Thursday, June 27, 2013

Aku dan Palestina

Aku bertanyakan anak-anak usrahku, sama ada mereka akan turun dari Alex atau tidak untuk menyertai Global March to Jerusalem. "Kak, semua akan turun kecuali kak Yat dengan Hanan. Kak Yat sebenarnya minggu lepas, batch dia ada nak buat dinner batch, tapi tangguh ke minggu ini, kalau tak pergi, apa pula kata batchnya. Hanan pula dia terseliuh kakinya." Begitulah makluman mereka kepadaku.

"Akak, kami semua pakai merah tau!". Balasku, "Oh yeke, akak sebenarnya baru 'iron' tudung 'cream". Perbualan terhenti. Cepat-cepat mengambil tudung merah, 'iron' dipadankan dengan jubah hitam. Ketiadaan baju T-shirt yang sesuai untuk dipakai. "Takpelah, masa sempat lagi nak tukar tudung!".

Kawanku Amal, sudah siap 'checklist' yang perlu dibawa sebagai persiapan perarakan. Sungguh bersemangat dia. Melihatkan 'checklistnya' aku cuma tiada topi. Biasanya, kedai-kedai hanya dibuka selepas solat Jumaat. Takpelah, tawakkaltu ala Allah, sambil membayangkan cahaya matahari yang akan terik memancar nanti, maklumlah nak berarak lepas solat Jumaat, pukul 1 tengahari, musim panas di Kaherah yang standardnya mencecah 40 darjah Celcius. Pernah sekali, 43 darjah Celcius, tak keruan dibuatnya. Pada hari itu, suhu 43 darjah Celcius sehingga ke malam lamanya, akhirnya, bukan menghadap buku, pergi mandi membasahkan badan dan kepala. Tak tahan dibuatnya. 

Berjalan ke Metro, ternampak seorang pakcik yang menjual topi, alhamdulillah rezeki kami. Aku memilih warna merah, manakala Chep berkenan dengan warna biru. Sementara Amal pula mencuba-cuba warna hijau, warnanya seakan-akan warna baju tentera darat Diraja Malaysia, sukalah agaknya warna itu. Seperti biasa perjalanan kami, apabila hendak ke kawasan Hayyu Sabi' atau Hayyu Asyir atau pun Rab'ah, akan mengambil dua pengangkutan. Selepas menaiki Metro yang sekan-akan Komuter Malaysia, kami akan menaiki tremco yang bentuknya seperti van. Destinasi kami kali ini adalah ke Rab'ah, di mana kami akan berkumpul di Masjid Rabiatul Adawiyah, bersolat jumaat di sana, sebelum berarak ke Stadium Kaherah. 

Sebelum kami masuk ke perkarangan masjid, singgah sebentar, ke kedai, membeli air kotak dan sedikit persegaran, seperti gula-gula dan biskut, sebagai persediaan, takut-takut pengsan. Di hadapan masjid, ada gerai yang menjual bendera Palestin dan Syria, topi yang tertulis Huriyyah Palestin dan sebagainya. Kelihatan juga, pakcik-pakcik ikhwan mengedarkan topi kertas percuma, berwarna hijau kepada sesiapa sahaja yang lalu-lalang di sekitar kawasan masjid. Kelihatan adik-adik Alex sudah sampai dahulu di sana. Ada yang  sedang makan, ada yang mengambil wudhu' dan sebagainya. 

"Kak, akak dah sihat ke?", adikku bertanya, dalam hatiku, eh, bila masa sakit ni?. "Yelah, minggu lepaskan akak tak ke Alex, sebab demam", "oh, alhamdulillah sudah sihat", terpinga-pinga seketika, tidak teringat, minggu lepas, demam di hujung minggu. Melihatkan satu-satu wajah adik-adik Alex, menyebabkan aku lupa kesakitan yang pernah dialami. Nikmat ukhuwah yang Allah datangkan. Eh, kenapa ada manusia bernama Hanan di sini?, bukan ke terseliuh kakinya?, bisik hatiku, apabila melihat anak usrah yang seorang ini. "Akak, takpe, insyaAllah ok je. Kalau tak ok, nanti saya naik teksi", Hanan menjawab, yakin. Sakinah, apakah ada lagi alasan lain yang kau mahu beri, untuk tidak pergi berarak hari ini. Adik kau sudahlah rumahnya jauh di Alex, kakinya sakit, boleh sahaja dia memberi alasan untuk dirinya, tetapi dia tetap enggan. Kerana dia tahu bahawa itulah sumbangan yang dia mampu berikan. Kau yang tidak ada alasan, bagaimana? Bisa-bisa. 
Di hujung satu sudut lain, seorang adik menahan sakit, mukanya sedikit berkerut, "Ok ke dik?", "Ok je kak, senggugut sikit". Senggugut, setiap perempuan berlainan darjah kesakitannya. Sebaiknya dia tak perlu ke sini, berehat sahaja di rumahnya. Oh, semakin menjadi-jadi, teguran Allah buatku. 

Yang pastinya, khutbah yang disampaikan sangatlah hebat. Bertubi-tubi suaranya, menunjukkan ketegasan terhadap isu Palestin yang diceritakan. Adik-adik Tanta pula menghampiri kami semua. Semuanya bersemangat untuk bersolidariti tentang isu Palestin. Setelah habis solat Jumaat, kami pun bersiap-siap, mengeluarkan segala macam sepanduk, bendera, 'banner', untuk ditayangkan semasa perarakan nanti. Aku membawa bendera Palestin yang biasa tergantung di ruang tamu Tumuhaat. Besar bendera tu. Pinjam sebatang kayu dari adik-adik, mula mengikatnya di situ. Diri sendiri juga tak tinggi mana. Bila berarak, kesian muka makcik-makcik, kakak-kakak, di kiri kanan, disapu dengan bendera. 

Kami pun bersiap sedia untuk berarak. Sebenarnya, ada yang melaungkan kalimah-kalimah jihad di hadapan, cumanya kami mungkin agak terbelakang, maka tidak dapat mendengar apa yang dilaungkan. Cuma sekali-sekala, ada kakak-kakak yang bersemangat, melaungkan kalimah jihad dan kami pun menyambutnya. Begitulah kami, bersolidariti, menunjukkan kepada dunia, bahawa apa yang dilalui oleh Palestin kini, amatlah memeritkan, tiada yang mahu membela mereka. 

Sebuah hadis Rasulullah SAW: 'Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dpat memberi mudarat kepada mereka sehinggalah Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian. Maka para sahabat bertanya, "Dimanakah mereka?". Jawab Rasulullah SAW, "Di Baitul Maqdis dan sekitarnya". Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari ini, membuka mataku, bahawa mereka sebenarnya, tidak perlukan kita pun, untuk bersolidariti seperti ini, sungguh. Mereka sangatlah yakin dengan ketentuan yang Allah telah tetapkan kepada mereka. Mereka tahu bahawa mereka perlu bertahan dan bertahan. Cumanya, kita yang perlu memanfaatkan peluang-peluang pahala dan usaha untuk diri kita sendiri juga. Bila masa Allah bertanyakan kita, apakah yang telah kita sumbangkan, sekurang-kurangnya Allah masih mengenali, kitalah individu kecil yang berarak bersama semasa Global March to Jerusalem tempoh hari.

Alhamdulillah, panas hari itu, tidaklah terlalu terik, seolah-olah seperti kasihan dan memahami akan aktiviti kami semua.  Bergantian dengan anak-anak usrah, menjulang tinggi bendera Palestin. Kami 'modify'nya dengan mengikat satu lagi batang kayu kepadanya. Barulah tinggi sikit. Kami berjalan seperti tiada halangan di hadapan. Sehinggalah kami mendengar seorang makcik yang kurang upaya untuk berjalan. Tetapi, dia sungguh bersemangat. Dengan ketidakupayaannya itu, dia tetap meneruskan langkahnya. Sekali lagi menembak hati kecilku. Sudah hancur agaknya hati ini, sudahlah kecil, dek keran setiap kali ditembak dengan segala teguran dari Allah SWT.

Akhirnya, kami selamat tiba di stadium. Meneguk air kosong, sambil mendengar kalam-kalam hebat dari setiap yang menyampaikan ucapan. "Sesungguhnya, dari Mesir telah datang Saifuddin Qutuz untuk membebaskan Palestin. Begitu juga Salahuddin Al-Ayubi yang datang dari Mesir, juga sudah berusaha membebaskan Palestin, maka insyaAllah, akan ada rijal-rijal Mesir yang akan membebaskan Palestin juga ". Petikan dari kalam hebat mereka. Mendengar ucapan dan nasyid dengan dipayungi oleh sebuah bendera Palestin yang besar dan panjang. Begitulah keadaan kami, sehinggalah selesai segalanya.

Penat, ya sungguh penat. Malah muka agak 'burn' sedikit. Kaki juga lenguh berjalan. Jika tiada ikhlas yang tertanam, maka sia-sialah usaha kita hari itu. Moga Allah menganjari usaha-usaha kita untuk membebaskan Palestin ini. Moga ianya menjadi saham berharga kita di akhirat nanti. Mungkin kita tidak akan sempat melihat kemenangan ini, namun, cukuplah ianya, menjadi tempat menyemai benih semangat, untuk disaksikan generasi seterusnya, untuk mereka menyambung pula usaha-usaha ini. Allahuakbar!











No comments:

Post a Comment