Thursday, February 16, 2012

Cinta yang tertinggal 2

Aku yakin, akan ada cinta-cinta yang tertinggal di France. Sudah lama aku tidak merasakan, suatu perasaan yang membangkitkan jiwa, yang sudah lama tidak menghinggapi hatiku. Aku tidak menyangka, aku diberi peluang oleh Allah untuk memijakkan kaki ke bumi Abdul Rahman Al-Ghafiqi, walaupun tidak menyinggahi bandar Toulouse yang memahat sejarah pahlawan itu. Kali ini perjalanan ku hanya ke Grenoble dan Besancon, untuk bermalam, dan melalui bandar Lyon dan Paris. Bila difikirkan orang, 2 bandar ini sebenarnya bukanlah menjadi pilihan untuk pelancong, tidaklah terkenal seperti Paris, kenapalah nak pergi juga 2 bandar ini, dahlah tak terkenal, dahlah tak seronok, hanya pekan kecil sahaja. Namun bagiku, ada sesuatu yang menarik di sini, ada tangan-tangan yang hangat menghulur dan menyambut iman yang agak dingin dan statik. Ada insan-insan yang prihatin dan sentiasa memberikan kita harapan dan kekuatan.

1-Sebaik sahaja aku sampai di Gare de Lyon dari Aeroport, sebaik sahaja turun dari bas dan mengeluarkan beg besar dari bas, dalam kekalutan untuk membiasakan diri dengan cuaca dingin yang mencengkam, tidak lama menunggu tiba-tiba ada seorang ukhti menghulurkan salam, bersalaman setiap antara kami, sama-sama membantu menarik beg kami, membawa kami masuk ke dalam bangunan Gare de Lyon supaya kami tidak menggigil kesejukan. Menguruskan tiket-tiket TGV kami, berlari membelikan kebab yang sangat sedap dan banyak. Perasaan aku sama, seperti seorang ukhti, bila mana mereka berjaulah ke Kaherah dulu, bila di'post' ke muhafazah Iskandariah atau Mansurah (aku tak ingat yang mana satu), menaiki Tremco tanpa ada akhawat yang menemani, perasaan aku sama juga seperti ukhti itu. Rasa 'lost', tak tahu ke mana nak pergi, rasa bimbang takut-takut sesuatu terjadi pada diri, namun, bila mana ada ukhti yang tahu jalan, yang faham selok-belok sesuatu tempat menyebabkan aku menjadi sangat lega dan bersyukur kerana mempunyai akhawat. Perasaan itu juga sama semasa menaiki TGV dari Besancon ke Paris, bila mana sampai di sana, tidak tahu arah tuju, dan tiba-tiba ada ukhti yang datang menjemput, jauh dari Nancy, menemani kami ke mana sahaja arah tujuan di Paris. Menemankan kami sampailah ke airport, tidur bersama kami di sana, makan bersama dan menghantar kami dengan linangan air mata. Subhanallah, ya Allah. Harta-hartaku yang sangat bernilai adalah mempunyai akhawat yang perbuatan mereka, percakapan mereka, akhlak mereka yang sangat menyentuh perasaan, menurunkan keegoanku, melembutkan hatiku serta menambahkan keimananku kepada Allah dengan mengikuti segala yang baik dari mereka.

2-Mutabaah amal kami sangat banyak untuk jaulah kami, ditambahkan lagi dengan pengisian dan perkongsian daripada akhawat di sini, sebenarnya bukanlah dapat dihabiskan semua. Namun, aku kagumi akhawatku, berusaha sedaya-upaya untuk menghabiskan, walaupun tidak dapat menyudahkan tetapi memulakannya pun adalah cukup baik, mudah-mudahan Allah berikan kemudahan kepada kami semua untuk menghabiskan mutabaah amal kami dan moga ia menjadi bekal untuk bertahan dan juga untuk lebih maju dalam jalan ini.

3-Ada seorang ukhti yang sentiasa bersama kami, ke mana sahaja kami pergi, mendukung anak yang tercinta, dan dalam masa yang sama dalam kepala berputar segala macam perkara, membaca email dan membalasnya,   termasuklah nak menguruskan kami yang seramai 17 orang ini. Aku banyak sangat belajar dari ukhti ini, kesabarannya, kelembutannya, 'layan je kami ni', tanpa aku pernah lihat segaris kerutan di dahinya, sentiasa senyum dan ramah menyapa, tak kira sesiapa sahaja yang dijumpainya, adik baru ke adik lama ke, layanan yang diberikan pada semua yang dijumpainya membuatkan orang yang disapa merasa sangat istimewa. Dan aku banyak membandingkan dengan diri aku yang sebenarnya masih lagi tidak cukup. T______T

4-Aku sebenarnya kurang senang dan geram bila mana orang tempatan di sana, mereka tidak memahami Bahasa Inggeris (macamlah diri ini fasih sangat!) dan jarang sekali untuk menuturkan dalam perbualan. Rasa kecewa seketika, sebab tak dapat nak bermu'ayashah dengan mereka dengan baik. Ataupun sebenarnya aku yang perlu tahu bahasa mereka, tidak pun menguasai perkataan-perkataan yang selalu mereka pertuturkan. Hai....macam mana nak berdakwah pada orang asing, kalau tidak tahu bahasa mereka?

5-Aku gembira melihat jalan-jalan yang bersih, bangunan yang ceria dengan warna-warni, pengangkutan yang sangat tepat pada masanya, pendek kata, sangat banyak kemudahan yang penduduk di sini raih daripada kerajaan mereka. Cuma sayang dan sayangnya, bukan beragama islam, bukan beriman pada Allah. Di sini, aku melihat, islam di negara bukan islam. Sangat sayang !

6-Bila mana Allah campakkan kita di suatu kawasan, maka itulah yang terbaik untuk kita. Terbaik untuk kita menguatkan lagi keimanan kita pada Allah. Bukan rezekiku di untuk belajar di France kerana rezekiku di Mesir. Aku ini sesuai untuk ditarbiyyah di Mesir, bukan di tempat lain. Setiap tempat ada kekuatan masing-masing, walaupun berlainan tempat, tetapi daripada cabang tarbiyyah yang sama.

7. Ukhuwwah antara kami perlu diselesaikan segera, banyak urusan yang akan tergendala kalau ukhuwwah tak mantap, lepas ini, kerja semakin berat.



Mudah-mudahan, aku menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Tak mahu lagi mengulang benda yang sama, kalau tidak jaulah ini hanyalah sia-sia sahaja. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment