Saturday, October 8, 2011

Baca buku untuk D&T

Assalamualaikum....
Salam ukhuwwah, dakwah dan tarbiyyah untuk semua..
Moga Allah sentiasa memberkati dan meredhai setiap amalan dan perbuatan kita amiin..

Sekarang ini aku mendapati, cara aku membaca buku agak laju (terutamanya buku novel Abdul Latip Talib tu laju la) alhamdulillah, memang aku dulu susah untuk membaca buku, terutamanya buku dakwah, buku ruhiyah, buku tarbawiyyah, dan juga buku-buku lain, seperti ekonomi, politik, sosial dan lain-lain. Tapi kadang-kadang aku berfikir, bila aku baca laju, adakah aku dapat menghadamkan semuanya? Sebelum ini, aku lebih suka menulis nota untuk buku-buku yang aku baca dan cara ini menyebabkan aku lambat berpindah ke buku-buku yang lain. Bukan buku dakwah sahaja yang kena baca, buku perubatan pun kena baca (yelah, sebab doktor kan). Kadang-kadang perasaan risau menyelubungi diri, bimbang tidak dapat mempersiapkan diri selengkap yang mungkin untuk berjumpa dengan masyarakat kelak (sekarang ini jumpa dengan masyarakat, cuma masih dalam latihan).  

Bila mana seseorang itu mendakwa dirinya adalah daie, maka dirinya adalah tempat rujukan masyarakatnya, dialah tempat mengadu masyarakatnya, dialah menjadi tempat diadukan soalan-soalan, dialah itu, dialah ini! Tidak dapat tidak, setiap persoalan manusia akan menyinggahinya.

Aku teringat, wahyu yang pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W., surah Al-Alaq ayat 1-5. Bagaimana Allah mengajak nabi Muhammad S.A.W. dan kita semua untuk membaca, bila mana kita membaca kita dapat ilmu, bila kita dapat ilmu, kita hadam, kita keluarkan sebagai fikrah yang menggerakkan amal, dan kemudian kita sampaikan kepada orang lain pula ilmu itu untuk menjadi fikrah kepada dirinya pula.

Bagaimana Allah mengajar kita bahawa kita perlu berilmu, lagi-lagi kita ini mengaku diri kita daie maka kita perlu tahu dan faham ilmu. Dalam surah Al-Baqarah ayat 129 yang bermaksud " Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka, dan menyucikan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Mahaperkasa, Mahabijaksana." Ayat ini menyebut bahawa daie itu tanggungjawabnya membacakan, mengajarkan dan menyucikan mereka. Bagaimana kita dapat melakukan tugas-tugas kalau tidak ada ilmu.

Ilmu vs fikrah....
Apa perbezaan antara ilmu dan fikrah? Apa perkaitannya dengan dakwah dan tarbiyyah?
Ilmu itu statik, manakala fikrah ini menggerakkan, ilmu ini prosesnya tahu manakala fikrah prosesnya faham, tidak sama ilmu dan fikrah.

Dakwah kita ialah faham, bukan dakwah ilmu, kita juga perlu ilmu tetapi fikrah lagilah perlu kerana fikrah itu menggerakkan fikiran menggetarkan hati. Ya, Kita perlu ilmu dan juga fikrah dalam dakwah dan tarbiyyah, tetapi yang lebih penting adalah fikrah kerana itu yang menggerakkan dakwah dan tarbiyyah. Dakwah kita bukan lambakan fakta dan ilmu, tetapi dakwah kita ialah fikir, fikir dan fikir.

Ilmu atau fikrah apa yang perlu kita ada?
Syed Hawwa ada menggariskan sepuluh cabang ilmu yang perlu ada pada daie:

1) Ilmu Thalasah -Allah, Rasul, Islam
2) Ilmu Al-Quran
3) Ilmu Hadith dan Usul Hadis
4) Sirah Nabawiyah dan Sirah Umat Islam
5) Bahasa Arab
6) Syariah Islam, Aqidah dan Akhlak
7) Deislamisasi 
8) Islam Moden, Teknologi dan Hukum Semasa
9) Usul Fiqh dan Feqah
10) Fiqh dakwah dan Gerakan Islam
Ini baru dalam Bahasa Melayu, belum lagi Bahasa Arab  (yang ni wajib) dan Bahasa Inggeris!

Maka berusahalah untuk memenuhi hadis nabi " Talabul ilmi faridhatun ala kulli muslim"! Bagaimana nabi mengajak kita supaya menuntut ilmu itu wajib, kerana ada faedah yang kita akan dapat, ada kebaikan yang kita dapat daripada menuntut ilmu, sebab itu hukumnya adalah wajib.



Sekarang ini, aku sedang membaca novel Sultan Muhammad Al-Fateh karangan Abdul Latip Talib, moga selepas ini cepat-cepat habis buku ni dan berpindah buku lain pula, moga usaha ini Allah kira sebagai pemberat mizan ku di akhirat kelak dan menyumbang kepada kemajuan dan keperluan D&T kita amiin!

No comments:

Post a Comment