Monday, January 27, 2014

Koreksi Bait Muslim III

Indahnya hidup bersamaBait muslim itu indah. Ianya sungguh indah. Yang pastinya, ianya teramat indah apabila di permulaannya, Allah yang mendahului segala urusan. Mungkin niatnya bermula seawal sudah memahami jalan dakwah dan bercita-cita untuk menikahi orang yang memahami jalan dakwah. Kemudiannya diteruskan dengan menghantar borang. Kemudiannya, menantikan calon yang cocok buatnya juga, niatnya bagaimana. Apabila sudah ada calon yang cocok, ditemani orang tengah untuk bertaaruf. Kemudian memanjangkan munajat kepada Allah, beristikharah. Dan kemudiannya melakukan keputusan, semuanya kerana Allah. Bukan kerana perasaan diri, bukan kerana menilai dengan mata semata, bukan kerana terdesak orang tua menegur, kamu sudah berusia, bila mahu berteman. Mungkin juga tidak semua orang yang sama prosesnya seperti di atas. Tetapi yang pastinya, bermulanya itu dengan apa? Siapa yang mendahuluinya dalam semua perkara? Iaitu Allah SWT. Apabilanya ia dimulai dengan Allah, cinta kerana Allah, insyaAllah rumahtangganya ada barakah yang turut menemani. Walaupun ada kekurangan, mesti sahaja perasaan rasa cukup itu didatangkan. Maka itulah barakahnya.


Memilih pasangan Memilih juga harusnya yang bagaimana? Lalu kefahaman juga yang akan menilai pemilihan kita. Jika kita meyakini tangga-tangga maratib amal itu, maka seperti itulah yang kita bina untuk diri kita sendiri. Orang yang bersama-samanya kita yakini dapat membina diri, menjadi individu muslim yang baik, menjadikan hidup kita bukan hanya untuk diri-sendiri maka itulah yang dipilihnya. Mungkin sahaja, kita pernah sahaja melalui proses-proses yang telah disebutkan di atas. Ada yang sampai taaruf sahaja. Ada yang sudah hampir mahu menikah. Ada yang sudah suka sama suka tetapi ada masalah keluarga. Ada yang sudah berkali-kali bertaaruf tetapi masih belum mendapat ketenangan hati kepada calonnya. Doa-doa sahaja, sampai masanya sabar yang membutuhkan penantian itu mengajar, moga Allah memberikan orang yang terbaik, di masa dan keadaan yang terbaik. Saat-saat kekecewaan itu, pasti sahaja Allah mahu mengundan ujianNya. Yang pentingnya kita mencuba, meyakinkan diri untuk memilih orang-orang ini yang akan menjadi teman hidup kita.


Perbandingan, jauhkan!Syaitan itu sentiasa memainkan peranannya membisikkan perkara-perkara yang disukainya. Dan apabila bakalan mendirikan bait muslim pula, akan ada perkara-perkara yang lain teruji. Terimalah dia seadanya. Seadanya yang dia ada. Apakah dia itu gemuk, apakah dia itu tidak cantik, apakah dia berduit, apakah dia seorang yang penyabar. Semuanya diterima seadanya. Mohon jauhkan perasaan membandingkan pasangan kita dengan orang lain. Setiap orang rezekinya masing-masing. Pasangan yang kita ada itulah rezeki kita, itulah jodohnya, itulah ketentuannya. Setiap yang diberi Allah itulah yang sesuai baginya untuk memperolehi syurga. Sekiranya dia seorang yang bukanlah berkulit mulus, bukanlah bermata galak, bukanlah hidung mancung bagai seludang, maka kesabaran kita dan penerimaan kita itulah saham kita untuk ke syurga. Jika dia seorang yang hartawan, dermawan, rupawan, maka kondisinya itu akan menjadi tiket-tiket pemudah cara ke syurga. Setiap orang lain-lain rezekinya.


Hadis 4 Imam Nawawi: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
Yang pentingnya, ketaqwaan kepada Allah dan kecenderungannya kepada dakwah dan tarbiyah itulah yang penting. Dialah orang yang berusaha tipa-tiap hari untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Dialah yang berusaha menghabiskan mutabaah amalnya dan menilai darinya. Dialah yang selalu mengajak kita, mengisi hati-hati yang suram supaya disinari cahaya dakwah dan tarbiyah. Dialah yang pertama-tama mengajak kita menjadi bermanfaat untuk diri dan orang di sekitar. Nah, apalagi yang dimahukan?


Bersyukur dengan apa yang diperolehi    Manusia, yang pastinya, tidak pernah merasa cukup. Beri betis pastilah hendakkan paha. Namun janji Allah itu tidak pernah Dia mungkirinya. "Dan ingatlah juga, tatkala Tuhanmu memaklumkan; Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih (14:7)
Kasihanilah mereka yang masih belum berpunya, sedangkan kamu sudah, malah kurang atau tidak bersyukur barangkali. Kasihanilah mereka yang mengalami masalah sehingga penyelesaiannya sesuatu yang menggegarkan arasy Allah iaitu cerai dan sebagainya. Nauzubillah min zalik, minta dijauhkan segala keburukan. Mari-mari datanglah berbanyak kebaikan dalam perhubungan. 


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,Kau berkatilah kami suami isteri,Anak-anak kami,
Kedua ibu bapa kami,
Seluruh ahli keluarga kami,
Muslim dan muslimat seluruhnya,
Jadikanlah kami,
Orang-orang yang sentiasa menjunjung perintahMu dan meinggalkan laranganMu,
Jadikanlah kami orang-orang yang meredhai jalan cinta Rasul dan sekalian orang yang telah mendahului kami,
Ameen Ya Rabbal Alamin.







No comments:

Post a Comment