Sunday, October 16, 2011

Obsesi ke syurga...^_^

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Salam dakwah dan tarbiyyah dari bumi Anbiya Mesir..

Tajuk hari ini ialah obsesi. Apa itu obsesi? Obsesi yang kita faham ialah sesuatu yang sentiasa menganggu atau menghantui fikiran seseorang atau keadaan terlalu memikirkan sesuatu, dapat dari sana. Bahasa mudahnya kita terlalu suka dan asyik untuk sesuatu yang kita sangat suka. Contoh yang boleh kita bawa, Qarun, yang hidup di zaman Nabi Musa A.S. terlalu obses pada harta dan kedudukan. Kisah Qarun diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran dalam surah yang ke 28 ayat 76 dan 79,

" Sesungguhnya Qarun termasuk kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya, " Janganlah engkau terlalu bangga. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang membanggakan diri."  

" Dia (Qarun) berkata, " Sesungguhnya aku diberi (harta itu), semata-mata kerana ilmu yang ada padaku. " Tidakkah dia tahu, bahawa Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka."


Sebagai manusia biasa, kita ada perasaan obses pada sesuatu benda....betul tak? Tetapi, bila mana dikatakan manusia biasa, maka obsesnya adalah biasa-biasa sahaja. Tetapi tidak bagi manusia luar biasa imannya, maka obsesinya pun luar biasa, dia sangat berbeza dengan manusia biasa, dia tidak akan meletakkan obsesinya pada perkara-perkara yang biasa-biasa sahaja. Jika tidak, dia tidak ada perbezaan (tamayyuz) dengan manusia biasa.

Nampak macam susah tapi itulah hakikatnya. Tetapi bila mana seseorang itu sudah obses kepada perkara yang sepatutnya, maka itu yang lebih baik bagi dirinya. Kita mahukan syurga tetapi kita tidak obses pada perkara-perkara yang membawa kita ke syurga, macam mana tu? kita mahukan redhaNya, tetapi malas dalam melaksanakan apa yang diperintahkanNya, susahlah kalau begini?

Sahabat nabi Anas Ibn An-Nadhr r.a, sangat terkilan kerana tidak menyertai peperangan Badar, maka dia berjanji pada Allah bahawa, jika Allah memberikannya peluang untuk menyertai peperangan di masa akan datang, maka dia berjanji bahawa, Allah akan menyaksikan janjinya itu. Maka, bila mana peperangan Uhud berlaku, Anas tidak melepaskan peluang untuk menyertai peperangan itu. Dalam peperangan itu dia berjumpa dengan Saad Bin Muaz, Dia berkata kepada Saad, sesungguhnya, aku menghidu bau syurga di bukit Uhud, maka Anas terus bertempur sehingga syahid menjemput dirinya. Terdapat beratus-ratus kesan panah dan pedang di badan Anas sehinggakan hanya ibu saudaranya sahaja dapat mengecam mayat Anas melalui jari-jari Anas.

Begitulah cerita seorang sahabat yang terlalu obses dengan syurga, dia seorang yang menepati janjinya pada Allah. Cerita ini Allah pamerkan pada surah (33:23). Sungguh beruntung Anas kerana Allah menyebut tentang dirinya dalam Al-Quran. Mana tidaknya, kerana dia obses kepada syurga! Bahkan kita ini, obses kita terhadap syurga bukan seperti Anas, atau sahabat-sahabat lain. Tidakkah kita merasa cemburu dengan apa yang diperolehi Anas dan sahabat-sahabat Nabi yang lain?

Kita pula, apa yang kita obseskan? apa yang kita mahukan? Tepuk dada tanyalah iman kita. Moga kita menjadi seorang hamba Allah yang mampu menghalakan obsesinya kepada Tuhannya!

No comments:

Post a Comment