Thursday, May 2, 2013

Si Murah Senyuman


Sudah lama tak update. Umar tenat, ‘charger’ nya sihat tetapi dirinya tak mahu di’charge’. Wallahua’lam bila dapat disembuhkan. Moga Allah berikan masa kepadaku untuk memberikan Umar peluang untuk terus hidup dan berkhidmat. Maka terpaksalah meminjam kepunyaan si teman bilik.
Dia, esok adalah hari yang menggembirakan untuk dirinya. Hari yang diberkati Allah. Sangat Allah menyukainya, kerana terbina lagi rumahtangga muslim. Kerana akan ada lagi tayyibin dan tayyibat yang memilih jalan yang suci untuk bersama. Kerana hati mereka tulus dan ikhlas, memilih jalan ini kerana agama.
Dan ramai lagi yang akan mendoakan mereka. Ibu bapa yang telah mentarbiyah dari kecil hingga dewasa. Antara yang akan paling gembira sekali. Kerana anak-anak yang ditimang dari kecil, mula melangkahi jalan-jalan kedewasaan berdua. Bersama pasangannya. Yang soleh, yang solehah.
Dan juga teman-teman serumah yang mungkin sudah beberapa ketika telah bersama. Di Rumah Islam bersama-sama mentarbiyah diri, individu muslim diperkasa, dibentuk, memantapkan lagi peribadinya.
Dan juga rakan-rakan usrahnya, turut mendoakan yang terbaik buatnya. Dalam usrah, juga membina diri, menjadi manusia yang berguna untuk diri dan orang di sekeliling. Tempat mengalirkan mata, tempat mencurah rahsia hati, duka dan senang berkongsi. Kerana ukhuwah itu menguji dan menenangkan hati.
                Aku, tak silap, kita mengenali bersama, lewat kamu hadir dalam hidupku sekitar aku di tahun 3. Rasanyalah. Tak silapku. Semasa bekerja di medan sana. Bersama-sama denganmu. Kita bangunkan ummah ini di tempat baru.
 Aku cuma teringat satu soalan kamu padaku, sungguh aku pasti aku takkan pernah lupakan soalan ini (err...melainkan kalau Allah mahu aku lupakannya). Ketika itu kita masak sama-sama di dapur, buat ‘scramble egg’ sama-sama, untuk diisi perut oleh sekian ramai adik-adik, di pagi hari setelah mabit (kalau aku salah betulkan ya).
“Kinah, Nad tak pernah lihat Kinah ni marah.”. Waduh, apakah soalan ini. Kalau kamu hidup bersamaku sudah tentu tahu aku juga ada marahnya. Ada masanya. Ku tak ingat apa jawapanku kepada kamu. (Cuma ingat soalan, tak ingat pula jawapannya).
Cumanya, aku mahu beritahu pada kamu bahawa, ana uhibbukifillah, abadan abada. Walaupun aku sudah tidak lagi kerja di situ, tetapi bila aku nampak diri kamu dalam program kita, ianya satu kerinduan yang amat. Bersalam dan memeluk, rindu yang amat rindu.
Aku tuliskan juga sedikit tentang keberkatan, sempena peristiwa penting , untuk kamu dan untuk bakal zaujmu (sebelum ini itu ayat sendiri, tapi ayat ini lagi makhsyuk J
‘Berkat itu dalam keadaan apa juga membawa kebahagiaan. Ada cetusan kegembiraan dalam hati, kelapangan di dada, kejernihan pada akal, dan rasa nikmat pada jasad. Berkat itu memberikan suasana yang lain dan mencurahkan keceriaan musim bunga walau apa juga masalah yang sedang melanda rumah tangga. Berkat itu membawakan senyuman meskipun air mata meniti-nitik. Berkat itu menusuk rasa rindu di tengah-tengah kejengkelan. Berkat itu memberikan kelapangan dan belaian lembut pada saat dada sesak dengan masalah’
Moga barakah Allah sentiasa bersama antuma, sehinggalah ke akhirnya. Barakallahulakuma wa baraka alaikuma wa jama’a bainakuma fikhair J  

Monday, April 1, 2013

Sangkut

Mana mungkin aku melupakan sapaan kamu yang senantiasa melegakan hati. Mana mungkin aku melupakan senyuman kamu yang sentiasa memujuk hati kami. Mana mungkin aku melupakan suara kamu, menjelaskan dan menerangkan kepada kami. Tajuk pertama, ini sejarah kita.

Aku, seorang yang dari sisi luaran, seperti tidak apa-apa. Pakaianku, tidak usahlah gusar, cukup, menutup, terlitup. Namun, dalamannya, hatinya, memerlukan sentuhan kasih sayang, dan pencerahan, hadaf dan ghayah hidup. Dan kamu datang, tak jemu-jemu menerangkan. Tidak merasakan kesukaran kepada kamu, kerana kamu yakini, bahawa ianya adalah satu tanggungjawab dan amanah dari Tuhan. Untuk kamu laksanakannya kepada kami. Supaya kami dapat pencerahan itu.

Allah, Dia, yang Maha Mengetahui, Perancang Terbaik, kehidupan manusia. Hatiku tersentuh, dengan ajakan kamu, dengan penjelasan kamu. Sungguh ianya mengesankan hatiku. 6 tahun lalu. Akan sentiasa mengingati kamu.

Kakak, kerana syahadatul haq yang kamu sampaikan, aku di sini, bukan seperti aku yang dahulu. Aku semakin faham, perananku. Aku semakin jelas mengapa aku hidup di dunia yang sekejap ini. Mengapa perlu bersusah payah membina diri dan orang lain, menaiki satu persatu tangga maratib amal, sehinggalah ke kemuncak ustaziyatul alam. Mengapa perlu cakna ummah dan sebagainya. Hatta, dikala sedang menuntut ilmu perubatan pun, jikalau dulu niatnya hanyalah biasa, untuk menolong orang yang susah. Kini, niat itu ditambah lagi, menjadi lebih kukuh dan padat, untuk membantu manusia, membaiki fizikalnya, mentalnya, dan hatinya.

Kakak, jazakillah khairan kathira. Allah, terima kasih, kerana mendatangkan insan yang mula-mula sekali telah menyentuh hatiku, mengajakku untuk sama-sama memikirkan masalah umat. Menyebabkan aku tersangkut dengan jalan dakwah ini. Moga-moga kita thabat, sehinggalah mati menjemput, sehinggalah redha Allah menjemput, hanya mahu hidup mati dalam jalan ini. Sentiasalah memilih kami.

Kak Ain Nasim Yusof, barakallahulakuma wabarak alaikuma, wa jama'a bainakuma fikhair. Moga Allah sentiasa memberkati kehidupan baitul muslim antuma berdua. Bimbinglah kami dan doakan kami di sini sentiasa.

Tuesday, March 26, 2013

Dia masih sudi...

"Sebenarnya, kita berada di tahap ini, semuanya Allah yang tolong kita, kita bukannya belajar banyak sangat, tapi sebab Allah yang banyak tolong kita, kita tak buat apa-apa sangat pun, tak sempat pun nak study sungguh-sungguh". Dia, bercakap, meyakinkan aku percakapannya.

Sungguh, aku tak menyangka, pejam celik pejam celik, tinggal lagi setahun di sini. Tak sangka sudah berada di tahun enam. Tak sangka, tahun demi tahun, alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, masih lagi dapat menaiki tahun. Sungguh, masa sangat pantas berlalu. Dan kita semakin lama menaiki tahapan-tahapan kehidupan.

Hakikatnya, sentiasa mengimani bahawa seorang individu muslim itu akan sentiasa berusaha untuk 10 muwasafat itu wujud dalam dirinya. Semuanya, sepatutnya ada dalam dirinya. Itulah yang perlu diusahakan. Mengimbas diri:

1. Kelas pagi Dr. HK, terkulat-kulat, mengejar ketepatan doktor. Pukul 7 pagi. Ada orang lain boleh sampai sebelum jam 7 pagi. Bagusnya. Bila sampai cukup-cukup 7.10 pagi, 7.15 pagi, pada mulanya, akan mengalami transisi blur dan blank untuk sementara (sebab dr. dah banyak cerita). T_T

2. Belajar, belajar dan belajar. Takde masa daie ni. Masa-masa yang ada walaupun sikit, tolong jangan bazirkan dengan perkara-perkara yang tak patut. Bila imitihan dan dekat dan bertembung dengan meeting yang memerlukan kita, maka dakwah yang perlu dikorbankan. Padahal, hak belajar yang tak diletakkan di tempat yang sepatutnya. T_T

3. Pandang sebelah mata, untuk bersihkan ruang tamu, atau bilik sendiri, atau dapur. T_T

4. Bermudah-mudah dalam mutabaah amal. Takpe, minggu depan lebih baik. Tapi minggu depan pun, masih lagi bermudah-mudah. T_T

5. Anak-anak usrah dah besar panjang. Takpe, tak perlu DF. Mereka bukanlah orang yang akan melarikan diri dari dakwah ni. Kalau ada pun futur sekejap sahaja. Kemudian, akan kembali semula dengan dakwah. Bagaimana proses taaruf akan berlangsung jika masih berfikir demikian. T_T

6.Tahu sebenarnya ajinomoto tu tak bagus, makan keropok tu tak baik untuk kesihatan. Kata daie. Tapi nak juga makan. T_T

7. Masih teragaka-agak dalam mengenalpasti jahiliyyah yang biasa dibuat. Buat-buat tak kenal dengan jahiliyyah yang biasa dibuat. Eh, ini bukan jahiliyyah, ini namanya relase tension. T_T

DLL.

Banyak ya kerja kita. Jangan bermudah-mudah sahaja.

Kadang terfikir, bahaya sungguh bila aku berfikir seperti ini:

"Ala, orang lain bolehlah dia datang kelas awal, bolehlah dia dapat result best, dia bukannya ada mabit malam tu, dia hujung minggu dia di rumah sahaja, bolehlah study".

Allah...

Siapa yang ambil perubatan, tahulah belajar dia camne. (Macam susah sangatlah perubatan ni, orang yang ambil subjek apa pun, susah)

Malu dengan Allah, sentiasa dia membantu. Walaupun entahlah, Allah sendiri yang tahu tahapan ikhlas kita dalam setiap dakwah yang dibuat. Dan masih, sehingga sekarang, Allah masih sudi membantu. Walaupun sendiri tahu, bagaimana diri ini, berkompromi dengan study, bagaimana diri ini bermudah-mudah sahaja.

Masih berusaha untuk membaiki diri. Menjadi individu muslim yang terbaik. Menjadi qudwah dan uswah di mata manusia. Mudahkanlah Allah. Ni belum naik tangga kedua ni. 

HambaMu yang mahukan cintaMu.


Monday, March 4, 2013

Aku bukan robot-versi tarbiyah

            Awal-awal sebelum imtima' dengan dunia tarbiyah ini, selalu melabelkan diri sebagai robot. Robot yang bangun dari tidur hinggalah kembali kepada tidur yang hanya mengulang-ulang kehidupan hariannya. Bangun pagi, mandi, sarapan pagi, pergi kelas, pergi perpustakaan, baca buku, balik rumah, memasak, dan akhir sekali tidur. Dan keesokan harinya, akan mengulang kembali perkara yang sama. Apabila sudah besar menjadi remaja dan dewasa, kita menjadi seperti orang lain juga. Berkeluarga, mempunyai anak, bekerja dan mengumpulkan harta. Bila anak-anak pula sudah meningkat remaja, maka kita juga menjadi seperti manusia lain, melayan karenah dan gelak tawa cucu-cucu. Ketika itu, terfikir apakah kita mahu mengulang perkara-perkara tersebut setiap hari, hinggalah akhirnya mati menjemput kita. Segala kehidupan hanya untuk memuaskan kehendak diri semata. Perkataan seperti orang lain itu bukanlah bermaksud tidak boleh atau tidak patut melakukan sedemikian. Ianya adalah lumrah, fitrah kebiasaan manusia, tidak dapat dinafikan semua manusia perlu mendapatkannya. Tidak dapat dinafikan, ya, itu adalah keperluan manusia. 

             Cumanya yang merunsingkan adalah, perlumbaan untuk mendapatkan tiket ke syurga itu bukanlah semudah yang disangka. Jika kita hanya berbuat seperti di atas, adakah kita boleh memastikan bahawa kita akan memperolehi tiket ke syurga? Melainkan kita menjadi seperti seorang pemuda yang bertanya kepada Rasulullah SAW, "Bagaimana pendapatmu, jika aku telah mengerjakan solat maktubah (solat fardhu lima waktu), berpuasa Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan aku tidak menambahnya dengan suatu apapun. Apakah aku bisa masuk syurga?". Kemudian Rasulullah SAW menjawab, "Ya". Pemuda-pemuda islam di zaman Rasulullah SAW bukanlah seperti kini. Amalan yang disebutkan oleh pemuda tersebut diamalkannya sungguh-sungguh. Kita pula bagaimana? Wallahua'lam, masing-masing dapat menjawabnya sendiri. 

              Kemudiannya, alhamdulillah, Allah memberikan peluang untuk menikmati kehangatan ukhuwwah, dakwah dan tarbiyah. Mula-mula, sungguh mengagumi kakak-kakak yang sangat lembut dan mesra. Jika mahu berjaulah, perlu berurusan dengan akhawat yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Dan bila bertemu, seakan-seakan seperti hati-hati kami telah lama bertaut satu. Seperti ruh-ruh kami saling mengikat. Kemudian, semakin lama, bila semakin faham, barulah diri diajari bagaimana untuk dakwah, setelah intima' dengan usrah. Dan kemudiannya, barulah mengetahui tentang jemaah. Ianya seperti menaiki tangga, satu persatu difahami dan diamalkan. Usrah, dakwah dan jemaah. 

            Kita adalah orang yang mengimani bagaimana individu muslim yang cemerlang itu berfungsi. Individu muslim itu perlu menyeimbangkan tugas-tugasnya. Ya, kita berdakwah, tetapi dalam masa yang sama kita juga menjadi pelajar di sebuah universiti ataupun pekerja di sebuah syarikat, ataupun majikan di sebuah pasaraya. Bagi yang sudah berkeluarga, tidak dapat dinafikan bahawa dia perlu bertanggungjawab kepada keluarganya. Semuanya ini memerlukan kekuatan dan pengorbanan. Cumanya, bila semakin banyak tanggungjawab yang digalas, kita bukanlah menjadi semakin malas. Kerana kita amat memahami bahawa Allah akan meminta pertanggungjawaban terhadap kita. Tetapi, kita ini, melakukan semua perkara ini. Bila mana ada keperluan untuk ke daurah, kita pergi. Bila mana ada urusan keluarga kita pergi. Bila mana ada imtihan, maka kita ulangkaji. Kita tidak mengalami masalah untuk menghadiri mana-mana program atau hal yang melibatkan kita. Habis, apakah yang masalahnya?

           Masalahnya ialah, apabila jasad itu hadir, tetapi hatinya tidak hadir sekali bersama. Memunculkan diri di semua tempat, tetapi hanya bersyarat. Sedangkan hati tidak menyertai setiap pergerakan kaki dan tangan. Semakin lama ianya semakin melarat. Apa gunanya sesuatu amalan sedangkan hati sukar sekali untuk diminta kehadirannya. Apabila hanya kaki dan tangan bekerja, maka habuan diperolehi hanyalah penat semata. Tiada lagi keseronokan dalam beramal. Tiada lagi keredhaan dalam kepenatan. Tiada lagi ketenangan dalam susah-payah. Buat kerana ianya adalah perlu dibuat. Bukan lagi mardhatillah. Allah itu jauh dari ghayah yang sebenar. Ianya sungguh sukar. Seolah-olah seperti robot ke sana, ke mari. Ya, ia pergi ke program, pergi ke syura, tetapi hatinya kaku dan lesu. Hati itu matikah?

         Mungkinkah sebenarnya, sudah lama tidak berhubung dengan Allah, maka itulah penyebabnya. Mungkinkah sudah lama meninggalkan solat malam, menangis dan beruzlah, sampaikan hampir lupa tujuan melakukan semua ini. Mungkinkah tarbiyah dzatiyah semakin liat dijaga, lantaran terlalu sibuk dengan hal. 


          Pastikan hati itu kembali semula, memainkan peranannya. Jika tiada hati, masakan Allah mahu menerima segala urusanmu. Kembalikan solat malammu, zikirmu, tangismu, bibir basah menyebut Rabbmu. Kerana inilah zat kepada hati yang mati. Syed Qutub berkata dalam Fi Zilalil Quran, solat adalah mata air yang tidak pernah kering dan bekalan yang tidak pernah habis. Mata air yang memperbaharui tenaga dan bekalan yang membekali hati. Jangan sesekali memandang enteng kepada amalan orang-orang lama, memang ianya telah dibuktikan dahulu orang-orang lama. Berjayanya orang-orang lama adalah kerana tarbiyah dzatiyahnya, hatinya berterusan dibekalkan, dan seterusnya membawa kejayaan dakwah yang gemilang. Hidupkan hatimu semula, jangan biarkan seperti ini berlama-lama. 

Thursday, February 28, 2013

5 GENIH




“Yam, Awa, ada tak duit syiling, nak tukar dengan 5 genih?”. Tanyaku seusai habis bulatan gembira kami. “Kejap ye kak, Yam check jap, tapi rasa macam takde”. Yam menjawab sambil tangan membuka dompet. “Awa ada rasanya, insyaAllah!”. Jawapan Awa menceriakan hati. Lalu, 5 duit syiling bernilai 1 genih setiap satu berpindah tangan. Menukar duit, kerana mudah nanti bila nak naik tremco (van pengangkutan) balik Sayyida Zainab. Bayar tambang tamam, tak perlu risaukan baki yang belum diperoleh, ammu tremco yang relaks, bila turun nanti baru nak bagi baki. Tak sangka, hari itu, sebaik tamat usrah, terus menyeluk ruang kecil di beg galas, mengambil dompet. Rupanya hanya tinggal 5 genih dalam tangan. Betul, hanya tinggal 5 genih. Perjalanan dari Hayyu Sabi’ ke Sayyida Zainab, biasanya, akan ambil tremco yang menghala ke Ramsis. 2 tahun ‘bekerja’ di Madinah Nasr, sampaikan terasa kenaikan harga tambang tremco, dari 1 genih 25 qirsh (1.25) , kepada 1 genih nus (1.50). Belum sampai di Ramsis, tremco akan melalui stesen Metro (keretapi ala-ala komuter) Damardesh. Aku akan turun di situ, menaiki tangga, menuju ke stesen, dan menaiki Metro hinggalah sampai ke stesen Metro Sayyida Zainab. Tambangnya hanya segenih untuk ke mana-mana destinasi.

Madinah Nasr adalah tempat dakwah termurah yang pernah dilalui aku ulang-alik. Walaupun orang akan kata, “Laaah, bukan ke dakwah di Sayyida Zainab atau Munira lagilah tak yah bayar apa-apa, jalan kaki je”. Jumlah tambang pergi balik: 1 genih +1 genih 50 qirsh + 1 genih 50 qirsh +1 genih = 5 genih. Murahkan? Alhamdulillah, kalau duit tu ada 5 genih, masih boleh buat dakwah. Jangan risau. Kalau tiada duit langsung pun, masih boleh buat dakwah. Kenapa? Sebabnya ramai akhawat yang boleh pinjamkan duit. Belanja pun boleh. Setakat 5 genih, insyaAllah boleh. Melihatkan ukhti-ukhti lain yang berulang-alik ke muhafazah (negeri) yang lebih jauh dari itu, pastinya tambang perjalanan mereka lebih banyak dari kita. Bukan setakat 10 genih, sampai 70-80 genih ulang-alik! Sungguh.

Tetapi, adakah tambang yang mahal itu, menghalang mereka untuk berdakwah, menjadi alasan supaya tidak keluar berdakwah? Tidak sama sekali! Yup, masalah kewangan ini, berlaku di mana-mana pun. Sahih, tidak dapat dinafikan, kewangan ini sangat penting untuk dakwah. Betul, kalau kewangan tidak stabil, maka kerja dakwah akan terbantut. Sangat penting untuk kewangan kita kukuh, supaya kerja dakwah boleh jalan dengan baik. Maka, akan adalah usaha-usaha yang kita perlu buat, ada yang perlu dikorbankan, kerana dakwah. Contohnya, menahan syahwat daripada membeli barang-barang kehendak yang boleh menjejaskan kewangan. Tak mahu mengulas panjang, rasanya, masing-masing boleh agak dan fikir, apa barang kehendak yang sudah lama diidamkan. Contoh lain, duit infak yang diberikan kepada jemaah, boleh diberi pinjam atau digunakan terus oleh individu-individu yang tidak berkemampuan. Cara lain, jual apa-apa sahaja yang laku, jual tudung labuh, jual kuih dan donut, jual power bank  dan lain-lain. Ikhwah akhawat pun, bukanlah garang sangat, tak bagi pinjam duit, insyaAllah bisa..bisa. Dan banyak lagi cara lain yang boleh dibuat. Untuk menyelesaikan masalah ini.

Kalau kita melihat, apabila Rasulullah SAW dan para sahabat disuruh Allah untuk berhijrah ke Madinah, langsung mereka tahu, bahawa semua harta yang dimiliki akan ditinggalkan, mereka hanya membawa sekadar keperluan. Kerana apabila mereka membawa semua barang-barang mereka dikhuatiri akan diketahui musuh. Keadaan ini tidak pun menghalang mereka untuk menunaikan perintah Allah SWT. Mengapa mereka sanggup meninggalkan harta mereka semuanya? Kerana mereka yakin bahawa Allah yang akan menyelesaikan masalah mereka, mereka yakin bahawa Allah akan bagi jalan keluar untuk masalah kewangan mereka di Madinah ini. Buktinya, lihat sahaja betapa pemurahnya orang-orang Ansar, memberikan apa sahaja yang mereka miliki supaya orang Muhajirin tidak susah dan kesempitan.

Pokoknya, yang penting, dakwah ini perlu berjalan. Jangan menjadikan alasan tiada duit untuk dakwah ini. Hakikatnya, usaha-usaha dari kita yang diperlukan. Dan jangan biarkan kita tertinggal kafilah dakwah ini, disebabkan oleh masalah ini. Betulkan niat dan matlamat, jika ikhlas Lillah, maka Allah akan menunjukkan jalan, mengeluarkan kita dari kebuntuan dengan cara yang tidak disangka-disangka, sepertimana firman Allah SWT dalam surah yang ke 65 ayat 2-3 yang bermaksud: “Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. Yakinlah bahawa Allah akan membantumu. Wallahua’lam. 





Tuesday, February 19, 2013

Dahsyatnya imtihan!


           Imtihan 'end round Internal Medicine' baru sahaja diberitahu sebaik sahaja kuliah bermula selepas cuti musim sejuk yang lepas. Sebenarnya cuma tahu bahawa imtihan ini, akan berlaku di akhir bulan 2, tapi tak sangka, seronok-seronok nak buka kuliah semula, tiba-tiba dikejutkan dengan berita ini. Rakan serumah yang baru pulang dari Malaysia, mengetahui berita ini sebaik sahaja sampai di rumah kami. Katanya, dah 'tension' semula. Mana tidak menyebabkan semua orang risau, tiba-tiba sahaja datang ke kelas kami di tingkat lima Hospital Batnah, penat-penat naik tangga, tiba-tiba terlihat kertas yang ditampal di dinding-dinding di tingkat itu, menyatakan imtihan akhir untuk pelajar Malaysia adalah pada 19/02/2013. Aku fikir positif, borak dengan kak Ummi, kak Ummi mengiyakan padaku, "Akak, sehari je kan exam? Takde ape-ape dah kan?",  ujarku. "Haah, exam sehari je". Kepala sudah sedia kala serabut, ditambahkan lagi dengan berita mengejut itu, cuba positif, oh takpe, sehari je, lepas tu boleh fikir banyak lagi benda lain. Kemudian aku memberitahu pada rakan-rakan usrah. Mungkin sepatatutnya, kami diberitahu lebih awal daripada ini, mungkin sebelum cuti lagi, sekurang-kurangnya, ada kesedaran awal untuk mengulangkaji dan bersedia.

            Fikiran positif ini tidak bertahan lama. Mengalih ke petang, semakin lama perasaan semakin bercelaru. Sedih, yelah, mana tidaknya, memang betul-betul tidak sedia. Sungguh. Kira-kira seminggu sahaja lagi. Bagaimana kawan-kawan yang memang sudah sedia cemerlang, mereka tentu positif sahaja, kalau adapun mungkin sedikit sedih dan kemudiannya terus berusaha belajar dan belajar. Bagaimana dengan aku? Dikala sedih ini, masih teringat ustaz Atep bagi kupasan tentang surah An-Naba' tentang hari akhirat. Tema surah-surah dalam juz Amma kebanyakannya adalah tentang hari akhirat. Persoalan yang dia lontarkan pada kami, apa pengajaran dari peristiwa hari kiamat ini kepada kita? Kata kuncinya adalah persediaan. Orang yang sudah sedia dengan segala amalannya, yang memang betul-betul menjaga niat setiap perilakunya, yang sentiasa berlumba-lumba untuk kebaikan, mereka tidak akan rasa susah, rasa cemas bila Allah tiba-tiba sahaja mendatangkan hari Kiamat. Ya, kerana mereka sudah bersedia. Bila-bila masa sahaja, Allah mendatangkan hari Kiamat, maka dia sudah bersedia, 'anytime', bila-bila sahaja.

             Kemudian, noktah lain yang dikupas, persoalan-persoalan Allah di akhirat nanti juga soalan bocor. Sudah bocor, sudah diketahui semua orang pun. Jika dibandingkan dengan imtihan manusia, mesti doktor di hospital kelam kabut kalau kita sudah tahu soalan apa yang keluar, pesakit mana yang akan kita akan periksa. Besar risikonya, sebab soalan sudah bocor. Tetapi, apa yang menjadi kunci untuk menjawab soalan itu adalah berapa banyak amalan yang sudah kita sediakan? Bukan setakat berapa banyak amalan sahaja, tetapi seikhlas mana kita dalam buat segala amalan itu? Apakah kita ini mengharapkan redha Allah atau redha manusia dalam segala amalan kita? Ianya adalah perkara-perkara asas, namun sungguh penting.


             Analogi lain, seolah-olah kita ini sedang berada di sebuah universiti, segala kemudahan diberikan kepada kita, ada tempat nak bersukan, ada bilik kuliah yang besar, ada duit biasiswa yang diberi, ada pensyarah-pensyarah yang sungguh hebat dan berdedikasi. Sepertinya, berada dalam universiti yang Allah sendiri kelola. Segala kemudahan yang diberikan Allah itu adalah nikmat-nikmat yang Allah berikan pada kita selama ini, nikmat sihat tubuh badan dan akal, nikmat duit biasiswa, nikmat ibu abah yang sentiasa memberikan kekuatan, nikmat pakaian, nikmat rumah tempat tinggal, nikmat hujan, kalau nak disebut satu-satu, sungguh banyak nikmat yang Allah berikan. Pensyarahnya adalah malaikat yang sentiasa mengevaluasi diri kita. Yalah, kerjanya seperti pensyarah kita yang sentiasa memerhatikan perkembangan kita di dalam dewan kuliah. Dan dekannya adalah Allah SWT. Dekan ini sungguhlah baik, sangat baik, Dia berikan semuanya yang Dia mahu beri kepada pelajarNya. Kalau kita tidak hadir ke kuliah, langsung mungkin dimarah terus, atau ada denda yang perlu diselesaikan. Pantang ada kesalahan sedikit, ada dendanya, ada iqab yang dikenakan. Tetapi Dia tidak. Nikmat yang Allah beri itu berterusan, tidak dipotong atau tidak ditarik balik sekaligus. Mungkin kalau ada yang ditarik balik, mungkin sedikit sahaja, sebagai pengajaran, tetapi nikmat-nikmat yang penting tidak dipotong. Oh teruknya kita, nikmat Allah yang Allah bagi terus menerus tetapi kita semakin melengah-lengahkan persediaan kita untuk imtihanNya. Sepatutnya, pelajar itu, yalah dia sudah mendapat bermacam-macam kemudahan, dan sepatutnya dia perlu membayar semuanya dengan menjadi cemerlang dalam pelajarannya, hebat dalam imitihannya. Kerana pihak universiti sudah memberi bermacam-macam perkara. Salah kita bukan? Soalan pun sudah bocor, apa lagi yang kita mahukan? Allah boleh 'claim' semua yang Dia sudah beri pada kita, kenapa tidak cemerlang juga dalam imitihan yang Dia sediakan! Pelajar jenis apakah? Oh sungguh dahsyat imtihan akhirat!

          Kalau difikirkan semula, boleh tak tak nak imitihan? Boleh? Seperti yang kita tahu imtihan ini adalah akhir evaluasi. Sepertimana ianya penting bagi pensyarah-pensyarah kita untuk evaluasi kita, bahkan ianya teramat penting bagi Allah untuk evaluasi kita sebagai hambaNya.

          Apalah sangatlah imtihan dunia ini berbanding di akhirat nanti. Sangatlah kecil nilainya. Berakhirnya pengajian di dunia dengan imtihan di akhirat adalah lebih penting daripada berakhirnya pengajian di universiti untuk memasuki imtihan. Yang penting, perlu sedia, sedia dan sedia. Siapakan diri kita, supaya bila sampai masanya, kita sudah bersedia jawapan-jawapan kita dengan amal yang dibawa bersama. Yosh! Marilah bersedia.

p/s: Post imtihan end round internal medicine, mohon doakan kami semua, pelajar tahun akhir perubatan Universiti Kaherah, Mesir. :)

Sunday, February 3, 2013

Sudahkah kita berjual beli dengan Allah?

           Sebenarnya, bukan ana pun yang ke Jordan. Chep dan Maryam yang ke sana. Banyak juga Chep berkongsi cerita mereka. Katanya, banyak berkongsi dengan adik-adik Jordan. Banyak tempat nostalgia sirah Rasulullah SAW yang mereka lawati. Rasa cemburu menyengat bila Chep cerita mereka pergi ke tempat perang Yarmuk dan Mu'tah. Chep kata, tempat yang paling dia sedih adalah bila ziarah makam Zaid bin Harithah. Chep kata, biasanya kalau ziarah makam ini, tiadalah terasa sangat tetapi ziarah kali ini sangatlah menyentuh perasaan. Di satu sisi makam tersebut ada satu ayat Al-Quran yang popular. Ayat 111 Surah At-Taubah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." 


           Itulah yang membuatkan Chep sedih. Chep kata, ayat Quran itu benar. Sahabat nabi yang bernama Zaid ini memang telah pun berjual beli dengan Allah, telah pun berperang sehingga terbunuh, telah pun menepati janjinya dengan Allah. Bagaimana pula kita ya? Sudahkah kita berjual beli dengan Allah sedangkan kita tahu itulah jual beli yang paling menguntungkan? Sudahkah kita bersungguh-sungguh berjihad sedangkan kita sendiri yang melaung-laungkan al-jihad sabiluna? Sudahkah kita menepati janji kita kepada Allah SWT?