Saturday, February 2, 2013

Post WING 2013

            Cuti musim sejuk tahun ini dimulakan dengan WING 2013, 3 hari kami bermukhayyam di Balteem, Kafr Sheikh. Ianya adalah sebuah kawasan  pantai. Mukhayyam yang keempat, setelah KISRA 2010 di Nur Bukit Unggul, Malaysia, Mukhayyam Soifi Mesir (MSM) di pantai Jamasoh, Mansurah, dan Winter Gathering (WING) 2012 di Ra'sul Bar, Dumyat. Tak sempat nak lihat peta, dimana letaknya Balteem. Cuma yang diketahui adalah ianya 2 jam dari Tanta, muhafazah yang biasa juga diziarahi oleh kami. Patutlah, anak-anak usrah bersorak gembira, sebab mereka sampai dulu di Balteem, yelah sebabnya Iskandariah bersambung dengan Balteem, mereka kata perjalanan mereka hanya mengambil masa 2 jam lebih sahaja dari Iskandariah. Siap call lagi, kata dah sampai. Maka kami yang bertolak dari Sayyida ini terkulat-kulat menaiki bas selama 4 jam lebih. Bas dari Masjid Salam sendiri sudah bertolak lebih kurang setengah jam lebih awal dari kami. Targetnya, mahu bertolak pukul 8 pagi. Al-maklumlah, ujian-ujiannya banyak, maka tepat pukul 8:52 pagi baru kami bertolak. Alhamdulillah ala kulli hal, tuntutan semua peserta sudah dipenuhi sebelum menaiki bas, ada yang nak beli topup, ada yang nak pujuk kawan pergi mukhayyam, ada yang nak ke tandas, ada yang nak solat dhuha, ada yang nak beli makanan ringan. Macam-macam. Ish, ish.

            Pada mulanya, memikirkan, dalam kedaan tahun enam ini, dengan kekangan masa, adakah mampu untuk buat yang terbaik, untuk mempersembahkan yang terbaik kepada adik-adik, dapat tak capai hadaf yang telah dirancang, adik-adik dapat rasa tak apa yang kita nak tarbiyah mereka. Rasa dalam hati, tak mampu untuk buat sebest yang adik-adik buat tahun lepas, semeriah yang adik-adik dapat buat. Sungguh, rasa tak mampu. Dan memikirkan inilah mukhayyam yang terakhir yang kita buat untuk adik-adik sebelum BFG (back for good). Seolah-olah, inilah khidmat terakhir dari kakak-kakak kepada adik-adik. Mesti kita nak buat yang terbaik. Kalaulah adik-adik tahu perkara ini. Cumanya, Allah adalah penyelemat segala-galanya, Allah lah yang mudahkan segalanya.Yang pastinya, tarbiyah kita selalu mengajar kita untuk sentiasa, dan sentiasa betulkan niat, niatkan yang betul. Itulah kunci bantuan dari Allah pada hambaNya. Hanya mukhlisin yang akan dibantu Allah. Dan yang pastinya juga, seorang mukmin itu perlu merasakan ujian-ujian yang berlaku adalah baik untuknya. Sebagai tapisan, sebagai ujian kekuatan.

            Bermulalah dari pencarian tempat, hinggalah hari akhir mukhayyam, segalanya adalah kuasa Allah. Tempat takde sakhanah, ada yang tiba-tiba ada hal tak dapat jadi ajk, duit tak cukup nak bayar sebab duit scholar tak masuk lagi,  tak tahu siapa yang nak bagi pengisianlah, makanan hari pertama tiba-tiba kuah dia berbuih, projektor hilang masa hari pertama, mikrofon rosak, bilik adik tiba-tiba banjir, bilik takde air, nyamuk banyak, ramai yang cedera masa main war game, semua orang kena puasa online, tiba-tiba kena marah dengan ajk makanan sebab makan tanpa disuruh, tiba-tiba kena marah dengan KK sebab tak ikut tentatif dan betulkan niat, ujian-ujian kesihatan. Semua ini kita lalui bersama sebagai hamba Allah yang sangat tabah. Bagi diri ini merasakan, kita semua sudah besar, sudah semakin sabar, semakin bertambah matang dalam tarbiyah, sudah tidak banyak berkeluh-kesah, kita masing-masing sudah dapat bertajarrud dari duniawi. Kesimpulan yang boleh dibuat. Ya, mungkin sebenarnya, kita mengaku masih belum cukup lagi mujahadah kita, masih belum kuat sabar kita, mehnah yang dilalui tidaklah seberapa. Tetapi ibaratnya, inilah ujian-ujian kecil yang Allah beri supaya kita lebih bersedia untuk hadapi benda yang lebih hebat lagi.

            Walaupun pengisian-pengisian yang diberikan, tidaklah dapat dihabiskan, kerana kekangan waktu dan sebagainya, masih mengharapkan untuk kita semua mengulangkaji semula dan hadamkannya kembali. Kerana itu adalah zat ala tariq ini. Cepatnya hidup mati kita dalam jalan ini, salah satu faktornya adalah zat ala tariq. Awaslah kepada sesiapa yang sedikit bekalannya, dan bersiap sedialah untuk yang banyak bekalannya. Sebab masing-masing sudah tahu, bahawa jalan yang kita hadapi ini bagaimana sifatnya. Ujian-ujian yang Allah beri untuk membersihkan jalan ini supaya ianya hanya dihiasi orang-orang yang tajarrud dan ikhlas.

            Akak rasa, semua sangat berpuas hati untuk war game. Setiap dari antunna perlu menuliskan impian antunna pada satu kertas kecil dan ditampalkan pada lengan sebelah kanan. Setiap ahli kumpulan perlu keluar dari kubu dan perlu mencari klu-klu yang diperlukan oleh setiap kumpulan. Tidak lupa juga, ada bahaya menanti antunna, ajk-ajk yang sangat ganas akan mencabut impian antunna, dan antunna akan mati selepas itu. Pada mulanya, antunna tak melawan sangat, hanya mampu berlari gagah, dari satu blok ke blok bangunan berikutnya, menyelamatkan diri dari terkaman ajk-ajk yang mengganas. Apabila sesi-sesi berikutnya, maka terserlah kekuatan dan ngauman dari antunna. Maka adalah ajk-ajk yang luka di tangan, ada yang dicakar, ada yang hampir menggigit, ada yang dipeluk dari belakang. Untuk menyelamatkan kawan antunna, antunna mengheret kawan yang hampir dicabut nyawanya mendekat kubu, sehinggakan ajk-ajk juga terheret sama ke kubu. Sempat akak bersama dengan orang-orang yang sudah syahid, hanya memerhatikan dari tingkat atas, Hanan kata, "Ni kak kinah punya pasallah ni, jadi PIC, yang rancang semua ini." sambil menunjukkan penumbuknya. Bermacam-macam cara yang akak perhatikan antunna, ada yang bila sudah direntap kertas, terus merebahkan diri ke kanan, mengelakkan dari kertas antunna dicabut. Ada yang sampai koyak sedikit tudungnya. Ada yang menendang-nendang ajk yang memegang antunna. Bermacam-macam cara yang antunna lakukan untuk mengelakkan kertas antunna direntap. Ada yang sembunyikan bawah kolar sweater, ada yang ikat dengan tali name tag, ada yang sembunyikan bawah tudung. Sebenarnya, akak boleh nak jadi orang jahat juga, cumanya tengah pegang DSLR, susah. Tieza siap peluk akak dari belakang semasa akak duduk di bibir kubu antunna. "Tieza saja peluk akak, tak nak bagi akak kejar orang." Yang akak tahu, antunna banyak tulis impian antunna adalah untuk mati syahid. Hehe, tapi bila dah syahid, tak puas hati pula sebab cepat sangat mati, camne tu? Atau pun sebenarnya, kita sendiri sebenarnya belum bersedia untuk mati syahid itu, sebabnya tak sempat lagi berbakti kepada ahli kumpulan, kita dah mati, tak cukup lagi sumbangan kita. Tidak seperti Khalid Al-Walid, dia sangat bersedia untuk mati syahid, setiap kali berperang, dia sangat-sangat menanam harapan untuk itu, tapi masih-masih lagi tak dapat. Berborak dengan ahli Ayyash pagi tadi, Atiqah Hanifah sangatlah tak puas hati dengan ahli kumpulan yang belot. Atiqah kata, mana boleh belot, kan islam tak bagi kita belot, salah kot.  Agaknya, boleh je kalau kita tak ikut arahan tu, tapi yelah, game, kita mesti nak ikut peraturan game.

          Persembahan antunna sangatlah best. Ada yang buat berdasarkan tema, ada yang buat berdasarkan pengisian, ada yang buat berdasarkan nama batallion - As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin, As-Syahid Imad Aqal, As-Syahid Salah Syahadah, As-Syahid Ahmad Al-Ja'bari, As-Syahid Nizar Rayyan, As-Syahid Abdul Aziz Rantisi, As-Syahid Izzuddin Al-Qassam, As-Syahid Yahya Ayyash, As-Syahid Said Syiam, As-Syahid Ismail Abu Shanab. Ada yang comel, ada yang sangat menghiris perasaan, ada yang menginsafkan, ada yang lucu, ada yang mendebarkan dan ada yang juga meng'confuse'kan (Yang ada soalan-soalan tu, siapa ikutan kita, apa cita-cita kita, akak ingatkan tu soalan kubur. Bila ditanya tentang apa jemaah kita, so, sangatlah pelik bila antunna kata IKRAM, bukan jawapan dia ISLAM ke?).


           Ada sebuah keluarga yang menjaga kami sepanjang program berlangsung di Hotel Dahab. Ammu Imad, Ummu Syaimaa dan beberapa anak-anak mereka yang sudah meningkat remaja. Ada di antara kami, nampak ammu nangis sebelum bertolak pulang. Bila kami sudah di Cairo, siap call lagi antara-antara kami yang pernah berurusan dengannya, menyatakan kerinduan mereka kepada kami sambil memuji-muji kami. Menjaga kebersihan, beradab. Menyatakan pendirian mereka kalaulah orang Mesir begini, akan amanlah Mesir ini. Sungguh mereka terkesan. Kadang, kita tak perasan, sebenarnya diri kita telah mengesankan orang lain. Baguslah kalau apa yang membekas di hati orang adalah semua yang baik. Lepas ni boleh buat di sana lagi mukhayyam :)

          Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Bumi Balteem ditinggalkan dengan hujan lebat menangisi pemergian kita. Seolah-olah tidak rela membiarkan kita pergi. Seolah-olah, pentas kehidupan daie itu perlu diteruskan. Ya, ianya, perlu diteruskan, ianya perlu diamalkan, bukan hanya sekadar kita mengikut tema program sahaja, tetapi ia sepatutnya, menjadi dorongan hidup kita sepanjang masa. Harapan menggunung tinggi untuk kita semua, semakin bersemangat dan kuat. Dakwah ini bukanlah beban, tetapi ianya adalah kerana cinta, cinta yang tulus ikhlas kerana Allah semata-mata. Tanggungjawab semakin banyak, tidak padan dengan masa yang ada. Sabar dalam kepenatan, redha dalam ujian, sihatkan tubuh badan, cerdaskan minda dan pemikiran, kuat dan kuatlah. Kerana redha Allah itu bersama dengan orang yang ikhlas.Yakin dan percaya. Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment