Showing posts with label exam. Show all posts
Showing posts with label exam. Show all posts

Friday, February 28, 2014

Koreksi Imtihan : Fatawakkal 'Ala Allah


Maka, tirai imtihan tahun akhir perubatan pun ditutup pada 22 Januari 2014. Maka bermulalah urusan setelah imtihan. Membelek-belek kembali senarai yang mahu dicapai setelah imtihan. Kalau dahulu, sambil-sambil membaca buku, kepala ligat berfikir apa yang mahu dibuat. Baca sedikit buku, kemudian terus menaip apa yang ingin dibuat, supaya tidak tertinggal. Ada 16 perkara semuanya, yang diakhiri dengan doa pengharapan, semoga dimudahkan segala urusan dan diberikan najah dalam imtihan, supaya dapat membuat semua perkara. Kemudian zauj menambah di nota akhir, mengaminkan segala yang dihajati. Koreksi untuk diri sendiri, apakah sudah merealisasikan apa yang ingin dibuat? Sudah berapa banyak yang sudah dibuat dan berapa banyak yang belum diusahakan? Sudah lama terlepas dari imtihan tetapi masih banyak yang belum dibuat. Sedangkan masa semakin singkat.

Sekali-sekala teringatkan natijah imtihan yang bakal diumumkan, Allah, Allah. Seolah-olah jantung berdegup luar daripada biasa. Hanya mendoakan setiap hari semoga Allah berikan yang terbaik iaitu najah fil imtihan. Teringat-ingat, kata seorang ahli usrah. Beliau menceritakan, semasa peperiksaan SPM dahulu, setiap hari, tidak pernah tinggal solat hajat. Mungkin itu juga yang dilakukannya sepanjang menunggu keputusan imtihan kali ini. MasyaAllah.

Dalam keadaan yang risau dan sulit, maka perlulah meletakkan sepenuhnya tawakkal padaNya. Meyakini bahawa dia yang meletakkan yang terbaik untuk kita. Tanpa perlu banyak soal dan berprasangka.
Tertarik dengan sebuah cerita mengenai tawakkal. Bayangkan ada 2 orang pengembara yang sedang menaiki kapal besar menuju ke sebuah destinasi. Dalam kapal besar itu juga, terdapat ramai pengembara lain yang turut menghala ke destinasi yang sama. Pastilah kesemuanya mempunyai barang-barang kembara masing-masing. Seorang pengembara dengan yakinnya meletakkan semua barang yang dipikulnya sebaik sahaja memasuki kapal besar ini. Sudah pastinya lelah mengangkat barang, diletakkan sahaja barangnya yang telah dipikul sejak sekian lama.

Manakala seorang lagi pengembara, dia masih mahu memikul bebannya. Dalam keadaan penat lelah dia memikulnya, si pengembara yang seorang lagi menasihatinya supaya diletakkan barang-barangnya. Namun dia masih berdegil, mahu juga memikulnya. Sehinggalah dia melihat persitiwa dahsyat yang menimpa sebahagian pengembara. Ada yang mati kerana tertimpa oleh barangan sendiri, ada yang perlu dicampakkan ke laut kerana tidak mahu mendengar kata nakhoda kapal yang sudah berkali-kali memberitahu supaya meletakkan barangnya. Ada juga yang sudah tua dan lemah tidak mampu mengangkat barangnya, mati dalam keadaan yang menyayat hatinya. Peristiwa dahsyat itu mengesankannya, maka dia pun segera meletakkan barangnya di atas lantai kapal tersebut. Setelah itu dia berasa senang dan selesa. Tidak perlu lagi mengangkat barangannya sehinggalah sampai ke destinasi yang dituju.

Pengembara-pengembara itu ibaratnya kita, manusia. Ada yang menyerahkan kepada Allah setelah berusaha, ada yang separa bertawakkal, ada yang tidak mahu bertawakkal langsung. Manakala kapal besar itu adalah tawakkal. Barangan yang dibawa itulah beban hidup. Begitulah perumpamaanya. Sebaik sahaja si pengembara meletakkan barangannya, nah, maka dia semakin ringan dan lelahnya semakin berkurangan. Sudahkah dia berusaha? Ya dia sudah berusaha. Sebelumnya bukankah dia sendiri memikul beban itu sehinggalah dia sampai ke kapal besar tawakkal dan kemudian terus meletakkan bebannya. Firman Allah SWT: Maka disebabkan rahmat Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (3:159) 

Semoga dapat memberikan sebaik-baik tawakkal kepada Allah SWT dalam segala urusan. Baik urusan pelajaran, baik urusan dakwah dan tarbiyah, baik urusan pekerjaan, segala urusannya. Baik duniawi mahupun ukhrawi. Setelah, setelah kita betul-betul berusaha yang terbaik untuknya sehingga sudah tercapai had yang kita mampu, kemudian serahkan segalanya.

Semoga Allah memberikan yang terbaik dalam urusan pelajaran dan imtihannya. Semoga beroleh najah dan cemerlang dalam imtihan.

Semoga Allah memberikan yang terbaik dalam urusan jodohnya. Semoga Allah mengurniakan orang yang terbaik, di masa yang terbaik, dalam keadaan yang terbaik.

Semoga Allah membimbing yang terbaik dalam urusan pekerjaanya.

Semoga Allah membimbing yang terbaik dalam urusan dakwah dan tarbiyahnya. Allah yang memegang hati manusia, maka mintalah dariNya. Semoga Dia melembutkan hati manusia-manusia yang disentuhi.

Wednesday, December 18, 2013

Koreksi imtihan: Cukup-cukup sudah kerisauan


“Pakcik, mohon doanya ya, Kinah ada exam akhir bulan 11 nanti,”pintaku pada pakcikku yang aku temui.

“Makcik, mohon ya doanya, insyaAllah bulan 11 ini ada exam, habis semuanya biiznillah, bulan 2 2014,” kataku pada makcik, meminta doa darinya.

“Ibu, jangan lupa ya doakan Yong,” pesanku pada ibu. “Ya, ibu tak pernah lupa, setiap lepas solat ibu doakan yang terbaik untuk anak-anak ibu semua,” dia, yakin membalas permintaanku.

“Ummi, mohon doakan Sakinah ya,” ku memohon doa dari ibu mertuaku. “InsyaAllah, ummi doakan yang terbaik untuk Sakinah.”

Ku biasakan diri, bermula tahun akhir pengajianku, setiap kali menjumpai manusia, meminta mereka, jangan lupa menitipkan aku dalam doa mereka, bukan hanya untuk pelajaran, malah untuk keseluruhan kehidupan yang baik dunia dan akhirat. Malah, turut berpesan kepada pakcik dan makcik yang ku kenal melalui ‘Facebook’, memohon doa dari mereka yang soleh dan solehah. Malah, ada di antara mereka yang sudi untuk solat hajat untuk memohon kebaikan untuk kami.

Masih teringat, semasa di sekolah dahulu, terutamanya ketika menghadapi imtihan besar seperti PMR dan SPM, sokongan dan dorongan dari kawan, junior, senior dan guru-guru amatlah mengharukan. Sebelum bermula imtihan esoknya, biasanya junior-junior akan datang ke bilik dan melekatkan kata-kata semangat pada ‘locker’ kami ketika kami sudah masuk tidur. Apabila pagi menjelang, bangun pagi sahaja, melihatkan kertas-kertas berwarna warni dilekatkan sudah cukup memberikan keriangan dan ketenangan. Bahawa mereka juga turut bersama-sama mendoakan yang terbaik untuk kita.

Entah mengapa, sungguh, imtihan akhir ini benar-benar menguji. Kerana ini adalah yang terakhir, sebelum melangkah ke ruang pekerjaan. Betulkan teori yang selama ini difahami sefaham-fahamnya? Apakah betul analisa penyakitnya? Apakah pula jalan terbaik rawatannya? Semuanya ini akan diaplikasi pada manusia. Salah memberi ubat, padah akibatnya.

 Mungkin juga kebimbangan ini kerana mengandaikan bahawa pensyarah-pensyarah yang mengajar akan memandang tinggi pada kami, yalah sudah di tahun akhir, semestinya tahu segala serba-serbi. Dan pada hakikatnya, Allah sahaja yang mengetahui pengetahuan terbatas yang dimiliki. Hanyalah doa dan harapan menjadi penguat langkahan.


Jangan sesekali merendahkan doa
Sememangnya, kekuatan doa ini, jangan sesekali menafikan kekuatannya. Kerana Allah berfirman:

“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu, tentang Aku, maka katakanlah bahawa sesungguhnya Aku ini dekat. Aku dapat mengabulkan permohonan orang yang berdoa padaKu jikalau ia telah memohonkan itiu padaKu,” (2:186)
Siapakah kita mahu menidakkan doa, sedangkan Dia sudah mengatakan sedemikian tentang doa. Dia berfirman lagi:

“Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan doamu,” (Ghafir:60)
Nah, apa lagi yang kita mahukan, Allah sudah memberikan jawapannya kepada kegusaran kamu, mengapa lagi risau dan bimbang tidak menentu. Sudah-sudahlah, usaha sudah, tinggal sahaja doa dan tawakal padaNya.

Sekian ramai para sahabat yang berdoa dan dimakbulkan permintaanNya. Sesungguhnya, mereka melalui saat-saat yang lebih sukar dari kita, tetapi Allah Maha Berkuasa, memakbulkan permintaan mereka. Mana mungkin kita yang merasakan kesukaran yang biasa, Allah pasti mampu memakbulkannya. Jangan sampai kita sudah putus asa mencuba berdoa, sehingga suuzhon padaNya.

“Doa itu juga satu usaha,” kata-kata kakakku mengesankanku. “Dia sudah meletakkan keputusan yang terbaik untuk kamu, dan doa dari kamu juga sudah dia tetapkan, berusahalah berdoa yang terbaik.”

Berdoa sebaik-baik perkara
Kisah Uwais Al-Qarni, seorang tabiin yang hebat doanya. Sehinggakan Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat, “Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah mencarinya. Dia akan datang dari arah Yaman dan dia dibesarkan dari arah Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu. Carilah dia. Kalau kamu berjumpa dengannya minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.” Lalu Saidina Umar dan Saidina Ali bertanya, “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi SAW menjawab, “Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa-dosa kalian.”
Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali adalah orang-orang yang dijamin syurga mengapa Rasulullah meminta juga mereka menemui Uwais al-Qarni dan mendoakan mereka? Mereka juga tidaklah merasa bangga dan menolak untuk berjumpa dengan Uwais. Malah mereka tertunggu-tunggu kemunculan Uwais supaya Uwais al-Qarni mendoakan mereka.
Apakah kita merasakan sudah memadai dengan usaha sahaja, sedangkan doa itu juga suatu usaha dan pengharapan kita. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali sudah cukup amalannya dan melayakkan mereka ke syurga, dan ditambah lagi dengan doa dari Uwais al-Qarni, menjadikan diri mereka manusia yang bersih hatinya, terang dari segala noda dan dosa. Dan kita berterusan, merasa bangga dengan pencapaian tanpa doa dan pengharapan pada Allah.
Tamparan juga kepada diri sendiri apabila membaca kisah Uwais dan dua sahabat nabi ini. Kita sering mendoakan tentang keduniaan, sedangkan akhirat jauh ketinggalan. Takut imtihanlah, bimbang tidak bertemanlah (berkahwin), bimbang tidak dapat anaklah, bimbang tidak cukup duitlah. Merasakan seperti keanak-anakan dengan kebimbangan tersebut, sedangkan Nabi SAW, para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin sudah jauh meninggalkan keduniaan dan berusaha merapatkan diri dengan akhirat. Malu kepada mereka, sedangkan impian aku dan mereka adalah sama iaitu syurga. Bukanlah salah untuk berdoa tentang hal dunia, namun akhirat lebih memerlukan jaminannya. Adakah kita menjamin kita bisa mendapatkan syurga dengan hanya berdoa untuk kebimbangan dunia.
Sesungguhnya, amat banyak perkara yang kita perlu usaha dan kemudian berdoa untuknya. Dunia dan akhirat kedua-duanya seimbang dan sekata. Berjaya dalam kerjaya yang bukan untuk dirinya semata, memberi sepenuhnya dalam dakwah dan tarbiyah, berjaya membentuk diri menjadi insan yang memahami tujuan hidup dan ghayah Tuhannya. Tambahkan lagi tiket-tiket untuk ke syurga, bukan hanya satu doa untuk satu perkara, malah berkali-kali juta doa untuk berbillion perkara.
Hindari berteka-teki, apakah Dia (Allah) tidak dengari
Sebuah kisah yang menyentuh hati berkenaan doa:
Seseorang datang mengeluh kepada seorang ustaz lalu bertanya, “Ustaz, dimanakah keadilan Allah? Sudah lama saya memohon kepadaNya hamun tidak pernah dikabulkanNya. Saya solat, puasa, bersedekah, berbuat kebajikan, namun permintaan saya tidak dikabulkanNya. Padahal ada kawan saya yang ibadahnya lintang-pukang, bicaranya menyinggung hati, akhlaknya buruk, namun apa yang dimintanya dikabulkan dengan cepat. Oh, sungguh tidak adil Allah!”
Ustaz itu bertanya, “Bagaimana jika datang kepadamu pemuzik jalanan (yang mengharapkan wang), berpenampilan seram, kotor, bertindik dan nyanyiannya tidak merdu serta memekakkan telinga. Apa yang kau lakukan?”
“Saya akan beri dia wang agar dia cepat-cepat berlalu pergi,” jawabnya.
Ustaz itu bertanya lagi, “Lalu bagaimana jika pemuzik itu bersuara merdu, mendayu-dayu, menyanyi dengan sopan dan penampilannya rapi lagi wangi, apa yang kau lakukan?”
“Saya akan dengarkan dan nikmati hingga akhir lagu lalu memintanya menyanyi lagi, sekali lagi dan tambah lagi,” kata orang itu sambil ketawa.
Ustaz itu menjawab, “Kalau begitu boleh sahaja Allah bersikap begitu pada kita hambaNya. Jika ada manusia yang berakhlak buruk dan dibenciNya, berdoa dan memohon padaNya, Dia akan memalingkan wajahNya dan memerintahkan kepada malaikat, “Cepat berikan apa yang dia minta. Aku muak dengan permintaannya! Berilah apa yang dimintanya.” Tambah ustaz itu lagi, “Tapi jika yang menadahkannya yang soleh dan rajin bersedekah, meminta padaNya, maka Allah memerintahkan kepada malaikat, “Tunggu, tangguhkan dulu apa yang dimintanya, Aku menyukai doa-doanya, Aku menyukai esak tangisnya. Aku tak mahu dia menjauhkan dirinya daripadaKu setelah mendapat apa yang dipintanya. Aku ingin mendengar tangisnya kerana Aku mencintainya.”
"Tiada seorang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu dari tiga hal, iaitu dipercepat terkabulnya baginya di dunia, disimpan (ditabung) untuknya sampai di akhirat, atau diganti dengan mencegahnya dari musibah (bencana) yang serupa." (HR. At-thabrani). 
Kekalutan, sehinggakan suamiku berkata, “InsyaAllah, di hari imtihan, insyaAllah akan terjawablah soalan, kertas tidak akan kosong, biarpun ada yang salah, biarpun ada yang tidak pasti, tapi kertas tidak kosong,” Ya betul suamiku, kertas tidak kosong, Allah yang selalu membantu hambaNya, bersyukur kertas tidak kosong. Kalau mahu Allah boleh lakukan, kertas dipulangkan kosong, tidak terjawab, otak ‘blank’, nauzubillah min zalik. Dia masih sudi membantu, tandanya kertas tidak kosong, ilham mencurah-curah semasa menjawab, walaupun ada yang salah, tetapi masih banyak yang Allah bantu. Sudah-sudahlah, risau, maka teruskanlah berdoa.
Berusahalah kita memperbaiki diri, agar doa kita didengari. Kerana doa orang yang bersih hatinya, pasti Allah akan dengari. Dalam meminta doa dari orang lain, jangan lupa kita sendiri juga berdoa,kerana kita yang memerlukan dan mengharapkan. Huh, kebimbangan imtihan ini hanya sedikit, sedangkan banyak lagi yang kita akan tempuhi, ujian Allah ada tahapannya. Dan bersedialah untuk tahapan seterusnya, moga kita semua berjaya akhirnya, dunia dan akhirat sama sekata. Ameen.  


Tuesday, February 19, 2013

Dahsyatnya imtihan!


           Imtihan 'end round Internal Medicine' baru sahaja diberitahu sebaik sahaja kuliah bermula selepas cuti musim sejuk yang lepas. Sebenarnya cuma tahu bahawa imtihan ini, akan berlaku di akhir bulan 2, tapi tak sangka, seronok-seronok nak buka kuliah semula, tiba-tiba dikejutkan dengan berita ini. Rakan serumah yang baru pulang dari Malaysia, mengetahui berita ini sebaik sahaja sampai di rumah kami. Katanya, dah 'tension' semula. Mana tidak menyebabkan semua orang risau, tiba-tiba sahaja datang ke kelas kami di tingkat lima Hospital Batnah, penat-penat naik tangga, tiba-tiba terlihat kertas yang ditampal di dinding-dinding di tingkat itu, menyatakan imtihan akhir untuk pelajar Malaysia adalah pada 19/02/2013. Aku fikir positif, borak dengan kak Ummi, kak Ummi mengiyakan padaku, "Akak, sehari je kan exam? Takde ape-ape dah kan?",  ujarku. "Haah, exam sehari je". Kepala sudah sedia kala serabut, ditambahkan lagi dengan berita mengejut itu, cuba positif, oh takpe, sehari je, lepas tu boleh fikir banyak lagi benda lain. Kemudian aku memberitahu pada rakan-rakan usrah. Mungkin sepatatutnya, kami diberitahu lebih awal daripada ini, mungkin sebelum cuti lagi, sekurang-kurangnya, ada kesedaran awal untuk mengulangkaji dan bersedia.

            Fikiran positif ini tidak bertahan lama. Mengalih ke petang, semakin lama perasaan semakin bercelaru. Sedih, yelah, mana tidaknya, memang betul-betul tidak sedia. Sungguh. Kira-kira seminggu sahaja lagi. Bagaimana kawan-kawan yang memang sudah sedia cemerlang, mereka tentu positif sahaja, kalau adapun mungkin sedikit sedih dan kemudiannya terus berusaha belajar dan belajar. Bagaimana dengan aku? Dikala sedih ini, masih teringat ustaz Atep bagi kupasan tentang surah An-Naba' tentang hari akhirat. Tema surah-surah dalam juz Amma kebanyakannya adalah tentang hari akhirat. Persoalan yang dia lontarkan pada kami, apa pengajaran dari peristiwa hari kiamat ini kepada kita? Kata kuncinya adalah persediaan. Orang yang sudah sedia dengan segala amalannya, yang memang betul-betul menjaga niat setiap perilakunya, yang sentiasa berlumba-lumba untuk kebaikan, mereka tidak akan rasa susah, rasa cemas bila Allah tiba-tiba sahaja mendatangkan hari Kiamat. Ya, kerana mereka sudah bersedia. Bila-bila masa sahaja, Allah mendatangkan hari Kiamat, maka dia sudah bersedia, 'anytime', bila-bila sahaja.

             Kemudian, noktah lain yang dikupas, persoalan-persoalan Allah di akhirat nanti juga soalan bocor. Sudah bocor, sudah diketahui semua orang pun. Jika dibandingkan dengan imtihan manusia, mesti doktor di hospital kelam kabut kalau kita sudah tahu soalan apa yang keluar, pesakit mana yang akan kita akan periksa. Besar risikonya, sebab soalan sudah bocor. Tetapi, apa yang menjadi kunci untuk menjawab soalan itu adalah berapa banyak amalan yang sudah kita sediakan? Bukan setakat berapa banyak amalan sahaja, tetapi seikhlas mana kita dalam buat segala amalan itu? Apakah kita ini mengharapkan redha Allah atau redha manusia dalam segala amalan kita? Ianya adalah perkara-perkara asas, namun sungguh penting.


             Analogi lain, seolah-olah kita ini sedang berada di sebuah universiti, segala kemudahan diberikan kepada kita, ada tempat nak bersukan, ada bilik kuliah yang besar, ada duit biasiswa yang diberi, ada pensyarah-pensyarah yang sungguh hebat dan berdedikasi. Sepertinya, berada dalam universiti yang Allah sendiri kelola. Segala kemudahan yang diberikan Allah itu adalah nikmat-nikmat yang Allah berikan pada kita selama ini, nikmat sihat tubuh badan dan akal, nikmat duit biasiswa, nikmat ibu abah yang sentiasa memberikan kekuatan, nikmat pakaian, nikmat rumah tempat tinggal, nikmat hujan, kalau nak disebut satu-satu, sungguh banyak nikmat yang Allah berikan. Pensyarahnya adalah malaikat yang sentiasa mengevaluasi diri kita. Yalah, kerjanya seperti pensyarah kita yang sentiasa memerhatikan perkembangan kita di dalam dewan kuliah. Dan dekannya adalah Allah SWT. Dekan ini sungguhlah baik, sangat baik, Dia berikan semuanya yang Dia mahu beri kepada pelajarNya. Kalau kita tidak hadir ke kuliah, langsung mungkin dimarah terus, atau ada denda yang perlu diselesaikan. Pantang ada kesalahan sedikit, ada dendanya, ada iqab yang dikenakan. Tetapi Dia tidak. Nikmat yang Allah beri itu berterusan, tidak dipotong atau tidak ditarik balik sekaligus. Mungkin kalau ada yang ditarik balik, mungkin sedikit sahaja, sebagai pengajaran, tetapi nikmat-nikmat yang penting tidak dipotong. Oh teruknya kita, nikmat Allah yang Allah bagi terus menerus tetapi kita semakin melengah-lengahkan persediaan kita untuk imtihanNya. Sepatutnya, pelajar itu, yalah dia sudah mendapat bermacam-macam kemudahan, dan sepatutnya dia perlu membayar semuanya dengan menjadi cemerlang dalam pelajarannya, hebat dalam imitihannya. Kerana pihak universiti sudah memberi bermacam-macam perkara. Salah kita bukan? Soalan pun sudah bocor, apa lagi yang kita mahukan? Allah boleh 'claim' semua yang Dia sudah beri pada kita, kenapa tidak cemerlang juga dalam imitihan yang Dia sediakan! Pelajar jenis apakah? Oh sungguh dahsyat imtihan akhirat!

          Kalau difikirkan semula, boleh tak tak nak imitihan? Boleh? Seperti yang kita tahu imtihan ini adalah akhir evaluasi. Sepertimana ianya penting bagi pensyarah-pensyarah kita untuk evaluasi kita, bahkan ianya teramat penting bagi Allah untuk evaluasi kita sebagai hambaNya.

          Apalah sangatlah imtihan dunia ini berbanding di akhirat nanti. Sangatlah kecil nilainya. Berakhirnya pengajian di dunia dengan imtihan di akhirat adalah lebih penting daripada berakhirnya pengajian di universiti untuk memasuki imtihan. Yang penting, perlu sedia, sedia dan sedia. Siapakan diri kita, supaya bila sampai masanya, kita sudah bersedia jawapan-jawapan kita dengan amal yang dibawa bersama. Yosh! Marilah bersedia.

p/s: Post imtihan end round internal medicine, mohon doakan kami semua, pelajar tahun akhir perubatan Universiti Kaherah, Mesir. :)