Showing posts with label tazkiyahtunnafs. Show all posts
Showing posts with label tazkiyahtunnafs. Show all posts

Wednesday, December 18, 2013

Koreksi imtihan: Cukup-cukup sudah kerisauan


“Pakcik, mohon doanya ya, Kinah ada exam akhir bulan 11 nanti,”pintaku pada pakcikku yang aku temui.

“Makcik, mohon ya doanya, insyaAllah bulan 11 ini ada exam, habis semuanya biiznillah, bulan 2 2014,” kataku pada makcik, meminta doa darinya.

“Ibu, jangan lupa ya doakan Yong,” pesanku pada ibu. “Ya, ibu tak pernah lupa, setiap lepas solat ibu doakan yang terbaik untuk anak-anak ibu semua,” dia, yakin membalas permintaanku.

“Ummi, mohon doakan Sakinah ya,” ku memohon doa dari ibu mertuaku. “InsyaAllah, ummi doakan yang terbaik untuk Sakinah.”

Ku biasakan diri, bermula tahun akhir pengajianku, setiap kali menjumpai manusia, meminta mereka, jangan lupa menitipkan aku dalam doa mereka, bukan hanya untuk pelajaran, malah untuk keseluruhan kehidupan yang baik dunia dan akhirat. Malah, turut berpesan kepada pakcik dan makcik yang ku kenal melalui ‘Facebook’, memohon doa dari mereka yang soleh dan solehah. Malah, ada di antara mereka yang sudi untuk solat hajat untuk memohon kebaikan untuk kami.

Masih teringat, semasa di sekolah dahulu, terutamanya ketika menghadapi imtihan besar seperti PMR dan SPM, sokongan dan dorongan dari kawan, junior, senior dan guru-guru amatlah mengharukan. Sebelum bermula imtihan esoknya, biasanya junior-junior akan datang ke bilik dan melekatkan kata-kata semangat pada ‘locker’ kami ketika kami sudah masuk tidur. Apabila pagi menjelang, bangun pagi sahaja, melihatkan kertas-kertas berwarna warni dilekatkan sudah cukup memberikan keriangan dan ketenangan. Bahawa mereka juga turut bersama-sama mendoakan yang terbaik untuk kita.

Entah mengapa, sungguh, imtihan akhir ini benar-benar menguji. Kerana ini adalah yang terakhir, sebelum melangkah ke ruang pekerjaan. Betulkan teori yang selama ini difahami sefaham-fahamnya? Apakah betul analisa penyakitnya? Apakah pula jalan terbaik rawatannya? Semuanya ini akan diaplikasi pada manusia. Salah memberi ubat, padah akibatnya.

 Mungkin juga kebimbangan ini kerana mengandaikan bahawa pensyarah-pensyarah yang mengajar akan memandang tinggi pada kami, yalah sudah di tahun akhir, semestinya tahu segala serba-serbi. Dan pada hakikatnya, Allah sahaja yang mengetahui pengetahuan terbatas yang dimiliki. Hanyalah doa dan harapan menjadi penguat langkahan.


Jangan sesekali merendahkan doa
Sememangnya, kekuatan doa ini, jangan sesekali menafikan kekuatannya. Kerana Allah berfirman:

“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu, tentang Aku, maka katakanlah bahawa sesungguhnya Aku ini dekat. Aku dapat mengabulkan permohonan orang yang berdoa padaKu jikalau ia telah memohonkan itiu padaKu,” (2:186)
Siapakah kita mahu menidakkan doa, sedangkan Dia sudah mengatakan sedemikian tentang doa. Dia berfirman lagi:

“Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan doamu,” (Ghafir:60)
Nah, apa lagi yang kita mahukan, Allah sudah memberikan jawapannya kepada kegusaran kamu, mengapa lagi risau dan bimbang tidak menentu. Sudah-sudahlah, usaha sudah, tinggal sahaja doa dan tawakal padaNya.

Sekian ramai para sahabat yang berdoa dan dimakbulkan permintaanNya. Sesungguhnya, mereka melalui saat-saat yang lebih sukar dari kita, tetapi Allah Maha Berkuasa, memakbulkan permintaan mereka. Mana mungkin kita yang merasakan kesukaran yang biasa, Allah pasti mampu memakbulkannya. Jangan sampai kita sudah putus asa mencuba berdoa, sehingga suuzhon padaNya.

“Doa itu juga satu usaha,” kata-kata kakakku mengesankanku. “Dia sudah meletakkan keputusan yang terbaik untuk kamu, dan doa dari kamu juga sudah dia tetapkan, berusahalah berdoa yang terbaik.”

Berdoa sebaik-baik perkara
Kisah Uwais Al-Qarni, seorang tabiin yang hebat doanya. Sehinggakan Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat, “Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah mencarinya. Dia akan datang dari arah Yaman dan dia dibesarkan dari arah Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu. Carilah dia. Kalau kamu berjumpa dengannya minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.” Lalu Saidina Umar dan Saidina Ali bertanya, “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi SAW menjawab, “Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa-dosa kalian.”
Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali adalah orang-orang yang dijamin syurga mengapa Rasulullah meminta juga mereka menemui Uwais al-Qarni dan mendoakan mereka? Mereka juga tidaklah merasa bangga dan menolak untuk berjumpa dengan Uwais. Malah mereka tertunggu-tunggu kemunculan Uwais supaya Uwais al-Qarni mendoakan mereka.
Apakah kita merasakan sudah memadai dengan usaha sahaja, sedangkan doa itu juga suatu usaha dan pengharapan kita. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali sudah cukup amalannya dan melayakkan mereka ke syurga, dan ditambah lagi dengan doa dari Uwais al-Qarni, menjadikan diri mereka manusia yang bersih hatinya, terang dari segala noda dan dosa. Dan kita berterusan, merasa bangga dengan pencapaian tanpa doa dan pengharapan pada Allah.
Tamparan juga kepada diri sendiri apabila membaca kisah Uwais dan dua sahabat nabi ini. Kita sering mendoakan tentang keduniaan, sedangkan akhirat jauh ketinggalan. Takut imtihanlah, bimbang tidak bertemanlah (berkahwin), bimbang tidak dapat anaklah, bimbang tidak cukup duitlah. Merasakan seperti keanak-anakan dengan kebimbangan tersebut, sedangkan Nabi SAW, para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin sudah jauh meninggalkan keduniaan dan berusaha merapatkan diri dengan akhirat. Malu kepada mereka, sedangkan impian aku dan mereka adalah sama iaitu syurga. Bukanlah salah untuk berdoa tentang hal dunia, namun akhirat lebih memerlukan jaminannya. Adakah kita menjamin kita bisa mendapatkan syurga dengan hanya berdoa untuk kebimbangan dunia.
Sesungguhnya, amat banyak perkara yang kita perlu usaha dan kemudian berdoa untuknya. Dunia dan akhirat kedua-duanya seimbang dan sekata. Berjaya dalam kerjaya yang bukan untuk dirinya semata, memberi sepenuhnya dalam dakwah dan tarbiyah, berjaya membentuk diri menjadi insan yang memahami tujuan hidup dan ghayah Tuhannya. Tambahkan lagi tiket-tiket untuk ke syurga, bukan hanya satu doa untuk satu perkara, malah berkali-kali juta doa untuk berbillion perkara.
Hindari berteka-teki, apakah Dia (Allah) tidak dengari
Sebuah kisah yang menyentuh hati berkenaan doa:
Seseorang datang mengeluh kepada seorang ustaz lalu bertanya, “Ustaz, dimanakah keadilan Allah? Sudah lama saya memohon kepadaNya hamun tidak pernah dikabulkanNya. Saya solat, puasa, bersedekah, berbuat kebajikan, namun permintaan saya tidak dikabulkanNya. Padahal ada kawan saya yang ibadahnya lintang-pukang, bicaranya menyinggung hati, akhlaknya buruk, namun apa yang dimintanya dikabulkan dengan cepat. Oh, sungguh tidak adil Allah!”
Ustaz itu bertanya, “Bagaimana jika datang kepadamu pemuzik jalanan (yang mengharapkan wang), berpenampilan seram, kotor, bertindik dan nyanyiannya tidak merdu serta memekakkan telinga. Apa yang kau lakukan?”
“Saya akan beri dia wang agar dia cepat-cepat berlalu pergi,” jawabnya.
Ustaz itu bertanya lagi, “Lalu bagaimana jika pemuzik itu bersuara merdu, mendayu-dayu, menyanyi dengan sopan dan penampilannya rapi lagi wangi, apa yang kau lakukan?”
“Saya akan dengarkan dan nikmati hingga akhir lagu lalu memintanya menyanyi lagi, sekali lagi dan tambah lagi,” kata orang itu sambil ketawa.
Ustaz itu menjawab, “Kalau begitu boleh sahaja Allah bersikap begitu pada kita hambaNya. Jika ada manusia yang berakhlak buruk dan dibenciNya, berdoa dan memohon padaNya, Dia akan memalingkan wajahNya dan memerintahkan kepada malaikat, “Cepat berikan apa yang dia minta. Aku muak dengan permintaannya! Berilah apa yang dimintanya.” Tambah ustaz itu lagi, “Tapi jika yang menadahkannya yang soleh dan rajin bersedekah, meminta padaNya, maka Allah memerintahkan kepada malaikat, “Tunggu, tangguhkan dulu apa yang dimintanya, Aku menyukai doa-doanya, Aku menyukai esak tangisnya. Aku tak mahu dia menjauhkan dirinya daripadaKu setelah mendapat apa yang dipintanya. Aku ingin mendengar tangisnya kerana Aku mencintainya.”
"Tiada seorang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu dari tiga hal, iaitu dipercepat terkabulnya baginya di dunia, disimpan (ditabung) untuknya sampai di akhirat, atau diganti dengan mencegahnya dari musibah (bencana) yang serupa." (HR. At-thabrani). 
Kekalutan, sehinggakan suamiku berkata, “InsyaAllah, di hari imtihan, insyaAllah akan terjawablah soalan, kertas tidak akan kosong, biarpun ada yang salah, biarpun ada yang tidak pasti, tapi kertas tidak kosong,” Ya betul suamiku, kertas tidak kosong, Allah yang selalu membantu hambaNya, bersyukur kertas tidak kosong. Kalau mahu Allah boleh lakukan, kertas dipulangkan kosong, tidak terjawab, otak ‘blank’, nauzubillah min zalik. Dia masih sudi membantu, tandanya kertas tidak kosong, ilham mencurah-curah semasa menjawab, walaupun ada yang salah, tetapi masih banyak yang Allah bantu. Sudah-sudahlah, risau, maka teruskanlah berdoa.
Berusahalah kita memperbaiki diri, agar doa kita didengari. Kerana doa orang yang bersih hatinya, pasti Allah akan dengari. Dalam meminta doa dari orang lain, jangan lupa kita sendiri juga berdoa,kerana kita yang memerlukan dan mengharapkan. Huh, kebimbangan imtihan ini hanya sedikit, sedangkan banyak lagi yang kita akan tempuhi, ujian Allah ada tahapannya. Dan bersedialah untuk tahapan seterusnya, moga kita semua berjaya akhirnya, dunia dan akhirat sama sekata. Ameen.  


Monday, March 4, 2013

Aku bukan robot-versi tarbiyah

            Awal-awal sebelum imtima' dengan dunia tarbiyah ini, selalu melabelkan diri sebagai robot. Robot yang bangun dari tidur hinggalah kembali kepada tidur yang hanya mengulang-ulang kehidupan hariannya. Bangun pagi, mandi, sarapan pagi, pergi kelas, pergi perpustakaan, baca buku, balik rumah, memasak, dan akhir sekali tidur. Dan keesokan harinya, akan mengulang kembali perkara yang sama. Apabila sudah besar menjadi remaja dan dewasa, kita menjadi seperti orang lain juga. Berkeluarga, mempunyai anak, bekerja dan mengumpulkan harta. Bila anak-anak pula sudah meningkat remaja, maka kita juga menjadi seperti manusia lain, melayan karenah dan gelak tawa cucu-cucu. Ketika itu, terfikir apakah kita mahu mengulang perkara-perkara tersebut setiap hari, hinggalah akhirnya mati menjemput kita. Segala kehidupan hanya untuk memuaskan kehendak diri semata. Perkataan seperti orang lain itu bukanlah bermaksud tidak boleh atau tidak patut melakukan sedemikian. Ianya adalah lumrah, fitrah kebiasaan manusia, tidak dapat dinafikan semua manusia perlu mendapatkannya. Tidak dapat dinafikan, ya, itu adalah keperluan manusia. 

             Cumanya yang merunsingkan adalah, perlumbaan untuk mendapatkan tiket ke syurga itu bukanlah semudah yang disangka. Jika kita hanya berbuat seperti di atas, adakah kita boleh memastikan bahawa kita akan memperolehi tiket ke syurga? Melainkan kita menjadi seperti seorang pemuda yang bertanya kepada Rasulullah SAW, "Bagaimana pendapatmu, jika aku telah mengerjakan solat maktubah (solat fardhu lima waktu), berpuasa Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan aku tidak menambahnya dengan suatu apapun. Apakah aku bisa masuk syurga?". Kemudian Rasulullah SAW menjawab, "Ya". Pemuda-pemuda islam di zaman Rasulullah SAW bukanlah seperti kini. Amalan yang disebutkan oleh pemuda tersebut diamalkannya sungguh-sungguh. Kita pula bagaimana? Wallahua'lam, masing-masing dapat menjawabnya sendiri. 

              Kemudiannya, alhamdulillah, Allah memberikan peluang untuk menikmati kehangatan ukhuwwah, dakwah dan tarbiyah. Mula-mula, sungguh mengagumi kakak-kakak yang sangat lembut dan mesra. Jika mahu berjaulah, perlu berurusan dengan akhawat yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Dan bila bertemu, seakan-seakan seperti hati-hati kami telah lama bertaut satu. Seperti ruh-ruh kami saling mengikat. Kemudian, semakin lama, bila semakin faham, barulah diri diajari bagaimana untuk dakwah, setelah intima' dengan usrah. Dan kemudiannya, barulah mengetahui tentang jemaah. Ianya seperti menaiki tangga, satu persatu difahami dan diamalkan. Usrah, dakwah dan jemaah. 

            Kita adalah orang yang mengimani bagaimana individu muslim yang cemerlang itu berfungsi. Individu muslim itu perlu menyeimbangkan tugas-tugasnya. Ya, kita berdakwah, tetapi dalam masa yang sama kita juga menjadi pelajar di sebuah universiti ataupun pekerja di sebuah syarikat, ataupun majikan di sebuah pasaraya. Bagi yang sudah berkeluarga, tidak dapat dinafikan bahawa dia perlu bertanggungjawab kepada keluarganya. Semuanya ini memerlukan kekuatan dan pengorbanan. Cumanya, bila semakin banyak tanggungjawab yang digalas, kita bukanlah menjadi semakin malas. Kerana kita amat memahami bahawa Allah akan meminta pertanggungjawaban terhadap kita. Tetapi, kita ini, melakukan semua perkara ini. Bila mana ada keperluan untuk ke daurah, kita pergi. Bila mana ada urusan keluarga kita pergi. Bila mana ada imtihan, maka kita ulangkaji. Kita tidak mengalami masalah untuk menghadiri mana-mana program atau hal yang melibatkan kita. Habis, apakah yang masalahnya?

           Masalahnya ialah, apabila jasad itu hadir, tetapi hatinya tidak hadir sekali bersama. Memunculkan diri di semua tempat, tetapi hanya bersyarat. Sedangkan hati tidak menyertai setiap pergerakan kaki dan tangan. Semakin lama ianya semakin melarat. Apa gunanya sesuatu amalan sedangkan hati sukar sekali untuk diminta kehadirannya. Apabila hanya kaki dan tangan bekerja, maka habuan diperolehi hanyalah penat semata. Tiada lagi keseronokan dalam beramal. Tiada lagi keredhaan dalam kepenatan. Tiada lagi ketenangan dalam susah-payah. Buat kerana ianya adalah perlu dibuat. Bukan lagi mardhatillah. Allah itu jauh dari ghayah yang sebenar. Ianya sungguh sukar. Seolah-olah seperti robot ke sana, ke mari. Ya, ia pergi ke program, pergi ke syura, tetapi hatinya kaku dan lesu. Hati itu matikah?

         Mungkinkah sebenarnya, sudah lama tidak berhubung dengan Allah, maka itulah penyebabnya. Mungkinkah sudah lama meninggalkan solat malam, menangis dan beruzlah, sampaikan hampir lupa tujuan melakukan semua ini. Mungkinkah tarbiyah dzatiyah semakin liat dijaga, lantaran terlalu sibuk dengan hal. 


          Pastikan hati itu kembali semula, memainkan peranannya. Jika tiada hati, masakan Allah mahu menerima segala urusanmu. Kembalikan solat malammu, zikirmu, tangismu, bibir basah menyebut Rabbmu. Kerana inilah zat kepada hati yang mati. Syed Qutub berkata dalam Fi Zilalil Quran, solat adalah mata air yang tidak pernah kering dan bekalan yang tidak pernah habis. Mata air yang memperbaharui tenaga dan bekalan yang membekali hati. Jangan sesekali memandang enteng kepada amalan orang-orang lama, memang ianya telah dibuktikan dahulu orang-orang lama. Berjayanya orang-orang lama adalah kerana tarbiyah dzatiyahnya, hatinya berterusan dibekalkan, dan seterusnya membawa kejayaan dakwah yang gemilang. Hidupkan hatimu semula, jangan biarkan seperti ini berlama-lama. 

Friday, July 8, 2011

Ikhlas....

Assalamualaikum....


Semoga semuanya dalam keadaan sihat dan di bawah rahmat Allah S.W.T.=)


Aku mulakan entry ini dengan kisah Saahibun Naqab (Pemilik Lubang ) yang ku baca di SINI dan aku rasakan bahawa cerita ini ada kaitan dengan diriku dan kita semua.


Pada masa itu, zaman Umayyah, zaman dimana setelah berlalunya zaman Sahabat Rasulullah, zaman Umayyah adalah zaman para Tabiin.Pada zaman ini berlakunya peperangan menentang musuh, dikhabarkan ketika itu pemimpin dari pihak islam ialah Maslamah Bin Abdul Malik.Situasi yang berlaku pada perang itu ialah tentera islam perlu menembusi sebuah benteng yang didalamnya terdapat beribu-ribu tentera musuh, maka muncullah seorang mujahid yang telah berjaya melubangi benteng berkenaan (tidak diceritakan bagaimana caranya). Lalu, apabila dia berjaya melubangi benteng tersebut maka berpusu-pusu tentera islam, melepasi benteng dan mneyerang tentera musuh. Di akhir peperangan, Maslamah Bin Abdul Malik memanggil tentera-tenteranya dan meminta sesiapa yang telah melubangkan benteng untuk berjumpa dengannya. Sampai ke malam, masih tiada sesiapa yang melapor diri kepadanya. Tiba-tiba seorang yang bertopeng datang berjumpa dengan Maslamah.


"Saya boleh bagi tahu siapa yang melubangi benteng itu, tetapi tuan perlu berjanji 3 perkara, yang pertama, jangan tanya siapa nama. Yang kedua, jangan dicatatkan dalam sejarah. Yang ketiga, jangan diberikan ganjaran apa-apa pun", kata pemuda itu..


"Baiklah, aku berjanji", kata Maslamah.


"Akulah orangnya", kata pemuda itu dan kemudiannya dia terus lari ke dalam kelompok tentera-tentera islam yang lain sehinggakan tidak dapat lagi mengesan pemuda yang berani itu.Semenjak dari itu, Maslamah, setiap kali selepas solat beliau berdoa supaya dapat bersama dengan pemuda itu.


Subhanallah, betapa lurusnya hati pemuda itu. Betapa jelasnya niatnya, tidak perlu dia kata,


" Aku ikhlas ni nak buat kerja ni,"


Sudah nampak keikhlasannya hatinya, sudah nampak ketulusan jiwanya. Hanya kerana Allah semata-mata, tiada niat yang lain, tiada riak dalam perbuatannya.Di mana lagi mahu kita cari hati-hati ini di zaman ini.













Ya, sesungguhnya, kemenangan dakwah sejak dari dahulu lagi adalah kerana keikhlasan para pendukungnya. Tidak hairanlah bagaimana suatu ketika dulu graf sejarah islam meningkat dan semakin meningkat sehingga mencapai 'Ustaziyatul Alam' atau 'World Order' seperti mana US ketika ini (tapi US pun sekarang dah down sejak Obama pegang, dah tiada apa-apa sangat, ekonomi pun merudum di US sekarang). Tak lain tak bukan ialah zaman Abbasiyah yang gilang-gemilang.


Allah berfirman dalam Quran:


'Katakanlah (Muhammad), "Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam" (6:162)


Kita selalu menyebut ayat ini dalam solat, dalam doa iftitah sebelum membaca Al-Fatihah. Bagi kita kadang-kadang, disebabkan kita sudah terbiasa membacakan doa ini, menyebabkan kita rasa kurang untuk menghayati maksudnya, kita terlupa, bahawa di sebalik perkataan ini, ada taklifat yang tersembunyi, ada maksud yang tersirat, ada janji yang perlu dipenuhi, ya, inilah janji kepada Allah.


Kalau dilihat semula ayat ini, kita fikir semula, solatku kerana Allah?


1. Bila dengar azan sahaja, menunda-nunda, kalau tengah baca buku, "sekejap lagi satu page lagi ni", kalau tengah menonton tv "tunggu jap, lagi sikit nak habis ni, sedih cerita ni"-adakah ini yang kita maksudkan solat kerana Allah?


2. Solat yang khusyuk bermula dari wudhu' yang sempurna, bila mana masa wudhu' pun boleh main-main, mana mungkin boleh dapat solat yang khusyuk, mana mungkin boleh dikategorikan sebagai solatku kerana Allah.


3. Semasa solat, masa-masa inilah "Eh, rupanya duit tu kat bawah bantallah, aku lupa tadi", "Ya Allah, kunci kat dalam laci rupanya"-adakah ini yang kita katakan solatku kerana Allah.


4. Selepas solat, "Jom sambung tengok movie ni-ni...cerita korea nu-nu" Sepatutnya, solat kita mengajar kita, menjauhkan kita daripada perbuatan keji dan mungkar (29:45). Tak mahulah kita mendapat gelaran di sini:


"Maka celakalah orang yang solat. Yaitu orang-orang yang lalai terhadap solatnya" (107:4-5)


Ini baru bahagian solat, belum lagi bahagian-bahagian lain lagi. Kalau sentuh bab ibadah pula, kita tahu yang ibadah itu meliputi semua perkara, hatta perkara yang biasa kita lakukan setiap hari seperti mandi, makan, buang air, apatah lagi pergi kuliah, berjumpa kawan-kawan, baca Quran, itu semua ibadah, dengan syarat, niat kerana Allah. Kerana sesuatu perkara yang besar, tanpa niat kerana Allah boleh menjadi kecil nilainya, dan sesuatu perkara yang kecil dengan niat kerana Allah boleh jadi besar nilainya.




Manakala, bagi syarat penerimaan ibadah ialah, Iman, Ikhlas dan Ittiba' (mengikut syarat). Ini semua adalah kunci kepada penerimaan ibadah.


1-Tidak boleh diterima amalan seseorang melainkan dia beriman kepada Allah (16:97)
2-Ikhlas perlu ada dalam setiap amalan kita. Allah Ta’ala berfirman dalam hadits Qudsi : “Aku adalah yang paling tidak memerlukan penyekutuan, barang siapa mengamalkan suatu amalan yang dia menyekutukan selainKu di dalamnya bersamaKu, maka Aku tinggalkan dia dan penyekutuannya.” Ya Allah, bagaimana amalan kita ini....
3-Ittiba' iaitu mengikut syariat yang telah ditetapkan, perlu ada. RasulullahShalallahu alahi wassalam bersabda : “Barangsiapa yang mengada-ada dalam urusan kami ini apa yang bukan (bagian) darinya, maka ia ditolak.” (HR. Muslim). 


Sejauh manakah ikhlas itu sebati dalam diri kita, sejauh mana ikhlas itu bersenyawa dengan jasad kita, sejauh mana ikhlas seorama dengan degupan jantung dan tarikan nafas kita...Ya Allah, perlu muhasabah selalu ni...


Bila mana ikhlas itu sudah sebati, apa-apa yang datang pada diri kita, kita akan lebih kuat untuk hadapinya. Seperti mana Allah berfirman:


'Ia Iblis berkata,"Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang terpilih di antara mereka" (15:39-40)


Bila mana kita tiada ikhlas di hati, maka, terkeluarlah dari mulut kita, keluhan, rintihan, kepenatan, rungutan. Kerana kita tidak biasa ikhlas, maka segala benda menjadi berat, ujian yang sedikit dikata sukar...


Apatah lagi kalau masalah ini terjadi dalam kalangan daie-daie baru masa kini, ya, kita mahu menyambung rantai-rantai perjuangan nabi, tetapi, bila mana ikhlas kurang di hati, maka segala perancangan dakwah lingkup separuh jalan, terbengkalai tidak bersambung, dek kerana mehnah yang tidaklah sebesar seperti mana yang nabi dan para sahabat telah lalui, malah perjalanan mereka lebih memenatkan.


Daie masa kini, tidak boleh bersifat demikian, marilah kembal, menyusuri kehidupan orang-orang terdahulu, belajar dari mereka bagaimana mereka mampu membawa dakwah terbang tinggi menjulang ke angkasa. 


Apa yang aku boleh simpulkan di sini, untuk memupuk ikhlas ini:


1- Kita perlu buat perancangan, sehari, perlu diatur, apa yang perlu dibuat, supaya kita tahu kalau seharian itu, mana masa kosong, mana masa sibuk, mana masa berehat, supaya kita sudah 'set mind', inilah ibadah kita pada Allah, dan kemudian kita banyakkan buat perkara yang baik (takkan perkara yang jahat nak niat kerana Allah juga-tengok cerita korea, bismillahirrahmanirrahim???), supaya kita nanti sudah terbiasa, dingatkan di awal perkara kebaikan perlu niat kerana Allah.
2. Jangan lupa berdoa pada Allah. Doa supaya Allah sentiasa ingatkan kita untuk ikhlas, doa supaya Allah mudahan kita ntuk hadirkan ikhlas di setiap perbuatan, doa supaya Allah menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang mukhlisun-Allahummarzuqnal ikhlas 3X.


Wassalam.