Monday, January 9, 2012

Hingga ke akhirnya....

Aku tidak ingat, malah sudah tidak menghitung berapa kali aku telah menyertai ISK (Ini Sejarah Kita), atau OYEH (Open your Eyes), atau TLK (The Lost Kingdom) atau nama-nama lain yang telah dikomersialkan. Sama ada aku menjadi penyampai, atau menjadi AJK lain, atau aku menjadi fasilitator, sama-sama menyelit dengan adik-adik, memberikan penerangan dan pencerahan sambil-sambil mendengar dengan khusyuk. Sama ada di Malaysia mahupun di Mesir. Sama ada sehari atau dua hari programnya. Hanya setakat ini sahaja pengalamanku, dan pengalaman ini masih belum dapat menyamai akhawat yang sudah senior, mungkin juga tidak sampai bila-bila tidak akan dapat menyamai, kerana bila mana aku sudah mencapai tahap mereka sekarang ini, mereka pula semakin bertambah laju dan semakin berpengalaman. Harapnya semangat aku tidak luntur, harapnya aku thabat di jalan ini..amiin.

Cuti hujung minggu ini, seperti biasa ku akan bermusafir ke muhafazah, menaiki keretapi, sepatutnya perjalanan hanya mengambil masa 3 jam atau 3 jam setengah, tetapi kali ini, keretapi masih tidak bergerak walaupun sudah 2 jam masuk ke dalam keretapi. Semakin ramai pula penumpang yang berdiri, memenuhi ruang antara tempat duduk dalam keretapi. Mula terbayang memikirkan kalau tidak ada pengudaraan atau ventilation, maka akan senanglah droplet infection berlaku, siapa-siapa yang bersin atau batuk, senang sahaja bacteria atau viral infection berlaku, ditambah lagi dengan musim sejuk, tidak memungkinkan untuk penghawa dingin dihidupkan, semakin bertambah teruk bila ada manusia-manusia yang tidak memikirkan kesihatan orang lain apabila mereka merokok sesuka hati, tidak mengira masa. Semakin ramai manusia-manusia yang berdiri, mungkin sahaja akan menyesakkan pernafasan. Ada juga yang duduk di jalan antara dua kerusi, orang Arab, mereka besar, bila duduk sahaja antara dua jalan, dah tak boleh lalu dah jalan.

Allahhhh....kalaulah tidak sabar maka mungkin minggu ini aku tidak ke sana, kalaulah tidak bersabar maka aku tidak dapat mengenali wanita-wanita syurga yang baru aku kenal, kalaulah tidak bersabar maka mungkin semangat aku akan sentiasa mendatar untuk minggu ini. Tetapi, walaubagaimanapun, Allah yang memudahkan segalanya. Alhamdulillah setelah 2 jam, akhirnya keretapi pun bergerak.Laungan Alhamdulillah dan Lailahaillallah kedengaran. Setelah kira-kira 30 minit atau 1jam bergerak, tiba-tiba keretapi berhenti semula, dalam masa 20 minit kemudian bergerak kembali. Manusia-manusia semakin bising menghangatkan lagi suasana, mengomen2, kenapalah tak bergerak-gerak keretapi ni? Ada pakcik yang sedang menelefon kawannya barangkali, Al-itar da, ma biyamshih, wala kilo, wala metr, wala centi....masyaAllah! Aku, membelek-belek buku perubatan, menanda dengan highlighter, menconteng dengan pensel, maklumlah imtihan  sudah dekat. Moga Allah menerima  persediaanku ini. Amiin.

Teringat, ada seorang ikhwah, bagu tugasan pada anak-anak usrahnya, dia suruh anak-anak usrahnya naik komuter atau jumpa orang dan tanya dia tentang islam. Perlu juga berbuat sebegitu pada orang sebelahku. Sebabnya, hanya pada masa itu sahajalah 'timeline' kita sama dengan mereka, mungkin lepas ni dah tak dapat jumpa lagi. Kalau Allah tanya nanti, kenapa kita tak sampaikan islam pada orang yang di sebelah kita, macam mana nak jawab tu?Orang di sebelahku, seorang perempuan. Sekali-sekala, membetulkan kedudukannya di kerusi, Heba, 18 tahun, belajar di Universiti Kaherah (tak ingat jurusan apa), pulang berjumpa dengan keluarga selama seminggu dan akan kembali ke Kaherah untuk menghadapi peperiksaan. Gambar SRK terpampang di halaman depan handsetnya, dia tanya,' awak kenal ke Shah Rukh Khan?', 'tahulah...cerita KKKG, cerita Mohabbatien, dan dia sangat terkejut dan dia tanya, 'awak ada cerita Mohabbatien?', 'Of course takde'. Jahiliyyah lama-lama dulu. Kesian dia. 'Cuma saya ada cerita tentang perang, tentang Salahuddin, tentang Muhammad Al-Fateh', dan dia hanya gelak. Aku katakan padanya, sebab kenapa aku tak tengok cerita-cerita macam tu, kerana aku tidak ada masa, sebab ambil perubatan (mungkin juga masa tu aku tak terfikir ayat arab yang bagus supaya maklumat dapat disampaikan dengan jelas).

Tak lama kemudian, keretapi berhenti kembali, selama 15 minit kemudian meluncur laju lagi. Tidak ada berhenti-berhenti dah. Rasa mengantuk, tak sedar tertidur dan orang di sebelahku menutupkan bukuku. Bila sedar, sudah hampir dengan stesen. Manakala orang di sebelah, dia akan turun ke stesen yang berikutnya. Kami bersalam dan mengucap selamat tinggal. Sepatutnya malam ini bulatan gembira bakal berlaku, namun disebabkan perkara-perkara tertentu, maka bulatan gembira perlu ditangguhkan ke hari yang lain. Namun, aku tidak lupa, insan-insan yang tidur pada pukul 2 atau 3 pagi untuk memastikan semua yang diperlukan pada keesokan harinya mencukupi dan sempurna. Moga Allah memberkati mereka dan menerima amalan mereka...amiin ya Rabb.

Maka bermulalah TLK pada keesokan harinya. Berjumpa dengan ramai insan yang pelbagai latar belakang, ada yang sedang mencari-cari tarbiyyah, ada yang bersih dan suci hatinya, ada yang sudah mendapat tarbiyyah dan mahu lebih lagi memantapkan diri. Subhanallah, semua ini memberikan aku kekuatan untuk terus bergerak dan bergerak. Seperti Abdullah bin Ummi Maktum yang mencari-cari Rasulullah. Mereka ini adalah prioriti kita kerana mereka menginginkan sesuatu yang terbaik untuk diri mereka. Pada mulanya, diriku seperti juga mereka, malah mungkin lebih teruk lagi. Setelah disinari tarbiyyah selama 5 tahun, aku harapkan agar ada sesuatu yang telah ku baiki supaya diri ini menjadi hamba Allah yang baik....harap sangat...T_T

Perjalanan program alhamdulillah, cuma mungkin ada sedikit sebanyak yang perlu diperbaiki. Kita berkerja dalam satu pasukan, jadi ada peraturannya, ada yang perlu dipatuhi, ada yang perlu dijauhi. InsyaAllah, kita akan belajar dan belajar lagi. Jangan risau. Aku faham bahawa untuk mengalahkan kebatilan, kita perlukan perancangan yang tersusun rapi, kerana kebatilan sekarang ini, mereka juga mempunyai strategi, malah lebih hebat daripada kita yang memperjuangkan kebenaran ini. Maka, segala kekurangan perlu dikenalpasti dan dibaiki dengan seberapa pantas. Moga Allah membantu kami...amiin.

Perjalanan kami pulang ke Kaherah juga diuji, tertinggal keretapi, kami bersepakat untuk memilih Tremco, di pertengahan jalan, ada sesuatu yang pecah, bau minyak menusuk hidung, Tremco tidak dapat bergerak, setiap kali berjalan, tidak lama kemudian perlu berhenti.Alhamdulillah kami menumpang Tremco lain, dan alhamdulillah selamat sampai di rumah.

Kalaulah tidak kerana keredhaanMu dalam setiap tindakanku, aku tidak akan menyusahkan diriku untuk semua ini, ya Allah. Aku tahu, Kau akan banyak mengujiku lagi dan lagi. Setiap kali aku katakan aku mampu menempuhi jalan yang sukar ini, setiap kali itu juga Kau akan menguji dan terus menguji. Aku tahu dalam surat cintaMu, Kau katakan yang Kau mahu mengetahui di antara manusia yang ada di dunia ini, siapa yang bersungguh-sungguh jihadnya, siapa yang bersungguh dalam amalnya, siapa yang ikhlas dalam setiap perlakuannya. Maka ya Allah, terimalah segala apa yang aku lakukan, redhailah jiwa ini, berikanlah kekuatan iman kepadaku, sampai bila-bila, hingga ke akhirnya...amiin.

http://www.youtube.com/watch?v=VoT1zg7Dygw

No comments:

Post a Comment