Sunday, June 24, 2012

Pasca kemenangan




Aku tidak ke Tahrir hari ini. Kerana abah tidak beri izin. Tidak mengapalah. Moga jiwa dan hatiku bengkak membesar subur, seperti orang-orang yang meraikan kemenangan ini di Tahrir. Dari jauh, kedengaran bunga api bertalu-talu mengisi ruang udara, memecah kesunyian senja, menutup tirai 24 Jun 2012. Sesekali kedengaran pakcik-pakcik atau remaja, di lorong rumahku, menjerit-jerit Morsi..Morsi. Kereta dan motor yang lalu, membunyikan hon, menyatakan keriangan.

             Semasa ucapan daripada  ketua Suruhanjaya Pilihanraya, internet tidak berapa kencang. Aku dan Fathiyyah menumpang telinga dan mata kepada televisyen di kedai kopi, dibawah rumah, bangunannya setentang dengan bangunan kami,  berdiri di balkoni. Agak panas cuaca ketika itu, keluar-masuk, sambil 'update' cerita di muka buku. Buku ditutup, tidak boleh fokus, tak sabar dengan apa yang akan berlaku selepas ini. Dikejutkan dengan kehadiran adik-adik UK dan seorang kakak qawiy UK. Kami sabar menanti pengumuman. Fathy kata, kalau ucapannya panjang, kadang dia adalah satu 'trick', nak beritahu bahawa kemenangannya mungkin adalah Ahmad Syafiq. Takpelah, kita terus tembak doa lagi. Seorang adik, Najwa namanya, kalaulah Ahmad Syafiq menang, apa akan jadi ya? Aku teringat kata-kata naqibahku, apabila aku bertanyakan hal yang sama kepadanya, mana mungkin Allah akan bagi pemerintah seperti Ahmad Syafiq untuk menang, mana mungkin Allah membiarkan pemerintah yang zalim berkuasa, fikir yang baik-baik sahaja, jangan fikir yang bukan-bukan.

             Bila sudah hampir kepada pengumuman, beliau mengumumkan berapa bilangan undia yang diperoleh, dan alhamdulillah, akhirnya sudah diketahui juga siapa pemenangnya. Kami yang bersolat, sujud syukur, panjang, berdoa, menitiskan air mata. Najwa kata, tak sangka, dia di Mesir pada detik-detik yang bersejarah ini, menjerit kepada kawan-kawannya, kenapa Allah memilih kita untuk berada di sini, di saat-saat ini. Apakah hikmahnya, mereka semua berada di sini ketika ini?
           
             Aku masih teringat, ketika revolusi bermula tahun lepas ketika itu, satu bas adik-adik dari Jordan, menziarahi kami di sini. Ketika itu juga ada akhawat dari Russia turut berjaulah ke sini. Cumanya. adik-adik Jordan sempat balik ke Jordan, selamat menaiki kapal terbang, pulang ke Jordan pada waktu yang tepat, tanpa 'delay'. Yang masih tersekat adalah akhawat Russia. Disebabkan ada perintah berkurung tak silapku dari pukul 6 petang sehinggalah 8 pagi esoknya. Waktu 'flight' mereka kalau tak silap pukul 10 pagi. Terpaksa keluar dari rumah pukul 8 pagi, menanggung risiko, takut juga kalau terlepas. Di masa yang sama, adik-adik kami keluar berjaulah ke UK dan Ireland. Ada yang sudah ke menaiki 'flight' dan ada yang masih tersekat di lapangan terbang. Sungguh mencabar tahun itu. Cuti musim sejuk, tidak seperti cuti. Memang sudah dirancang, akan ada daurah, ada program, ada usrah, sepatutnya semakin rancak tetapi ia menjadi beku, kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Jadi batal semuanya. Duduk di rumah, di Beit Kauthar, berbelas orang, dari Beit badar, dari Beit Anfaal, dari Liya Safura. Meriah rumah. Masih teringat bagaimana di waktu malam, kami letak pisau, di tempat-tempat tersembunyi, bawah sofa, belakang pintu. Tingkap-tingkap semua ditutup. Semua orang berkumpul di Kauthar, kerana Kauthar besar dan tinggi (tingkat 3), lebih tinggi dari Badar dan Anfaal, dan lebih besar dari Liya Safura.Sungguh itu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

            Di hari ini, adalah pengakhiran kepada revolusi, bila naiknya Dr. Muhammad Morsi. Mudah-mudahan, sinar islam kembali menyinari. Bukan sahaja di Mesir, malah  di seluruh dunia. Kita kembalikan kegemilangan khilafah islam yang telah hilang dahulu. Ini baru permulaan. Semoga kita semua mengambil bahagian dalam perjuangan ini.






No comments:

Post a Comment