Monday, March 4, 2013

Aku bukan robot-versi tarbiyah

            Awal-awal sebelum imtima' dengan dunia tarbiyah ini, selalu melabelkan diri sebagai robot. Robot yang bangun dari tidur hinggalah kembali kepada tidur yang hanya mengulang-ulang kehidupan hariannya. Bangun pagi, mandi, sarapan pagi, pergi kelas, pergi perpustakaan, baca buku, balik rumah, memasak, dan akhir sekali tidur. Dan keesokan harinya, akan mengulang kembali perkara yang sama. Apabila sudah besar menjadi remaja dan dewasa, kita menjadi seperti orang lain juga. Berkeluarga, mempunyai anak, bekerja dan mengumpulkan harta. Bila anak-anak pula sudah meningkat remaja, maka kita juga menjadi seperti manusia lain, melayan karenah dan gelak tawa cucu-cucu. Ketika itu, terfikir apakah kita mahu mengulang perkara-perkara tersebut setiap hari, hinggalah akhirnya mati menjemput kita. Segala kehidupan hanya untuk memuaskan kehendak diri semata. Perkataan seperti orang lain itu bukanlah bermaksud tidak boleh atau tidak patut melakukan sedemikian. Ianya adalah lumrah, fitrah kebiasaan manusia, tidak dapat dinafikan semua manusia perlu mendapatkannya. Tidak dapat dinafikan, ya, itu adalah keperluan manusia. 

             Cumanya yang merunsingkan adalah, perlumbaan untuk mendapatkan tiket ke syurga itu bukanlah semudah yang disangka. Jika kita hanya berbuat seperti di atas, adakah kita boleh memastikan bahawa kita akan memperolehi tiket ke syurga? Melainkan kita menjadi seperti seorang pemuda yang bertanya kepada Rasulullah SAW, "Bagaimana pendapatmu, jika aku telah mengerjakan solat maktubah (solat fardhu lima waktu), berpuasa Ramadhan, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram dan aku tidak menambahnya dengan suatu apapun. Apakah aku bisa masuk syurga?". Kemudian Rasulullah SAW menjawab, "Ya". Pemuda-pemuda islam di zaman Rasulullah SAW bukanlah seperti kini. Amalan yang disebutkan oleh pemuda tersebut diamalkannya sungguh-sungguh. Kita pula bagaimana? Wallahua'lam, masing-masing dapat menjawabnya sendiri. 

              Kemudiannya, alhamdulillah, Allah memberikan peluang untuk menikmati kehangatan ukhuwwah, dakwah dan tarbiyah. Mula-mula, sungguh mengagumi kakak-kakak yang sangat lembut dan mesra. Jika mahu berjaulah, perlu berurusan dengan akhawat yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Dan bila bertemu, seakan-seakan seperti hati-hati kami telah lama bertaut satu. Seperti ruh-ruh kami saling mengikat. Kemudian, semakin lama, bila semakin faham, barulah diri diajari bagaimana untuk dakwah, setelah intima' dengan usrah. Dan kemudiannya, barulah mengetahui tentang jemaah. Ianya seperti menaiki tangga, satu persatu difahami dan diamalkan. Usrah, dakwah dan jemaah. 

            Kita adalah orang yang mengimani bagaimana individu muslim yang cemerlang itu berfungsi. Individu muslim itu perlu menyeimbangkan tugas-tugasnya. Ya, kita berdakwah, tetapi dalam masa yang sama kita juga menjadi pelajar di sebuah universiti ataupun pekerja di sebuah syarikat, ataupun majikan di sebuah pasaraya. Bagi yang sudah berkeluarga, tidak dapat dinafikan bahawa dia perlu bertanggungjawab kepada keluarganya. Semuanya ini memerlukan kekuatan dan pengorbanan. Cumanya, bila semakin banyak tanggungjawab yang digalas, kita bukanlah menjadi semakin malas. Kerana kita amat memahami bahawa Allah akan meminta pertanggungjawaban terhadap kita. Tetapi, kita ini, melakukan semua perkara ini. Bila mana ada keperluan untuk ke daurah, kita pergi. Bila mana ada urusan keluarga kita pergi. Bila mana ada imtihan, maka kita ulangkaji. Kita tidak mengalami masalah untuk menghadiri mana-mana program atau hal yang melibatkan kita. Habis, apakah yang masalahnya?

           Masalahnya ialah, apabila jasad itu hadir, tetapi hatinya tidak hadir sekali bersama. Memunculkan diri di semua tempat, tetapi hanya bersyarat. Sedangkan hati tidak menyertai setiap pergerakan kaki dan tangan. Semakin lama ianya semakin melarat. Apa gunanya sesuatu amalan sedangkan hati sukar sekali untuk diminta kehadirannya. Apabila hanya kaki dan tangan bekerja, maka habuan diperolehi hanyalah penat semata. Tiada lagi keseronokan dalam beramal. Tiada lagi keredhaan dalam kepenatan. Tiada lagi ketenangan dalam susah-payah. Buat kerana ianya adalah perlu dibuat. Bukan lagi mardhatillah. Allah itu jauh dari ghayah yang sebenar. Ianya sungguh sukar. Seolah-olah seperti robot ke sana, ke mari. Ya, ia pergi ke program, pergi ke syura, tetapi hatinya kaku dan lesu. Hati itu matikah?

         Mungkinkah sebenarnya, sudah lama tidak berhubung dengan Allah, maka itulah penyebabnya. Mungkinkah sudah lama meninggalkan solat malam, menangis dan beruzlah, sampaikan hampir lupa tujuan melakukan semua ini. Mungkinkah tarbiyah dzatiyah semakin liat dijaga, lantaran terlalu sibuk dengan hal. 


          Pastikan hati itu kembali semula, memainkan peranannya. Jika tiada hati, masakan Allah mahu menerima segala urusanmu. Kembalikan solat malammu, zikirmu, tangismu, bibir basah menyebut Rabbmu. Kerana inilah zat kepada hati yang mati. Syed Qutub berkata dalam Fi Zilalil Quran, solat adalah mata air yang tidak pernah kering dan bekalan yang tidak pernah habis. Mata air yang memperbaharui tenaga dan bekalan yang membekali hati. Jangan sesekali memandang enteng kepada amalan orang-orang lama, memang ianya telah dibuktikan dahulu orang-orang lama. Berjayanya orang-orang lama adalah kerana tarbiyah dzatiyahnya, hatinya berterusan dibekalkan, dan seterusnya membawa kejayaan dakwah yang gemilang. Hidupkan hatimu semula, jangan biarkan seperti ini berlama-lama. 

No comments:

Post a Comment