Sunday, June 24, 2012

Pasca kemenangan




Aku tidak ke Tahrir hari ini. Kerana abah tidak beri izin. Tidak mengapalah. Moga jiwa dan hatiku bengkak membesar subur, seperti orang-orang yang meraikan kemenangan ini di Tahrir. Dari jauh, kedengaran bunga api bertalu-talu mengisi ruang udara, memecah kesunyian senja, menutup tirai 24 Jun 2012. Sesekali kedengaran pakcik-pakcik atau remaja, di lorong rumahku, menjerit-jerit Morsi..Morsi. Kereta dan motor yang lalu, membunyikan hon, menyatakan keriangan.

             Semasa ucapan daripada  ketua Suruhanjaya Pilihanraya, internet tidak berapa kencang. Aku dan Fathiyyah menumpang telinga dan mata kepada televisyen di kedai kopi, dibawah rumah, bangunannya setentang dengan bangunan kami,  berdiri di balkoni. Agak panas cuaca ketika itu, keluar-masuk, sambil 'update' cerita di muka buku. Buku ditutup, tidak boleh fokus, tak sabar dengan apa yang akan berlaku selepas ini. Dikejutkan dengan kehadiran adik-adik UK dan seorang kakak qawiy UK. Kami sabar menanti pengumuman. Fathy kata, kalau ucapannya panjang, kadang dia adalah satu 'trick', nak beritahu bahawa kemenangannya mungkin adalah Ahmad Syafiq. Takpelah, kita terus tembak doa lagi. Seorang adik, Najwa namanya, kalaulah Ahmad Syafiq menang, apa akan jadi ya? Aku teringat kata-kata naqibahku, apabila aku bertanyakan hal yang sama kepadanya, mana mungkin Allah akan bagi pemerintah seperti Ahmad Syafiq untuk menang, mana mungkin Allah membiarkan pemerintah yang zalim berkuasa, fikir yang baik-baik sahaja, jangan fikir yang bukan-bukan.

             Bila sudah hampir kepada pengumuman, beliau mengumumkan berapa bilangan undia yang diperoleh, dan alhamdulillah, akhirnya sudah diketahui juga siapa pemenangnya. Kami yang bersolat, sujud syukur, panjang, berdoa, menitiskan air mata. Najwa kata, tak sangka, dia di Mesir pada detik-detik yang bersejarah ini, menjerit kepada kawan-kawannya, kenapa Allah memilih kita untuk berada di sini, di saat-saat ini. Apakah hikmahnya, mereka semua berada di sini ketika ini?
           
             Aku masih teringat, ketika revolusi bermula tahun lepas ketika itu, satu bas adik-adik dari Jordan, menziarahi kami di sini. Ketika itu juga ada akhawat dari Russia turut berjaulah ke sini. Cumanya. adik-adik Jordan sempat balik ke Jordan, selamat menaiki kapal terbang, pulang ke Jordan pada waktu yang tepat, tanpa 'delay'. Yang masih tersekat adalah akhawat Russia. Disebabkan ada perintah berkurung tak silapku dari pukul 6 petang sehinggalah 8 pagi esoknya. Waktu 'flight' mereka kalau tak silap pukul 10 pagi. Terpaksa keluar dari rumah pukul 8 pagi, menanggung risiko, takut juga kalau terlepas. Di masa yang sama, adik-adik kami keluar berjaulah ke UK dan Ireland. Ada yang sudah ke menaiki 'flight' dan ada yang masih tersekat di lapangan terbang. Sungguh mencabar tahun itu. Cuti musim sejuk, tidak seperti cuti. Memang sudah dirancang, akan ada daurah, ada program, ada usrah, sepatutnya semakin rancak tetapi ia menjadi beku, kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Jadi batal semuanya. Duduk di rumah, di Beit Kauthar, berbelas orang, dari Beit badar, dari Beit Anfaal, dari Liya Safura. Meriah rumah. Masih teringat bagaimana di waktu malam, kami letak pisau, di tempat-tempat tersembunyi, bawah sofa, belakang pintu. Tingkap-tingkap semua ditutup. Semua orang berkumpul di Kauthar, kerana Kauthar besar dan tinggi (tingkat 3), lebih tinggi dari Badar dan Anfaal, dan lebih besar dari Liya Safura.Sungguh itu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

            Di hari ini, adalah pengakhiran kepada revolusi, bila naiknya Dr. Muhammad Morsi. Mudah-mudahan, sinar islam kembali menyinari. Bukan sahaja di Mesir, malah  di seluruh dunia. Kita kembalikan kegemilangan khilafah islam yang telah hilang dahulu. Ini baru permulaan. Semoga kita semua mengambil bahagian dalam perjuangan ini.






Saturday, June 23, 2012

Nak tengok video, mulakan dengan niat!

Aku sebenarnya orang yang suka visual. Suka tengok video, suka tengok gambar, suka tengok orang. Tapi aku faham, dalam kita meraikan kesukaan kita, masih ada islam yang sentiasa membatasi. Ada hadnya, ada larangannya. Berborak dengan seorang ukhti yang aku sangat baik dengannya. Aku ceritakan padanya bahawa kita kadang bila ingin melihat suatu video, kita kata, takpelah kita tengok dulu, nanti iman yang ada tu akan menapis, akan ambil yang baik dan buang yang buruk. Tapi bila mana kita aplikasikan benda ini, dia jadi semakin berleluasa, sampaikan, benda yang memang betul-betul tak bagus pun, kita nak tengok juga, dan aplikasikan cara yang sama, kalau memang betul video ni tak bagus tak payahlah kita tengok lagi, sebab dia tak sesuai dengan iman kita. Sahabat aku menyatakan pendapatnya. Dia kata, mungkin kita perlu niatkan dari mula, apa motif kita nak tengok video tu, adakah hanya saje-saje, atau adakah memang betul untuk islahkan diri, atau memang nak sebarkan kepada orang lain supaya dapat manfaatnya sekali.


Mungkin aku perlu ubah sikapku dalam pemilihan menonton video dan sebagainya. Aku takut, bila aku belajar hadis dalam hadis 40  'tinggalkan perkara yang tidak ada kena mengena dengan islam' dan hadis  'tinggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan', menjadikan aku perlu berhati-hati dalam kesukaanku ini. 


Moga Allah pandu, amiin.

Bertahan


Maaf,
Aku bukanlah seorang yang genius,
Mahir menghafal dan sangat kuat ingatan,
Menapakkan diri dalam bidang yang mencabar ini,
Membuatkan aku,
Mencabar diriku untuk melakukannya,
Bukanlah aku suka sangat,
Tapi inilah yang telah dipilih,
Sejak 5 tahun yang lalu.

Kini,
Pengajianku semakin tamat,
Dan akan bergraduasi dalam masa setahun setengah sahaja lagi.

Sejak lima tahun lalu, 
Tersepak dengan batu besar di jalan,
Bernama tarbiyah batu itu,
Ia mengubah hidupku, 
180 darjah.

Kalau dulu aku pergi,
Dimuntahkan oleh kapal terbang ke sini,
Niat hanya memenuhi impian bonda dan ayah,
Menuruti pilihan mereka,
Tetapi kerana sebuah tarbiyah,
Aku menjadi manusia lain,
Berusaha sedaya upaya untuk menghafal,
Berusaha sedaya upaya untuk menuntut ilmu,
Berusaha sedaya upaya menahan panas terik dan sejuk yang melanda,
Bukan kerana gaji yang banyak yang mahu dirasa,
Tetapi tuntutan tarbiyah yang mengajar diri,
Merubah diri menjadi lebih baik,
Niatkan belajar kerana Allah dan ummah.

Moga sentiasa tidak lari,
niatku dan dan niatmu,
Sampai bila-bila,
Amin.


Monday, May 21, 2012

Bakal merindui...T_T (1)

Berhabuk, bersawang, banyak sarang labah-labah, tebal sungguh habuk dan debu yang melekat, selsema, allergy rhinitis, sensitif habuk dan debu. Lama tidak ber'entry', akhir sekali adalah bulan 4, itu pun belas-belas haribulan.

Perjalanan sebagai seorang budak perubatan, semakin sampai ke penghujung. Bakal berkhidmat sebagai dukturah dalam masa setahun setengah sahaja lagi, insyaAllah, biiznillah. Tidak menyangka bahawa masa menunaikan ketaatan pada Tuhannya dengan sangat cemerlang, memang sungguh mencemburui kita, sungguh cepat masa berlalu. Hampir tidak sedar sudah. Makanya, diri mula berfikir-fikir, berkira-kira, risau dan takut, membayangkan bagaimana keadaan kita bila pulang ke negara sendiri nanti? Bagaimanakah aku nanti? Dimanakah aku bakal bekerja nanti? Apa yang akan ku buat? Bagaimana nak buat? Dan juga, yang paling penting sekali, adalah tarbiyah dan amalku nanti, aku dapat menyumbang apa? dan diri aku pula akan terbina bagaimana? Belum masuk lagi isu baitul dakwah dan sebagainya.

Sementelah aku di sini, sebelum pulang, sangat penting memantapkan diri sendiri. Sebelum pulang berjuang di negara sendiri. Teorinya di sini, dan praktikalnya di negara sendiri. Malaysia dan Mesir, ada yang sama dan ada  yang beza antara 2 negara ini.

Mesir, bagi sistem politiknya, semakin ada pembaharuan insyaAllah. Setelah jatuhnya pemerintahan kuku besi Husni Mubarak, Mesir sedikit demi sedikit, sudah dan bakal memperbaiki sesempurna yang mungkin sistem politiknya. Tidak lama lagi akan ada pilihanraya presiden. Tanpa segan silu aku menyokong penuh Dr. Mohamed Morsi, daripada Freedom and Justice Party klik di sini. Mari kita berdoa banyak-banyak supaya pilihanraya peringkat pertama pada hari Rabu 23/5/2012 dan peringkat kedua pada hari Khamis 24/5/2012, berjalan dengan lancar, tiada manusia yang ingin membuat kacau dan huru-hara, menghalang perjalanan majlis dan sebagainya. Serta, doakan supaya Ikhwan Muslimin memenangi pilihanraya ini. Semasa muktamar khotimi (penutup) IM, Dr. Muhammad Abdul Maqsud ada menyatakan kenapa dia memilih, kerana dia membawa Al-Quran bersamanya, kerana dia ada Al-Quran dalam hatinya, itu yang menyebabkan dirinya menyokong Dr. Mohamed Morsy. Pilihanraya ini, berlangsung 2 hari, peringkat pertama, antara semua calon, peringkat kedua pula, antara 2 orang yang mendapat undian tertinggi. Jika peringkat pertama, seorang telah menang dengan 50% undian atau lebih maka, dia sudah menang, tanpa perlu ke peringkat kedua. Seorang ukhti ada bercerita, semasa mendengar ucapan-ucapan orang besar di muktamar khotimi, makcik di sebelah mendoakan, supaya Dr. Mohamed Morsy menang di peringkat pertama, tanpa perlu ke peringkat seterusnya. Begitulah doa dan harapan mereka. Sangat mahukan, agar islam ini tertegak kembali, dan ini dapat dicapai jika mereka memilih calon seperti Dr. Mohamed Morsy. Menarik juga artikel ni, nanti baca ya, tentang memilih pemimpin di sini.

Selalu, makcik, kakak, atau pakcik, tepi jalan, bertanya, di Malaysia, takde kuliah Tibb ke? Sampai nak datang belajar jauh-jauh ke Mesir. Jawapan yang biasa, ashan minhah min hukumah (sebab biasiswa dari kerajaan) =)  Mereka ini sangat ramah, sangat meraikan orang, bukan hanya dengan orang asing seperti kita (sebab pelik, tengok pakaian, percakapan, jadi mereka ramah untuk bertanya), malah dengan orang tempatan juga, nak katanya, memang budaya mereka, atau memang perangai mereka yang sudah sedia ramah. Bila pergi ke kedai, anti munawwarin Misr (awak menyinari Mesir). Kalau di Malaysia, mungkin kita akan bertegur sapa, pada orang yang kita kenal sahaja, mungkin ada sahaja yang ramah, tetapi mungkin tidak seramai seperti di Mesir. Rata-ratanya begitulah.

Di sini, aku selalu melihat, manusia yang rata-rata umur seperti abahku atau atukku, menggalas beg berat, berjalan dari permulaan jalan hingga ke hujung, dari satu jalan ke jalan yang lain, dalam beg berisi, stokin, baju, tali pinggang, hatta, ada yang menjual  mangkuk plastik, dan dulang, menjujung semuanya di kepala, dan ada juga yang menjual karpet-karpet kecil, dilipat, dan dijunjung di kepala. Sedih. Betapa bersungguhnya mereka untuk mencari duit untuk mendapatkan roti dan nasi, bukan untuk dirinya sahaja, malah, anak-anak di rumah yang ramai, kelaparan, menunggu ayah mereka pulang. Di waktu malam pula, di kala manusia berehat, minum-minum di kedai kopi, menonton televisyen masih ada pakcik yang sedang mengilatkan beberapa pasang kasut. Aku tidak tahu berapa upahnya untuk sepasang kasut. Tidak henti-henti bekerja. Paling tidak pun, mereka akan menjual tisu, mesti ada sahaja barang yang dijual untuk dapatkan duit. Semua ini, mengajar aku, bersyukur, bersyukur, dan bersyukur. Kadang, kita ini, suka membazir makanan, beli makanan banyak sangat, kemudian tidak dimakan, bila sudah basi, dibuang tanpa rasa bersalah. Selalu kena ingat ada orang yang lagi susah dari kita. Allah berfirman dalam surah Ar-Rahman, ayat yang selalu diulang-ulang Allah dalam surah ini : 'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan'. Ini belum lagi, pakaian, kasut, hai, sungguh banyak pembaziran.

Setakat ini dulu perkongsianku, nanti aku sambung lagi ya, insyaAllah.

Sunday, April 15, 2012

Al-Hawa vs Al-Wahyu

Tarikan al-hawa menghembus-hembus naluri,
Perasaan diri digoncangkan-goncangkan,
Tidak mahu kalah mempengaruhi an-nas,
Yang hatinya sudah gersang tidak lama dulu,
Dan semakin suram menginjak usia.
Lewat fasik yang mendahului,
Menyerlahkan penyelewengan kemudiannya,
Hilang sudah makhluk bernama manusia,
Alpa membiarkan al-hawa menodai jiwa,
Syahwat beraja,
Nafsu bertakhta.

Menyelamatkan jiwa sukar pengakhirannya,
Bila al-hawa dibiarkan berkuasa,
Sudah tiada nilaianNya,
Qarnu azab jawapannya.

Hai si daie pewaris nabi,
Umar Abdul Aziz inspirasi hati,
Kejahilan dunia menikam sensitiviti,
Andai masih membutakan hati,
Qarnu persamaan meragut diri,
Dikatakan zalim tidak berpendirian,
Lantaran jiwa culas memikul bebanan.

Aduhai daie harapan agama,
Tegakkan barisan angkat bendera,
Laungkan kesemuanya,
Bahawa wujudnya kita,
Bukan alternatif bukan pilihan,
Sebagai keputusan yang muktamad,
Menonjolkan muka tidak lari,
Peduli ummah yang dijihadkan.

Jika hilang semangat daie,
Hilanglah keseimbangan alam ini,
Jalan ini akan terus dipenuhi,
Mereka yang ikhlas,
Mari menaiki gerabak,
Agar dakwah ini bergerak.









Saturday, April 7, 2012

Post STEP 2012


STEP 2012 telah meninggalkan kita lebih kurang 31 jam yang lepas, sudah menjadi sejarah buat kita semua, dan harapnya apa yang disampaikan akan berbekas di hati sampai bila-bila. Itu yang utama. Bukan hanya sekadar datang untuk meramaikan atau memeriahkan majlis. Itulah niat yang sepatutnya diniatkan semasa sebelum program, semasa dan selepas program dijalankan. Kalau tidak hanya sia-sia duit tambang tremco kita, kalau orang dari muhafazah bermujahadah bangun awal pagi, bertolak dari muhafazah masing-masing pukul 4-5-6 pagi, membayar tambang bas yang sememangnya bukan murah. Semua ikhwah dan akhawat ada mujahadah, ada tarbiyyah yang diajari Allah untuk sampai ke destinasi yang telah ditetapkan. Bagiku, satu hari yang penuh dengan pelbagai isi, 'back to back' pembentangan. Aku nampak figura-figura muslimah doktor yang berjaya dalam segala macam perkara. Walaupun sebenarnya sebelum mendapat kejayaan maka ada pengorbanan-pengorbanan yang dilakukan. Bukan semudah yang disangkakan untuk mendapatkan kejayaan. Ikhlas, tadhiyyah, sabar dan tawakkal menjadi pemangkin dalam kehidupan.

Kadang-kadang kita merasakan sekarang ini, kitalah orang yang paling sibuk, kitalah yang paling banyak kerja, kitalah yang paling banyak cabaran berbanding orang lain, rasa dah banyak sangat tadhiyyah yang telah dilakukan. Sedangkan, sebenarnya ada ramai lagi yang lebih sibuk dari kita, ramai lagi yang perlu membuat tadhiyyah yang lebih besar dari kita. Nah, malu sendiri! Masih belajar dan hanya terlibat dalam dakwah sedikit-sedikit, itu pun sudah mahu mengeluh. Aku masih teringat murabbiku ada mencabar kami, 'kamu masih belum rasa lagi ada keluarga, ada kerjaya, dan masa itulah semangat kamu diuji, tadhiyyah kamu diuji, mana semangat yang dilaungkan semasa masih belajar dahulu? Bila sudah ada keluarga dan kerjaya bagaimana masa itu kamu boleh meng'anak tiri'kan dakwah?' Huhu. Risaunya, takut semangat ini tidak cukup untuk tersu thabat sampai ke akhirnya, Nauzubillahi min zalik. Ataupun sebenarnya, tidak boleh hanya bersandarkan kepada semangat. Yang perlu kita sandarkan ialah kecintaan kita kepada Allah dan jalan dakwah ini. Ya, kalau hanya bergantung kepada semangat, semangat akan menghilang, namun, jika kita menyamai kecintaan, ianya lebih kukuh dan mantap.

Begitu kuatnya stamina ibu-ibuku berkongsi pengalaman dan nasihat kepada kita. Mungkin kerana keikhlasan mereka ditambahkan lagi kecintaan mereka kepada Allah dan jalan ini yang membuatkan mereka berterusan-terusan tidak henti untuk berkongsi dan menyampaikan. Kerana islam ini sifatnya terang dan bukan  tersembunyi, kerana islam ini perlu dikongsi dan dihayati bersama-sama. Bukan hanya bila dapat, kita simpan, tidak digunakan dan lama-lama akan luput dari ingatan. Tidak dapat tidak perlu disampaikan walaupun dengan masa yang sangat singkat. Segalanya telah disampaikan. Hanya tinggal kita untuk mengamalkan. Perlu ada mujahadah dalam diri untuk kita amalkan kesemuanya.

Tarbiyyah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah. Tarbiyyah yang mengajarkan kita bahawa kita perlu bermanfaat kepada orang lain. Tarbiyyah mengajarkan kita bagaimana untuk menggunakan potensi yang kita ada ke arah yang lebih baik. Tarbiyyah memberikan perasaan bahawa setiap antara kita ini sangat berguna. Kita bukan orang biasa-biasa. Kita ada sesuatu yang berguna untuk orang lain. Cari, cari dan teruslah mencari.Yakinlah, kita semua ada potensi. Supaya bila ditanya Allah kita ada alasan yang kukuh.

Hidup ini bukan mudah. Perlu sentiasa ada banyak bekalan supaya diri kita tidak mudah rebah dan terperangkap dengan hawa yang melekakan. Antara kita perlu bersaing untuk menjadi hamba pilihan Allah yang hebat di mataNya. Bukan hanya sekadar menjadi hamba yang biasa-biasa. Tidak mahu dapatkan syurga sahaja tetapi mahukan syurga yang paling tinggi nilainya. Moga-moga, perjalanan kita selepas ini akan lebih bermakna. Wallahu'alam. 

Saturday, March 31, 2012

Umur bertambah...

 Aku menginjakkan umurku daripada 21 tahun ke 22 tahun pada hari yang sama aku menghadapi imtihan 'end round Surgery'. Malam itu, aku membiarkan laptop aku terpasang, sebenarnya, mahu melihat soalan-soalan 'end round' yang lepas yang terdapat di fb, namun mataku liar melihat tanda merah di bahagian atas 'wall'ku, menandakan ada ramai orang yang meninggalkan sesuatu di 'wall'ku dan juga tangan ligat mengalihkan 'cursor' menggerakkan ke arah yang diinginkan. Sepatutnya, perlu fokus membaca buku (jangan ikut ya)! Aku teringat, semasa di sekolah dulu, aku mengakui bahawa aku bukan seorang yang peramah dengan manusia, aku suka menyendiri sendiri, menghadap buku, jarang bercampur dengan orang, dan terkepung dengan dunia sendiri. Bila memijakkan kaki ke universiti, baru aku belajar untuk berkomunikasi, baru aku belajar untuk bercakap dengan manusia. Dan aku faham, bahawa dakwah ini memerlukan kepada penyerunya untuk bercakap, berkongsi dan bercerita dengan orang lain. Aku bersyukur kerana, aku diberi peluang oleh Allah untuk bercakap, berkongsi dan bercerita dengan orang. Dan orang-orang yang meninggalkan sesuatu di 'wall'ku ada yang aku jumpa dalam jalan ini, ataupun yang aku cuba bercakap dengan mereka, bagi menyampaikan dakwah ini. Abu 'Ala Al-Maududi menyatakan dalam syarahannya bertajuk Syahadatul Haq, syarahannya ini telah dibukukan, bahawa dakwah ini perlu dilaksanakan dengan syahadah perbuatan dan syahadah perkataan. Nak tak nak dakwah, dakwah itu perlu dicakapkan pada orang lain.

Aku tercari-cari, adakah ayat Al-Quran yang bercakap tentang umur manusia. Ada, ada ayat yang menceritakan secara langsung dan dan ada ayat yang perlukan kita faham dahulu, bahawa sebenarnya Allah nak sampaikan tentang umur. Misalnya surah An-Nahl ayat 70 dan surah Yaasin ayat 68, diceritakan secara langsung. Dan ayat-ayat seperti Surah Al-Asr, ayat-ayat tentang kematian, itu semua mengingatkan kita bahawa singkatnya masa yang kita ada di bumi. Dan semua masa perlu disertakan niat kerana Allah. Semua masa kita!

Aku terfikir-fikir, kali ini Allah masih lagi memberikan aku peluang untuk merasai pertambahan umurku. Takut-takut, akan datang waktuku telah hampir dan aku tidak berpeluang menyudahkan apa yang aku telah mulakan sekarang. Bertambah umur dan masuk tahun baru. Harap-harapnya, semakin baiklah tahun yang baru. Amiin.




Thursday, March 29, 2012

Sunday, March 4, 2012

Telah ku rela nama dan diri menjadi sasaran
Kerana cinta, aku berkorban
Telah ku rela tohmahan bermaharajalela
Kerana cinta, aku terpaksa
Kerana cinta jua aku berbicara
Dengan nada insan terluka
Meluah rasa, meluah fakta, mencedera jiwa
Semuanya kerana cinta…
Biarku tanggung rasa derita..
Asalkan agama, selamat akhirnya..
Yang membantah, hanya berfalsafah. .
Kerana bimbang suapan harian
Dengan menjual nama tuhan..
Lalu kebenaran disingkirkan,
Demi hidangan belian pendustaan
Namun aku yang sengsara zahirnya
Redha telah pun penuhi jiwa
Dalam keletihan ini.. aku bahagia
Kerna..
Pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga.

Saturday, February 18, 2012

ماض كالسيف -أبو علي

ماضٍ كَالسيف كالريح كالموج غزارة
عادٍ كالخيل كالليث كالرعد شرارهـ
مقدام يطلب ثارهـ ** ويرى في الموت بشارة
نازلَ طاغوت الدنيا ** لا يملك غير حجارة
يقذفها كأبابيلٍ ** تخرق بالرعب جدارهـ


أنف الإذلال وقامَ ** ينسج بالعز فخارهـ
كطريد سئم دجاهـ ** ومضى يستجن نهارهـ
كالنجم الهائم يهوى ** في فلك المجد مدارهـ
لم يرضى الدنيا تارة ** كلا والبغيُ جدارهـ

ماضٍ كَالسيف كالريح كالموج غزارة
عادٍ كالخيل كالليث كالرعد شرارهـ
مقدام يطلب ثارهـ ** ويرى في الموت بشارة
نازلَ طاغوت الدنيا ** لا يملك غير حجارة
يقذفها كأبابيلٍ ** تخرق بالرعب جدارهـ


لبّى للعزة لما ** نادى الأقصى ثوارهـ
غنى للموت مشوقا ** ومضى يعزف قيثارهـ
نصب المحتل خداعه ** أغرى فيه سمسارهـ
صاغ الكلمات وعودا ** وشى بالمكر حوارهـ

ماضٍ كَالسيف كالريح كالموج غزارة
عادٍ كالخيل كالليث كالرعد شرارهـ
مقدام يطلب ثارهـ ** ويرى في الموت بشارة
نازلَ طاغوت الدنيا ** لا يملك غير حجارة
يقذفها كأبابيلٍ ** تخرق بالرعب جدارهـ


زرعوا مسراهـُ رعبًا ** ضربوا بالجوع حصارهـ
فتقدم لم يثنيه ** مكر يستدعي عثارهـ
هيهات يهادن حتى ** يمسح بالعزة عارهـ
بركان من إيمانٍ ** هذا التلمود سعارهـ

ماضٍ كَالسيف كالريح كالموج غزارة
عادٍ كالخيل كالليث كالرعد شرارهـ
مقدام يطلب ثارهـ ** ويرى في الموت بشارة
نازلَ طاغوت الدنيا ** لا يملك غير حجارة
يقذفها كأبابيلٍ ** تخرق بالرعب جدارهـ


فبنى بالخوف حصونه ** أعلى فيهم أسوارهـ
فتفجر فيهم غضبًا ** أنشب فيهم أظفارهـ
كشظايا النار تراهـُ ** مغوار يصنع غارهـ
ما خفَّ الخطوة حتى ** وقَع بالموت قرارهـ

ماضٍ كَالسيف كالريح كالموج غزارة
عادٍ كالخيل كالليث كالرعد شرارهـ
مقدام يطلب ثارهـ ** ويرى في الموت بشارة
نازلَ طاغوت الدنيا ** لا يملك غير حجارة
يقذفها كأبابيلٍ ** تخرق بالرعب جدارهـ



link di sini

Muhasabah solat kita...

Semalam, aku tertarik dengan  link Dr Zaharuddin di youtube, tajuknya ialah sempurnakah solatku, dari semalam 'loading', baru hari ini dapat menontonnya.

'Kita belajar solat dari kecil, semasa tadika, maka sampai sekaranglah kita masih mengamalkan solat seperti yang kita belajar di tadika', masih tak berubah-ubah solat kita, yang sepatutnya, bila semakin besar, semakin kita mencari sesuatu untuk memperelokkan solat kita. 

Aku baru tahu, sebenarnya, untuk menyempurnakan solat kita, kita tidak boleh baca dengan hati, kita memang kena menyebut, seperti mana sabda Rasulullah S.A.W, solatlah seperti mana kamu lihat aku solat, nabi bila solat, bergerak-gerak janggut nabi, ertinya nabi terkumat-kamit dan bukannya membaca bacaan solat di dalam hati. Maka, kita perlu menyebut bacaan solat. Satu lagi, bila menyebut bacaan solat janganlah seperti berbisik, hanya cukup sekadar kita yang mendengar, kerana ini akan menganggu orang lain pula. 

Lagi satu yang aku terkesan bila disebut tentang orang melintas di hadapan semasa sedang solat. Solat diibaratkan kita sedang berdua-duaan dengan Allah S.W.T, dan tidak boleh ada penghalang antara orang yang solat dengan Allah S.W.T, maka sebelum kita solat pastikan ada penghadang, atau benteng yang dibuat di hadapan supaya tidak terganggu solat kita, dan jika tidak dibuat penghadang, dan ada orang yang mahu melintas, maka kita perlu mengangkat tangan kita, menghadang orang yang ingin lalu di hadapan. Sepertimana yang disebutkan dalam hadis Nabi S.A.W:

لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ      يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً   

Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perwai : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) 

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ

Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" 
( Riwayat Al-Bukhari) 

Dan yang terakhir, sebelum solat, pastikan kita mengambil wudhu dengan sempurna, pastikan semua anggota wudhu diberi haknya, iaitu misalnya, jirus air di kaki dan kemudian menggosok atau menyapu celah-celah kaki hingga semua semua tempat kena air dan sebagainya.

Sebelum ini juga aku pernah melihat satu video, dari sini, dia ceritakan tentang bacaan-bacaan yang boleh kita tambah semasa rukuk, sujud dan sebagainya...hmmm....dari kecil bacaan kita masih sama sampai sekarang, apa kata kita 'upgrade'kan bacaan kita. 

Solat adalah perkara pertama yang akan ditanya Allah, dan ia adalah satu-satunya ibadah yang menuntut nabi untuk ke Sidratul Muntaha dan berjumpa sendiri dengan Allah S.W.T untuk dapat perintah ini, berlainan dengan  ibadah haji dan umrah yang memakan masa berhari-hari untuk melakukannya itu hanyalah daripada penurunan ayat Al-Quran. Maka sungguh besar fardhu solat ini. Mudah-mudahan, kita semakin hari semakin rajin untuk memperbaiki solat kita. Wallahu'alam, selamat beramal semuanya.

Friday, February 17, 2012

Syria menangis...




Terkedu
Terkesima
Tak terkata

Petualang durjana menyerang mangsanya
Seperti binatang buas menerkam mangsanya
Atau mungkin lebih sesuai 
Jika diumpamakan binatang dari binatang?

Bukan lagi tidak mengenal erti perkemanusiaan
Malah pura-pura membutakan hati dan mata 
Seolah-olah mahu minum darah manusia
Seolah-olah mahu mandi dengannya

Geram
Geram 
Geram

Mahu sahaja mengayunkan tumbukan 
Mahu sahaja tamparan menyinggah ke muka
Tapi tak cukup kuat
Tapi jauh sangat 
Tak cukup kuat

Mungkin perlukan tumbukan dari Tuhan
Mungkin perlukan tamparan dari Tuhan
Supaya mereka tumbang
Supaya mereka mampus
Maka kitalah yang patut memohonkan
Cebisan-cebisan doa-doa kita dikumpulkan menjadi satu
Supaya layak untuk mendapat pertolongan dariNya

Ya Allah
Tetapkanlah iman saudara-saudara kami di sana
Berikanlah mereka kekuatan
Berikanlah mereka sokongan 
Ya Allah......



Thursday, February 16, 2012

Cinta yang tertinggal 2

Aku yakin, akan ada cinta-cinta yang tertinggal di France. Sudah lama aku tidak merasakan, suatu perasaan yang membangkitkan jiwa, yang sudah lama tidak menghinggapi hatiku. Aku tidak menyangka, aku diberi peluang oleh Allah untuk memijakkan kaki ke bumi Abdul Rahman Al-Ghafiqi, walaupun tidak menyinggahi bandar Toulouse yang memahat sejarah pahlawan itu. Kali ini perjalanan ku hanya ke Grenoble dan Besancon, untuk bermalam, dan melalui bandar Lyon dan Paris. Bila difikirkan orang, 2 bandar ini sebenarnya bukanlah menjadi pilihan untuk pelancong, tidaklah terkenal seperti Paris, kenapalah nak pergi juga 2 bandar ini, dahlah tak terkenal, dahlah tak seronok, hanya pekan kecil sahaja. Namun bagiku, ada sesuatu yang menarik di sini, ada tangan-tangan yang hangat menghulur dan menyambut iman yang agak dingin dan statik. Ada insan-insan yang prihatin dan sentiasa memberikan kita harapan dan kekuatan.

1-Sebaik sahaja aku sampai di Gare de Lyon dari Aeroport, sebaik sahaja turun dari bas dan mengeluarkan beg besar dari bas, dalam kekalutan untuk membiasakan diri dengan cuaca dingin yang mencengkam, tidak lama menunggu tiba-tiba ada seorang ukhti menghulurkan salam, bersalaman setiap antara kami, sama-sama membantu menarik beg kami, membawa kami masuk ke dalam bangunan Gare de Lyon supaya kami tidak menggigil kesejukan. Menguruskan tiket-tiket TGV kami, berlari membelikan kebab yang sangat sedap dan banyak. Perasaan aku sama, seperti seorang ukhti, bila mana mereka berjaulah ke Kaherah dulu, bila di'post' ke muhafazah Iskandariah atau Mansurah (aku tak ingat yang mana satu), menaiki Tremco tanpa ada akhawat yang menemani, perasaan aku sama juga seperti ukhti itu. Rasa 'lost', tak tahu ke mana nak pergi, rasa bimbang takut-takut sesuatu terjadi pada diri, namun, bila mana ada ukhti yang tahu jalan, yang faham selok-belok sesuatu tempat menyebabkan aku menjadi sangat lega dan bersyukur kerana mempunyai akhawat. Perasaan itu juga sama semasa menaiki TGV dari Besancon ke Paris, bila mana sampai di sana, tidak tahu arah tuju, dan tiba-tiba ada ukhti yang datang menjemput, jauh dari Nancy, menemani kami ke mana sahaja arah tujuan di Paris. Menemankan kami sampailah ke airport, tidur bersama kami di sana, makan bersama dan menghantar kami dengan linangan air mata. Subhanallah, ya Allah. Harta-hartaku yang sangat bernilai adalah mempunyai akhawat yang perbuatan mereka, percakapan mereka, akhlak mereka yang sangat menyentuh perasaan, menurunkan keegoanku, melembutkan hatiku serta menambahkan keimananku kepada Allah dengan mengikuti segala yang baik dari mereka.

2-Mutabaah amal kami sangat banyak untuk jaulah kami, ditambahkan lagi dengan pengisian dan perkongsian daripada akhawat di sini, sebenarnya bukanlah dapat dihabiskan semua. Namun, aku kagumi akhawatku, berusaha sedaya-upaya untuk menghabiskan, walaupun tidak dapat menyudahkan tetapi memulakannya pun adalah cukup baik, mudah-mudahan Allah berikan kemudahan kepada kami semua untuk menghabiskan mutabaah amal kami dan moga ia menjadi bekal untuk bertahan dan juga untuk lebih maju dalam jalan ini.

3-Ada seorang ukhti yang sentiasa bersama kami, ke mana sahaja kami pergi, mendukung anak yang tercinta, dan dalam masa yang sama dalam kepala berputar segala macam perkara, membaca email dan membalasnya,   termasuklah nak menguruskan kami yang seramai 17 orang ini. Aku banyak sangat belajar dari ukhti ini, kesabarannya, kelembutannya, 'layan je kami ni', tanpa aku pernah lihat segaris kerutan di dahinya, sentiasa senyum dan ramah menyapa, tak kira sesiapa sahaja yang dijumpainya, adik baru ke adik lama ke, layanan yang diberikan pada semua yang dijumpainya membuatkan orang yang disapa merasa sangat istimewa. Dan aku banyak membandingkan dengan diri aku yang sebenarnya masih lagi tidak cukup. T______T

4-Aku sebenarnya kurang senang dan geram bila mana orang tempatan di sana, mereka tidak memahami Bahasa Inggeris (macamlah diri ini fasih sangat!) dan jarang sekali untuk menuturkan dalam perbualan. Rasa kecewa seketika, sebab tak dapat nak bermu'ayashah dengan mereka dengan baik. Ataupun sebenarnya aku yang perlu tahu bahasa mereka, tidak pun menguasai perkataan-perkataan yang selalu mereka pertuturkan. Hai....macam mana nak berdakwah pada orang asing, kalau tidak tahu bahasa mereka?

5-Aku gembira melihat jalan-jalan yang bersih, bangunan yang ceria dengan warna-warni, pengangkutan yang sangat tepat pada masanya, pendek kata, sangat banyak kemudahan yang penduduk di sini raih daripada kerajaan mereka. Cuma sayang dan sayangnya, bukan beragama islam, bukan beriman pada Allah. Di sini, aku melihat, islam di negara bukan islam. Sangat sayang !

6-Bila mana Allah campakkan kita di suatu kawasan, maka itulah yang terbaik untuk kita. Terbaik untuk kita menguatkan lagi keimanan kita pada Allah. Bukan rezekiku di untuk belajar di France kerana rezekiku di Mesir. Aku ini sesuai untuk ditarbiyyah di Mesir, bukan di tempat lain. Setiap tempat ada kekuatan masing-masing, walaupun berlainan tempat, tetapi daripada cabang tarbiyyah yang sama.

7. Ukhuwwah antara kami perlu diselesaikan segera, banyak urusan yang akan tergendala kalau ukhuwwah tak mantap, lepas ini, kerja semakin berat.



Mudah-mudahan, aku menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Tak mahu lagi mengulang benda yang sama, kalau tidak jaulah ini hanyalah sia-sia sahaja. Wallahu'alam.

Sunday, February 12, 2012

Cinta yang tertinggal 1

L'ecole de medicine, pernah suatu ketika, aku teringin sangat untuk menjejakkan kakiku ke sana. Ini semua adalah hasil pentarbiyyahan daripada pembelajaran Bahasa Perancis suatu ketika dahulu, hinggakan aku begitu teruja untuk ke sana. Apakan daya, memang tidak ada penghantaran pelajar ke sana. Pada akhir tahun pengajian di tingkatan lima, tiba-tiba pendirianku berubah, jurusan kejuruteraan menjadi pilihan di hati, hanya kerana subjek Biologi yang susah untuk mendapat markah berbanding subjek Kimia dan Fizik. Dan kemungkinan tempat yang ingin dituju ialah Perancis atau Jerman.

Aku tidak berpeluang untuk ke sana mengenangkan insan yang aku sayangi memikirkan bahawa ada baiknya aku mengambil jurusan perubatan, memandangkan peluang pekerjaan yang mungkin terhad untuk perempuan. Menuruti kata abah dan ibu, maka ke Mesirlah aku. Impian untuk ke France dilupakan sementara, mungkin ada rezeki akan ke sana, dengan hadaf untuk melihat-lihat tempat orang.

Dan Allah masih lagi memberikan ruang dan peluang untuk aku ke sana, dan hadafnya bukan sahaja untuk melihat-lihat tempat orang, ditambahkan lagi dengan tujuan untuk mengenali akhawat di sana yang ditarbiyyah dari acuan yang sama, mengenali waqi' dakwah di sana, bawa balik kelebihan dakwah di France untuk menjadi pemangkin dakwah di Mesir dan lain-lain lagi. Subhanallah, banyaknya hadaf dan niat, mudah-mudahan semuanya terlaksana hendaknya.

Aku tahu peluang ini tak boleh disia-siakan begitu sahaja. Bertemu dengan akhawat-akhawat hebat di tempat lain akan mengajar banyak benda baru. Yakinlah, insyaAllah, akan ada sahaja benda baru yang Allah mahu ajarkan pada kita walaupun mungkin kita dah pernah ke tempat yang sama untuk kali kedua tapi tujuannya adalah lain! Kali pertama kita ke tempat itu untuk melihat-lihat tempat orang, dan bila mana ada peluang untuk ke tempat yang sama tetapi dengn hadaf yang lebih besar dan banyak, yakinlah bahawa Allah akan mudahkan urusan kita untuk mencapai segala hadaf yang dirancang.

Kita berjaulah bukan hanya untuk mengambil gambar dari pelbagai 'angle' yang menarik, kemudian, meng'upload' di fb, kemudian men'tag' orang lain. Kita juga bukan berjaulah untuk hanya membeli souvenir dan kemudiannya menghadiahkannya kepada orang-orang terdekat. Berjaulah perlu hadaf yang lebih besar, supaya jaulah kita lebih terisi dan mengesankan hati.

Dan bilamana balik dari berjaulah, maka bermuhasabahlah untuk setiap yang dilakukan. Adakah hadaf yang dirancang tercapai atau tidak. Jika ya, maka alhamdulillah, harapnya semangat dan keazaman yang lebih membara selepas jaulah dan jika tidak, maka itu adalah perancangan yang sebaiknya untuk kita, dan mungkin perlu diperbaiki lagi.

Selamat berjaulah! Semoga perjalanan kita ini menjadikan kita lebih dekat dengan Allah dan mendapat redhaNya, amiin.Wallahua'lam.




Tuesday, January 31, 2012

Dumyat oh dumyat....

Rasanya Ayu ke Dumyat, mengikuti program Rumah Negeri Sembilan ke sana, semasa kami berada di tahun 2 perubatan. Masa tu dengar Ayu bercerita best sangat, sebab dia kata, mereka semua ke tepi pantai di Dumyat dan mengutip kerang yang besar-besar dan gemuk (bestnya kerang!!!). Aku pula baru teringat setelah 4 hari di Dumyat, baru teringat kerang-kerang a.k.a. makhluk-makhluk kecil Ar-Rahman yang berzikir kepada Allah SWT di tepi pantai Dumyat. Tak sempat nak mengutip kerang-kerang atau sebenarnya memang tak pergi pun tepi pantai yang ada kerang-kerang tu T_T. Walaupun tak dapat mengutip kerang-kerang, namun aku diberi kesempatan untuk mengutip memori dan kenangan indah serta merasai kehangatan ukhuwah yang ditautkan oleh aqidah. WING 2012, menjadi saksi bahawa hati-hati ini bersatu untuk memikul beban dakwah ini, bersatu dalam menjalankan syariat Allah SWT di bumi ini, bersatu dalam perasaan izzah terhadap islam.

Aku belajar banyak perkara. Aku belajar bagaimana untuk menjadi ketua a.k.a. bonda kepada kumpulan kami iaitu Zainab Binti Abi Salamah. Aku sebenarnya lebih selesa untuk menjadi orang yang menerima arahan, aku tak kisah sekiranya diminta itu dan ini untuk dilaksanakan, namun bila mana diminta untuk mengarahkan orang lain untuk melakukan sesuatu, aku sangatlah risau untuk menyusahkan orang lain, bagiku, aku lebih suka untuk diriku melakukannya, biarkan aku yang buat benda tu. Tetapi bila menjadi bonda, aku belajar bagaimana untuk memberi arahan dan membahagikan kerja kepada ahli keluargaku.

"Aneeza, minta tolong ya masakkan nasi hari ni, "
"Kak Yam, boleh ke akak ambikkan lauk?"
"Azlina, boleh ke bawakkan jug air nanti?"
"Yusraa ada ke minyak angin ke, balm ke, boleh tak bawak nanti?"
"Maisarah boleh ke ambikkan kunci bilik?"
"Mena, nanti jangan lupa ya turun untuk qiam pukul 4 pagi"
"Shae, boleh ke tanya orang dapur ada tak lauk lebih?"

Masih teringat semasa mendapat nama-nama ahli keluarga Zainab Binti Abi Salamah dan perlu menghubungi mereka, risau juga, sebab ada yang tidak kenal, namun Allah, pemegang hati-hati manusia memudahkan segala urusan. Segalanya alhamdulillah, cuma, 4 hari sebenarnya masih belum cukup untuk menyelami dan memahami hati-hati manusia, apatah lagi setahun, dua tahun, malah lima tahun, atau 10 tahun! Mudah-mudahan, aku diberi peluang lagi untuk bertemu dengan mereka semua. Betapa ukhuwah yang diikat dengan aqidah adalah hubungan yang kuat kerana tapaknya atau dasarnya adalah keimanan kepada Allah SWT.

Daripada WING ini lagi, aku berharap aku menjadi hamba Allah yang lebih baik selepas ini. Bila mana sesi LDK 10 Muwasafat Tarbiyyah dibentangkan kepada ahli keluarga, dalam masa yang sama, ku muhasabahkan diri ini. Tidak ingat sudah berapa kali aku mendengar istilah ini, namun Allah masih lagi memberikanku peluang untuk meneliti semula setiap sifat dalam 10 muwasafat tarbiyah berkenaan. Setiap individu muslim perlu ada 10 muwasafat ini, perlu berusaha untuk mengusai 10 muwasafat tarbiyah, memang susah sebenarnya, tetapi sebagai hamba kita perlu berusaha keras untuk melaksanakannya. Secara idealnya, setelah 10 muwasafat dihadam dan diamalkan, kemudian individu muslim itu akan menaiki satu persatu tangga-tangga maratib amal.

Bertemu dengan makhluk-makhluk Allah S.W.T yang juga mencintaiNya adalah satu yang amat menyentuh jiwaku juga, Dari jauh ataupun dekat, dari Tanta, dari Mansurah,  masing-masing mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk menambahkan keimanan kepada Allah S.W.T serta mentautkan hati ke hati bersama kerana Allah S.W.T. Semakin ramai yang perlu dikenali, kerana apabila hubungan aqidah adalah lebih kuat daripada ikatan-ikatan yang lain, semakin banyak hati-hati yang perlu disentuh dan disantuni.

Lagi satu perkara menarik ialah, apabila ada seorang ukhti dari Korea, turut sama mneyertai kami di sini, subhanallah. 'Daripada meminati artis Korea, baik kita meminati akhawat Korea', begitulah status fb seorang ukhti kami ^_^

Ketika explorace, sangatlah menguji, jauh sungguh antara satu check point ke check point seterusnya, macam main amazing race pulak tapi naik tremco jelah, dan bila mana sampai di satu check point, ada yang suruh buat ceritalah, ada yang suruh kutip keranglah, ada yang suruh pegang belin dengan satu jari pastu jalan sama-sama sampai naik tangga masjid, macam-macam benda yang disuruh, sepertimana kita mendapat arahan Allah, kadang-kadang macam takde point, tapi sebenarnya itulah, kalau Allah suruh buat sesuatu maka buatlah, bila diminta tinggalkan sesuatu maka tinggalkanlah.

Jzakunnallahu khairan kathira kepada semua AJK, kepada anak-anak bonda, Anneza, Siti Nur Azlina, Amalina, Kak Maryam, Shaera, Yusraa, Raja Maisarah, kepada insan jauh tapi dekat, Izzah Syafiqah, Farah, dan Hidayah Razak, kepada semua akhawat yang turut serta dalam WING 2012 ^_^

Alhamdulilllah, 4 hari yang terisi, mudah-mudahan Allah masih lagi memberikan kita peluang untuk menyertai lagi, thabat lagi di jalan ini, menjadi individu muslim yang lebih baik, yang sentiasa menonjolkan diri di hadapanNya, dan mempunyai cita-cita yang tertinggi untuk mendapatkan syurgaNya yang tertinggi dan cintaNya. ^_^


Monday, January 9, 2012

Blog-blog lama yang dah tak ingat password....

Hingga ke akhirnya....

Aku tidak ingat, malah sudah tidak menghitung berapa kali aku telah menyertai ISK (Ini Sejarah Kita), atau OYEH (Open your Eyes), atau TLK (The Lost Kingdom) atau nama-nama lain yang telah dikomersialkan. Sama ada aku menjadi penyampai, atau menjadi AJK lain, atau aku menjadi fasilitator, sama-sama menyelit dengan adik-adik, memberikan penerangan dan pencerahan sambil-sambil mendengar dengan khusyuk. Sama ada di Malaysia mahupun di Mesir. Sama ada sehari atau dua hari programnya. Hanya setakat ini sahaja pengalamanku, dan pengalaman ini masih belum dapat menyamai akhawat yang sudah senior, mungkin juga tidak sampai bila-bila tidak akan dapat menyamai, kerana bila mana aku sudah mencapai tahap mereka sekarang ini, mereka pula semakin bertambah laju dan semakin berpengalaman. Harapnya semangat aku tidak luntur, harapnya aku thabat di jalan ini..amiin.

Cuti hujung minggu ini, seperti biasa ku akan bermusafir ke muhafazah, menaiki keretapi, sepatutnya perjalanan hanya mengambil masa 3 jam atau 3 jam setengah, tetapi kali ini, keretapi masih tidak bergerak walaupun sudah 2 jam masuk ke dalam keretapi. Semakin ramai pula penumpang yang berdiri, memenuhi ruang antara tempat duduk dalam keretapi. Mula terbayang memikirkan kalau tidak ada pengudaraan atau ventilation, maka akan senanglah droplet infection berlaku, siapa-siapa yang bersin atau batuk, senang sahaja bacteria atau viral infection berlaku, ditambah lagi dengan musim sejuk, tidak memungkinkan untuk penghawa dingin dihidupkan, semakin bertambah teruk bila ada manusia-manusia yang tidak memikirkan kesihatan orang lain apabila mereka merokok sesuka hati, tidak mengira masa. Semakin ramai manusia-manusia yang berdiri, mungkin sahaja akan menyesakkan pernafasan. Ada juga yang duduk di jalan antara dua kerusi, orang Arab, mereka besar, bila duduk sahaja antara dua jalan, dah tak boleh lalu dah jalan.

Allahhhh....kalaulah tidak sabar maka mungkin minggu ini aku tidak ke sana, kalaulah tidak bersabar maka aku tidak dapat mengenali wanita-wanita syurga yang baru aku kenal, kalaulah tidak bersabar maka mungkin semangat aku akan sentiasa mendatar untuk minggu ini. Tetapi, walaubagaimanapun, Allah yang memudahkan segalanya. Alhamdulillah setelah 2 jam, akhirnya keretapi pun bergerak.Laungan Alhamdulillah dan Lailahaillallah kedengaran. Setelah kira-kira 30 minit atau 1jam bergerak, tiba-tiba keretapi berhenti semula, dalam masa 20 minit kemudian bergerak kembali. Manusia-manusia semakin bising menghangatkan lagi suasana, mengomen2, kenapalah tak bergerak-gerak keretapi ni? Ada pakcik yang sedang menelefon kawannya barangkali, Al-itar da, ma biyamshih, wala kilo, wala metr, wala centi....masyaAllah! Aku, membelek-belek buku perubatan, menanda dengan highlighter, menconteng dengan pensel, maklumlah imtihan  sudah dekat. Moga Allah menerima  persediaanku ini. Amiin.

Teringat, ada seorang ikhwah, bagu tugasan pada anak-anak usrahnya, dia suruh anak-anak usrahnya naik komuter atau jumpa orang dan tanya dia tentang islam. Perlu juga berbuat sebegitu pada orang sebelahku. Sebabnya, hanya pada masa itu sahajalah 'timeline' kita sama dengan mereka, mungkin lepas ni dah tak dapat jumpa lagi. Kalau Allah tanya nanti, kenapa kita tak sampaikan islam pada orang yang di sebelah kita, macam mana nak jawab tu?Orang di sebelahku, seorang perempuan. Sekali-sekala, membetulkan kedudukannya di kerusi, Heba, 18 tahun, belajar di Universiti Kaherah (tak ingat jurusan apa), pulang berjumpa dengan keluarga selama seminggu dan akan kembali ke Kaherah untuk menghadapi peperiksaan. Gambar SRK terpampang di halaman depan handsetnya, dia tanya,' awak kenal ke Shah Rukh Khan?', 'tahulah...cerita KKKG, cerita Mohabbatien, dan dia sangat terkejut dan dia tanya, 'awak ada cerita Mohabbatien?', 'Of course takde'. Jahiliyyah lama-lama dulu. Kesian dia. 'Cuma saya ada cerita tentang perang, tentang Salahuddin, tentang Muhammad Al-Fateh', dan dia hanya gelak. Aku katakan padanya, sebab kenapa aku tak tengok cerita-cerita macam tu, kerana aku tidak ada masa, sebab ambil perubatan (mungkin juga masa tu aku tak terfikir ayat arab yang bagus supaya maklumat dapat disampaikan dengan jelas).

Tak lama kemudian, keretapi berhenti kembali, selama 15 minit kemudian meluncur laju lagi. Tidak ada berhenti-berhenti dah. Rasa mengantuk, tak sedar tertidur dan orang di sebelahku menutupkan bukuku. Bila sedar, sudah hampir dengan stesen. Manakala orang di sebelah, dia akan turun ke stesen yang berikutnya. Kami bersalam dan mengucap selamat tinggal. Sepatutnya malam ini bulatan gembira bakal berlaku, namun disebabkan perkara-perkara tertentu, maka bulatan gembira perlu ditangguhkan ke hari yang lain. Namun, aku tidak lupa, insan-insan yang tidur pada pukul 2 atau 3 pagi untuk memastikan semua yang diperlukan pada keesokan harinya mencukupi dan sempurna. Moga Allah memberkati mereka dan menerima amalan mereka...amiin ya Rabb.

Maka bermulalah TLK pada keesokan harinya. Berjumpa dengan ramai insan yang pelbagai latar belakang, ada yang sedang mencari-cari tarbiyyah, ada yang bersih dan suci hatinya, ada yang sudah mendapat tarbiyyah dan mahu lebih lagi memantapkan diri. Subhanallah, semua ini memberikan aku kekuatan untuk terus bergerak dan bergerak. Seperti Abdullah bin Ummi Maktum yang mencari-cari Rasulullah. Mereka ini adalah prioriti kita kerana mereka menginginkan sesuatu yang terbaik untuk diri mereka. Pada mulanya, diriku seperti juga mereka, malah mungkin lebih teruk lagi. Setelah disinari tarbiyyah selama 5 tahun, aku harapkan agar ada sesuatu yang telah ku baiki supaya diri ini menjadi hamba Allah yang baik....harap sangat...T_T

Perjalanan program alhamdulillah, cuma mungkin ada sedikit sebanyak yang perlu diperbaiki. Kita berkerja dalam satu pasukan, jadi ada peraturannya, ada yang perlu dipatuhi, ada yang perlu dijauhi. InsyaAllah, kita akan belajar dan belajar lagi. Jangan risau. Aku faham bahawa untuk mengalahkan kebatilan, kita perlukan perancangan yang tersusun rapi, kerana kebatilan sekarang ini, mereka juga mempunyai strategi, malah lebih hebat daripada kita yang memperjuangkan kebenaran ini. Maka, segala kekurangan perlu dikenalpasti dan dibaiki dengan seberapa pantas. Moga Allah membantu kami...amiin.

Perjalanan kami pulang ke Kaherah juga diuji, tertinggal keretapi, kami bersepakat untuk memilih Tremco, di pertengahan jalan, ada sesuatu yang pecah, bau minyak menusuk hidung, Tremco tidak dapat bergerak, setiap kali berjalan, tidak lama kemudian perlu berhenti.Alhamdulillah kami menumpang Tremco lain, dan alhamdulillah selamat sampai di rumah.

Kalaulah tidak kerana keredhaanMu dalam setiap tindakanku, aku tidak akan menyusahkan diriku untuk semua ini, ya Allah. Aku tahu, Kau akan banyak mengujiku lagi dan lagi. Setiap kali aku katakan aku mampu menempuhi jalan yang sukar ini, setiap kali itu juga Kau akan menguji dan terus menguji. Aku tahu dalam surat cintaMu, Kau katakan yang Kau mahu mengetahui di antara manusia yang ada di dunia ini, siapa yang bersungguh-sungguh jihadnya, siapa yang bersungguh dalam amalnya, siapa yang ikhlas dalam setiap perlakuannya. Maka ya Allah, terimalah segala apa yang aku lakukan, redhailah jiwa ini, berikanlah kekuatan iman kepadaku, sampai bila-bila, hingga ke akhirnya...amiin.

http://www.youtube.com/watch?v=VoT1zg7Dygw

Saturday, December 17, 2011

Ekspresi hadis satu....

Setelah membentangkan hadis satu kepada adik-adik menyebabkan aku termangu-mangu sendirian berfikir. Dalam hadis satu dalam kitab Imam Nawawi ada mengatakan bahawa kita dalam apa jua tindakan kita perlu dimulakan dengan niat. Niat sangat penting supaya adat yang selalu dilakukan berubah menjadi ibadah. Adat seperti makan, mandi, gosok gigi, memasak, gosok baju dan lain-lain, kalau kita mahukannya ia menjadi ibadah maka kita perlu niatkannya kerana Allah S.W.T. Di samping itu juga, dalam keadaan kita sekarang, kita perlu hijrahkan niat kita untuk niatkan apa-apa yang kita lakukan ini untuk sebarkan dakwah Allah S.W.T, untuk sebarkan islam kepada semua manusia. Makanya, dalam setiap perbuatan kita, pakai baju sebab nak keluar pergi sebarkan dakwah, minum air banyak-banyak sebab nanti sihat lepas tu boleh pergi dakwah, semuanya adalah kerana dakwah. Kadang, untuk meniatkan setiap perkara kerana Allah pun kadang teringat kadang tidak, apatah lagi untuk menjadikan seluruh kehidupan kita adalah untuk dakwah. Tetapi, betapa perlunya untuk memastikan kehidupan kita semuanya berputar pada paksi kerana dakwah kepada Allah itu sendiri. Kerana bila mana kita niatkan kerana dakwah maka kita ada matlamat untuk setiap kehidupan kita. Bimbang kalau-kalau di akhirat kelak, akaun pahala kita tidak terisi penuh, banyak ruang kosong atau mungkin tidak berbaki langsung. Ya Allah....bayangkan kalau tidak akaun pahala kita kosong. Padahal rasanya dah berpenat lelah dah di dunia, tetapi adakah ianya untuk menyampaikan islam itu sendiri? Takutkan, kalau kita dah bermati-matian, penat ke sana, penat ke sini, tapi masa menuai pahala, kita tiada sebenarnya tiada apa-apa. Sebab itu, kehidupan kita tidak boleh main-main, gelak banyak-banyak matikan hati (suka sangat gelak),  bila hati mati, susah nak ingat benda baik, sebab itu jugalah lupa nak niat kerana dakwah kepada Allah. Kena pastikan setiap 24 jam tiada jahiliyyah yang melekat, hanya yang berkaitan islam sahaja yang dibuat.

Dan yang paling penting, sebab aku telah memberi pada adik-adik, takkan aku yang telah bercakap dan menyampaikan tak lakukan sama, tak amalkan sama, membiarkan adik-adik menjadi semakin baik sedangkan aku masih di takuk lama. Tadabbur ayat (61:2-3)

Satu lagi yang menarik perhatianku adalah apabila melihat qudwah yang aku sangat suka (suka sangat-sangat), iaitu Saidina Umar Al-Khattab, beliau yang meriwayatkan hadis ini. Bagaimana seorang yang bengis dan ganas kepada orang Muslimin, menjadi orang yang bengis dan ganas kepada orang musyrikin, bagaimana Saidina Umar dapat berubah sekelip mata, '180 degree', berubah 'totally'. Sejahil-jahil kita takdelah kita nak membunuh kanak-kanak, sepertimana Saidina Umar menanam anak perempuannya ke dalam tanah hidup-hidup, sejahil-jahil kita takdelah kita nak membenci Rasulullah, sepertimana Saidina Umar membenci hingga hendak membunuh kekasih Allah itu. Memberi pengajaran padaku, kalau Saidina Umar boleh berubah, masakan aku tidak boleh berubah, aku kena berubah, aku perlu pastikan aku akan berubah, insyaAllah!

Tidak boleh begitu, aku pun perlu berubah juga, menjadi yang lebih baik, aku mesti berubah!

Monday, December 12, 2011

Masa semakin suntuk...

Masa semakin pantas berlalu. Meninggalkan kita, manusia, tertinggal jauh di belakang. Tak sempat untuk mengejar masa yang tak 'menyempat-nyempat' pergi berlalu begitu sahaja. Masa tidak akan rugi kerana dia menunaikan tanggungjawab dia yang sebenar, iaitu sentiasa berjalan dan berjalan. Hanya, kita iaitu manusia, yang perlu mengejar masa yang pantas berlari. Setiap masa, setiap ketika ada sahaja urusan manusia. Banyak perkara yang perlu diselesaikan. Tetapi malangnya masa tidak menunggu kita dalam menyelesaikan urusan manusia. Hanya orang yang sedar keberadaan dia di dunia ini kerana apa, hanya mereka yang faham tujuan dia diciptakan Tuhan di muka bumi ini tahu, hanya manusia yang Tuhan kata beriman dan beramal soleh sahaja yang ingat bahawa mereka sendiri perlu mengejar masa.

Aku merasakan bahawa hidup ini terlalu suntuk. Kehidupan ku kini, bila di tahun 5 perubatan, semakin sukar. Mula sekolah di hospital pada pukul 7 pagi hingga 2 petang. Kemudian, setelah pukul 2 petang, baru urusan-urusan yang lain pula, seperti usrah, meeting, kelas tafsir, kelas arab, baca buku perubatan, baca buku lain-lain, hafal quran, lengkapkan mutabaah amal seharian, dengar recording, telefon adik-adik, update blog. Ya Allah....kadang-kadang aku rasakan dadaku sempit, tak sempat bernafas untuk kali yang kedua, tercungap-cungap, 'hyperventilation washing all the CO2'. Sungguh banyak kerja, dan masa pula semakin suntuk. Dan ajal pula menunggu-nunggu setiap hari. Sungguh mencabar untuk menjadi individu muslim yang hebat. Dan ini semua adalah keadaan sebelum aku bekerja, sebelum aku berkeluarga.

Tapi aku tahu, aku perlu memecut laju. Setiap ruang dan masa, tidak boleh dibazirkan. Aku dah tak boleh buang masa, kena kurangkan 'habit-habit' yang kurang berfaedah. Cepatkan pembinaan diri. Adik-adik dah besar, tak boleh main-main lagi. Semakin cepat bina diri, semakin cepat sampai ke ustaziyatul alam. Perlu cepat-cepat.

Friday, December 2, 2011

Mencetak manusia...

Kita akan berusaha sedaya-upaya kita untuk menyebarkan islam kepada semua orang. Semua orang di dunia ini perlu mendengar kalimah tauhid ini. Semua orang di dunia perlu tahu islam yang kita bawa. Walaupun sempadan geografi memisahkan negara-negara kini. Bagaimana pada zaman dahulu,  nabi dan para sahabat, para tabiin, dan tabi' tabiin, muslimin menghantar para utusan untuk menawarkan islam kepada pemerintah negara-negara, jika tidak diterima maka dikehendaki membayar jizyah, jika tidak diterima maka akan diperangi habis-habisan, bukan kerana ingin menjajah negara, bukan kerana ingin menguasai negara, bukan kerana tamakkan harta dan kekayaan, tapi kerana bimbang penduduk negara tersebut tidak mendengar tentang islam. 

'Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah dan agama hanya bagi Allah semata. Jika mereka berhenti, maka tidak ada lagi permusuhan, kecuali terhadap orang-orang zalim.' (2:193)

Fitnah di sini, adalah apa-apa yang menghalang dakwah itu disampaikan, apa-apa sahaja. Dan bila mana dakwah itu dihalang, maka akan berbuat apa sahaja supaya semua orang mendengar islam yang kita bawa. 

Dakwah kita bukan hanya sekadar dakwah, tetapi ada 'follow-up', ada pendidikan, ada tarbiyyah yang akan mengikuti dakwah yang dibuat, bila mana kita telah mendakwahkan manusia, kemudian bila dia menerima dakwah kita, barulah kita mentarbiyyah mereka. Kita bukan hanya sekadar dakwah, dan dakwah, bukan hanya sekadar menebarkan jalan sahaja, tetapi bila mana ada manusia yang menyukai dakwah kita maka bermulalah proses mentarbiyyah mereka, bermulalah proses membentuk mereka. Membentuk apa? mentarbiyyah apa? untuk membentuk individu muslim, untuk membentuk qaedah sulbah, yang mana akan cukup 10 muwasafat tarbiyyah, dan akan menaiki satu demi satu tangga sebelum sampai ke ustaziyatul alam. 

Pernah sekali, ketika Saidina Umar dan sahabat-sahabat sedang duduk di dalam sebuah bilik, Saidina Umar bertanya, "Bermimpilah!".

Salah seorang sahabat berkata, "Aku impikan bilik ini dipenuhi dengan harta yang banyak, jadi aku boleh sedekahkannya ke jalan Allah."

Kemudian Saidina Umar berkata lagi, "Bermimpilah!"

Kemudian, seorang lagi sahabat berkata, "Aku impikan bilik ini dipenuhi dengan emas dan permata, jadi aku boleh sedekahkannya ke jalan Allah."

Saidina Umar berkata lagi, "Bermimpilah!"

Sahabat berkata, "Wahai Amirul Mukminin, kami tak tahu apa yang ingin diimpikan lagi. Engkau mahukan bilik ini dipenuhi dengan apa?"

Saidina Umar menjawab, "Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan ‘rijal-rijal’ seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah, supaya aku boleh hantar mereka ke jalan Allah”

Bagaimana Saidina Umar mengimpikan bahawa bilik itu dipenuhi dengan rijal-rijal yang mantap amalnya dan sumbangannya untu islam, mereka yang memenuhi hadis logam. Kerana rijal-rijal itu adalah orang yang penting untuk dakwah, pemuda yang akan memikul beban dakwah di bahu mereka. 

Sebagaimana Hasan Al-Banna apabila ditanya mengapa dia tidak menghasilkan tulisan-tulisan atau makalah, buat tatapan ahli Ikhwanul Muslimin, maka jawapannya aku tidak mencetak kitab, tetapi aku mencetak manusia.

Mencetak manusia bukanlah proses sehari dua, makan masa bertahun lamanya, butuhkan kesabaran, kemahuan, dan strategi.Moga Allah memberkati usaha kita selama mencetak manusia-manusia ini.