Saturday, March 31, 2012

Umur bertambah...

 Aku menginjakkan umurku daripada 21 tahun ke 22 tahun pada hari yang sama aku menghadapi imtihan 'end round Surgery'. Malam itu, aku membiarkan laptop aku terpasang, sebenarnya, mahu melihat soalan-soalan 'end round' yang lepas yang terdapat di fb, namun mataku liar melihat tanda merah di bahagian atas 'wall'ku, menandakan ada ramai orang yang meninggalkan sesuatu di 'wall'ku dan juga tangan ligat mengalihkan 'cursor' menggerakkan ke arah yang diinginkan. Sepatutnya, perlu fokus membaca buku (jangan ikut ya)! Aku teringat, semasa di sekolah dulu, aku mengakui bahawa aku bukan seorang yang peramah dengan manusia, aku suka menyendiri sendiri, menghadap buku, jarang bercampur dengan orang, dan terkepung dengan dunia sendiri. Bila memijakkan kaki ke universiti, baru aku belajar untuk berkomunikasi, baru aku belajar untuk bercakap dengan manusia. Dan aku faham, bahawa dakwah ini memerlukan kepada penyerunya untuk bercakap, berkongsi dan bercerita dengan orang lain. Aku bersyukur kerana, aku diberi peluang oleh Allah untuk bercakap, berkongsi dan bercerita dengan orang. Dan orang-orang yang meninggalkan sesuatu di 'wall'ku ada yang aku jumpa dalam jalan ini, ataupun yang aku cuba bercakap dengan mereka, bagi menyampaikan dakwah ini. Abu 'Ala Al-Maududi menyatakan dalam syarahannya bertajuk Syahadatul Haq, syarahannya ini telah dibukukan, bahawa dakwah ini perlu dilaksanakan dengan syahadah perbuatan dan syahadah perkataan. Nak tak nak dakwah, dakwah itu perlu dicakapkan pada orang lain.

Aku tercari-cari, adakah ayat Al-Quran yang bercakap tentang umur manusia. Ada, ada ayat yang menceritakan secara langsung dan dan ada ayat yang perlukan kita faham dahulu, bahawa sebenarnya Allah nak sampaikan tentang umur. Misalnya surah An-Nahl ayat 70 dan surah Yaasin ayat 68, diceritakan secara langsung. Dan ayat-ayat seperti Surah Al-Asr, ayat-ayat tentang kematian, itu semua mengingatkan kita bahawa singkatnya masa yang kita ada di bumi. Dan semua masa perlu disertakan niat kerana Allah. Semua masa kita!

Aku terfikir-fikir, kali ini Allah masih lagi memberikan aku peluang untuk merasai pertambahan umurku. Takut-takut, akan datang waktuku telah hampir dan aku tidak berpeluang menyudahkan apa yang aku telah mulakan sekarang. Bertambah umur dan masuk tahun baru. Harap-harapnya, semakin baiklah tahun yang baru. Amiin.




1 comment: