Thursday, February 28, 2013

5 GENIH




“Yam, Awa, ada tak duit syiling, nak tukar dengan 5 genih?”. Tanyaku seusai habis bulatan gembira kami. “Kejap ye kak, Yam check jap, tapi rasa macam takde”. Yam menjawab sambil tangan membuka dompet. “Awa ada rasanya, insyaAllah!”. Jawapan Awa menceriakan hati. Lalu, 5 duit syiling bernilai 1 genih setiap satu berpindah tangan. Menukar duit, kerana mudah nanti bila nak naik tremco (van pengangkutan) balik Sayyida Zainab. Bayar tambang tamam, tak perlu risaukan baki yang belum diperoleh, ammu tremco yang relaks, bila turun nanti baru nak bagi baki. Tak sangka, hari itu, sebaik tamat usrah, terus menyeluk ruang kecil di beg galas, mengambil dompet. Rupanya hanya tinggal 5 genih dalam tangan. Betul, hanya tinggal 5 genih. Perjalanan dari Hayyu Sabi’ ke Sayyida Zainab, biasanya, akan ambil tremco yang menghala ke Ramsis. 2 tahun ‘bekerja’ di Madinah Nasr, sampaikan terasa kenaikan harga tambang tremco, dari 1 genih 25 qirsh (1.25) , kepada 1 genih nus (1.50). Belum sampai di Ramsis, tremco akan melalui stesen Metro (keretapi ala-ala komuter) Damardesh. Aku akan turun di situ, menaiki tangga, menuju ke stesen, dan menaiki Metro hinggalah sampai ke stesen Metro Sayyida Zainab. Tambangnya hanya segenih untuk ke mana-mana destinasi.

Madinah Nasr adalah tempat dakwah termurah yang pernah dilalui aku ulang-alik. Walaupun orang akan kata, “Laaah, bukan ke dakwah di Sayyida Zainab atau Munira lagilah tak yah bayar apa-apa, jalan kaki je”. Jumlah tambang pergi balik: 1 genih +1 genih 50 qirsh + 1 genih 50 qirsh +1 genih = 5 genih. Murahkan? Alhamdulillah, kalau duit tu ada 5 genih, masih boleh buat dakwah. Jangan risau. Kalau tiada duit langsung pun, masih boleh buat dakwah. Kenapa? Sebabnya ramai akhawat yang boleh pinjamkan duit. Belanja pun boleh. Setakat 5 genih, insyaAllah boleh. Melihatkan ukhti-ukhti lain yang berulang-alik ke muhafazah (negeri) yang lebih jauh dari itu, pastinya tambang perjalanan mereka lebih banyak dari kita. Bukan setakat 10 genih, sampai 70-80 genih ulang-alik! Sungguh.

Tetapi, adakah tambang yang mahal itu, menghalang mereka untuk berdakwah, menjadi alasan supaya tidak keluar berdakwah? Tidak sama sekali! Yup, masalah kewangan ini, berlaku di mana-mana pun. Sahih, tidak dapat dinafikan, kewangan ini sangat penting untuk dakwah. Betul, kalau kewangan tidak stabil, maka kerja dakwah akan terbantut. Sangat penting untuk kewangan kita kukuh, supaya kerja dakwah boleh jalan dengan baik. Maka, akan adalah usaha-usaha yang kita perlu buat, ada yang perlu dikorbankan, kerana dakwah. Contohnya, menahan syahwat daripada membeli barang-barang kehendak yang boleh menjejaskan kewangan. Tak mahu mengulas panjang, rasanya, masing-masing boleh agak dan fikir, apa barang kehendak yang sudah lama diidamkan. Contoh lain, duit infak yang diberikan kepada jemaah, boleh diberi pinjam atau digunakan terus oleh individu-individu yang tidak berkemampuan. Cara lain, jual apa-apa sahaja yang laku, jual tudung labuh, jual kuih dan donut, jual power bank  dan lain-lain. Ikhwah akhawat pun, bukanlah garang sangat, tak bagi pinjam duit, insyaAllah bisa..bisa. Dan banyak lagi cara lain yang boleh dibuat. Untuk menyelesaikan masalah ini.

Kalau kita melihat, apabila Rasulullah SAW dan para sahabat disuruh Allah untuk berhijrah ke Madinah, langsung mereka tahu, bahawa semua harta yang dimiliki akan ditinggalkan, mereka hanya membawa sekadar keperluan. Kerana apabila mereka membawa semua barang-barang mereka dikhuatiri akan diketahui musuh. Keadaan ini tidak pun menghalang mereka untuk menunaikan perintah Allah SWT. Mengapa mereka sanggup meninggalkan harta mereka semuanya? Kerana mereka yakin bahawa Allah yang akan menyelesaikan masalah mereka, mereka yakin bahawa Allah akan bagi jalan keluar untuk masalah kewangan mereka di Madinah ini. Buktinya, lihat sahaja betapa pemurahnya orang-orang Ansar, memberikan apa sahaja yang mereka miliki supaya orang Muhajirin tidak susah dan kesempitan.

Pokoknya, yang penting, dakwah ini perlu berjalan. Jangan menjadikan alasan tiada duit untuk dakwah ini. Hakikatnya, usaha-usaha dari kita yang diperlukan. Dan jangan biarkan kita tertinggal kafilah dakwah ini, disebabkan oleh masalah ini. Betulkan niat dan matlamat, jika ikhlas Lillah, maka Allah akan menunjukkan jalan, mengeluarkan kita dari kebuntuan dengan cara yang tidak disangka-disangka, sepertimana firman Allah SWT dalam surah yang ke 65 ayat 2-3 yang bermaksud: “Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. Yakinlah bahawa Allah akan membantumu. Wallahua’lam. 





No comments:

Post a Comment