perlu lakukan. Adakah dia memberikan alasan dalam setiap gerak langkahnya? Tidak pernah. Walaupun semakin ramai yang mendustakannya. Dia masih tetap teguh berdakwah. Ya, sungguh, kerja dakwahnya amat menakjubkan. Dan berapakah pula bilangan yang mengikuti baginda? Hanyalah sedikit sahaja. Tidak diketahui bilangan, tetapi bilangannya sedikit sahaja. Seolah-olah tidak setimpal dengan apa yang diusahakan. Walaupun itu yang terjadi, pengakhirannya, Allah tetap menunaikan janjiNya, menyelamatkan kaum baginda daripada banjir besar, membersihkan bumi daripada manusia-manusia yang hitam hatinya dari kembali kepada Tuhan sebenar. Kerana ikhlasnya dia, Allah tidak mensia-siakan usahanya.

Bergerak dengan iman yang sahih

Apabila kesungguhan dibiarkan bersendirian, maka ianya akan mudah reput dimamah masa perjalanan dakwah dan tarbiyah yang sungguh panjang. Hanya iman yang sahih memberikan istiqamah dalam perjuangan. Gabungan sinergi yang membangkitkan ini amat diperlukan, supaya haraqatul inqaaz (gerakan menyelamat) tidaklah tiba-tiba terhenti. Iman yang sahih kerana Allah, akan menyuburkan keikhlasan dalam hati. Kehadirannya lebih menjamin kelangsungan dakwah itu sendiri.

Memperoleh iman yang sahih dengan menjaga hubungan dengan Allah SWT. Jalan dakwah dan tarbiyah yang tidak pernah sunyi dari mehnah, dan segala kemudahan hanyalah dapat diperoleh daripada suatu kekuatan yang tidak dapat ditewaskan oleh apa-apa pun, iaitu Allah SWT. Maka binalah iman yang sahih sebagai tiang kepada kesungguhan.

Semoga Allah SWT sentiasa membekalkan kita dengan kesungguhan dalam berdakwah dan semua perkara kebaikan.Semoga dengan kesungguhan meberika kita kethabatan, dan sentiasa menjadi pilihan Allah SWT dalam perjuangan.  Memetik kata-kata Almarhum Ustaz Abdullah Rahmat yang amat disegani ketokohannya dalam dunia dakwah.

"Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu,
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu,
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu,
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu future menyertaimu,
Teruslah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu"



 

No comments:

Post a Comment