Saturday, February 18, 2012

Muhasabah solat kita...

Semalam, aku tertarik dengan  link Dr Zaharuddin di youtube, tajuknya ialah sempurnakah solatku, dari semalam 'loading', baru hari ini dapat menontonnya.

'Kita belajar solat dari kecil, semasa tadika, maka sampai sekaranglah kita masih mengamalkan solat seperti yang kita belajar di tadika', masih tak berubah-ubah solat kita, yang sepatutnya, bila semakin besar, semakin kita mencari sesuatu untuk memperelokkan solat kita. 

Aku baru tahu, sebenarnya, untuk menyempurnakan solat kita, kita tidak boleh baca dengan hati, kita memang kena menyebut, seperti mana sabda Rasulullah S.A.W, solatlah seperti mana kamu lihat aku solat, nabi bila solat, bergerak-gerak janggut nabi, ertinya nabi terkumat-kamit dan bukannya membaca bacaan solat di dalam hati. Maka, kita perlu menyebut bacaan solat. Satu lagi, bila menyebut bacaan solat janganlah seperti berbisik, hanya cukup sekadar kita yang mendengar, kerana ini akan menganggu orang lain pula. 

Lagi satu yang aku terkesan bila disebut tentang orang melintas di hadapan semasa sedang solat. Solat diibaratkan kita sedang berdua-duaan dengan Allah S.W.T, dan tidak boleh ada penghalang antara orang yang solat dengan Allah S.W.T, maka sebelum kita solat pastikan ada penghadang, atau benteng yang dibuat di hadapan supaya tidak terganggu solat kita, dan jika tidak dibuat penghadang, dan ada orang yang mahu melintas, maka kita perlu mengangkat tangan kita, menghadang orang yang ingin lalu di hadapan. Sepertimana yang disebutkan dalam hadis Nabi S.A.W:

لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ      يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً   

Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perwai : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) 

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ

Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" 
( Riwayat Al-Bukhari) 

Dan yang terakhir, sebelum solat, pastikan kita mengambil wudhu dengan sempurna, pastikan semua anggota wudhu diberi haknya, iaitu misalnya, jirus air di kaki dan kemudian menggosok atau menyapu celah-celah kaki hingga semua semua tempat kena air dan sebagainya.

Sebelum ini juga aku pernah melihat satu video, dari sini, dia ceritakan tentang bacaan-bacaan yang boleh kita tambah semasa rukuk, sujud dan sebagainya...hmmm....dari kecil bacaan kita masih sama sampai sekarang, apa kata kita 'upgrade'kan bacaan kita. 

Solat adalah perkara pertama yang akan ditanya Allah, dan ia adalah satu-satunya ibadah yang menuntut nabi untuk ke Sidratul Muntaha dan berjumpa sendiri dengan Allah S.W.T untuk dapat perintah ini, berlainan dengan  ibadah haji dan umrah yang memakan masa berhari-hari untuk melakukannya itu hanyalah daripada penurunan ayat Al-Quran. Maka sungguh besar fardhu solat ini. Mudah-mudahan, kita semakin hari semakin rajin untuk memperbaiki solat kita. Wallahu'alam, selamat beramal semuanya.

No comments:

Post a Comment